skip to main |
skip to sidebar
DUA WALI SAYA
Ini kisah dua anak lelaki saya.
Satu hari ketika saya pulang dari sekolah dua anak lelaki saya menyambut di muka pintu.
"Ummi, saya hendak buat ummi bangga dengan saya. Nah, ini biskut dari saya," kata si Ahmad.
Mendengar itu si adik pun tidak mahu kalah.
"Ummi saya hendak buat ummi gembira. Nah, ini biskut dari saya!" kata si Faris.
Oh, terharunya ummi.
"Ya, ummi bangga dan gembira kalau anak ummi jadi soleh dan perangai bagus ya.." kata saya sambil mengusap-usap pipi dua wali saya.
"Ya!!" jawab mereka serentak.
Semoga niat yang tulus dan suci dimakbulkan oleh Allah ya nak..
ORIGAMI FARIS DAN NENEK
Kesukaan si Faris kini, ialah membuat lipatan kertas. Setiap kali kami keluar dia akan merengek meminta dibelikan buku origami. Lalu untuk tidak menghampakannya saya belikan juga. Sebenarnya telah ada dua buku origami abang dan kakaknya namun dia tetap meminta dibelikan yang baharu.
Faris membuat origami hampir setiap ketika yang terluang, balik dari sekolah, apatah lagi cuti.
Mangsanya sudah pasti kertas A4 uminya ini. Saya berikan kertas terpakai kepadanya. Kalau menurut walidnya jangan diberikan kertas langsung, membazir, dan buat menyemak rumah sahaja. Hee, padahal umminya inilah yang sepatutnya mengomel kerana umminya ini akan menyapu sampah setiap kali mereka menyepah. Kalau menyepah tu bukannya tahu mengemas kembali. Tapi pada saya pula kasihan juga anak hendak belajar, hendak membina kreativiti disekat-sekat. Bukankah itu pun proses pembelajaran buat si kecil? Faris akan melihat buku origami atau belajar dari abangnya yang pandai melipat kertas. Sudahnya rumah kami dipenuhi kertas, dan saya akan terus mengomel sambil mengemas...
Sekarang neneknya ada di rumah. Sekali apabila sedang asyik menatap buku origami sambil melipat kertas, neneknya juga ikut campur. Lalu terbentuklah satu demi satu origami nenek. Dari bakul sirih, kapal dan burung.. si Faris ternganga melihatnya.
"Tengok nenek tak tengok buku pun pandai.."
"Nenek tak tengok buku pun pandai buat origami?" si kecil kehairanan yang amat sangat.. Neneknya menceritakannnya kepada kami. Kami tertawa mengakak. Allah, setakat hendak melipat burung tu tak payah tengok buku dik..
Salam Ramadan Al Mubarak!
Sudah berbulan-bulan saya tinggalkan blog ini. Bukan tidak mahu menulis tetapi banyak hal yang mengehadkan kerja-kerja penulisan saya. Sebagai ummi kepada anak-anak yang sedang membesar dan berbagai ragam tingkahnya, sebagai wanita yang berkerjaya mendidik putra putri ummah kita, sebagai pegawai kerajaan yang sekali-sekala mahu juga keluar daerah bagi menyumbang sesuatu dalam bidang saya (Bahasa Arab) dan sebagai isteri yang mahu juga berbakti untuk suaminya, (hee..kerjaya ini sudah pasti tidak boleh diswastakan...) lalu kerjaya menulis yang sering membuat saya tenggelam dan memerlukan masa yang lama (bagi penulis tidak konsisten seperti sayalah) sudah pasti saya terpaksa kesampingkan dahulu.
Bukan tidak ada sesuatu yang menjentik di jiwa ini untuk ditulis, bukan tidak ada buah fikiran yang bercambah di tangkai hati tetapi mungkin belum cukup ranum untuk saya petik dan pastinya juga belum cukup rasa untuk menuangkannya keluar menjadi idea yang benar-benar ump dan berguna..Saya akui juga yang saya tidak berdisiplin menulis. Sebenarnya terlalu banyak peristiwa yang saya alami selama beberapa bulan ini. Peristiwa demi peristiwa; gembira, suka duka hanya Allah sahaja yang mengetahui bebanan fizikal dan mental yang saya tanggung..tetapi hidup perlu diteruskan dengan hati yang cekal dan sabar.
Bermula dari Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara ITBM awal Januari lalu, kemudian saya menerima hadiah saguhati dalam Sayembara Cerpen berunsur sejarah Melaka pada Mei baru-baru ini, pembedahan si Yasmin pada 9 Jun dan ketibaan Ramadan Al Mubarak pada 29 Jun..semuanya itu saya biarkan berlalu begitu sahaja kecuali hanya sedikit update di FB.. Oh, adakah daku sudah ketandusan idea? Tidak, sebenarnya segala peristiwa yang berlaku di sekitar saya manis atau pahit, semua itu saya telan sahaja dengan minda terbuka dan husnuzzhann kepada pemilik segala, menanggapinya sebagai berhikmah belaka..Bukankah kata orang bijaksana; jadikan halangan sebagai batu loncatan?
Lalu saya bersyukur, Alhamdulillah dengan berkat kedatangan bulan yang mulia ini mood menulis saya timbul kembali..dan akan saya buktikan kata pepatah tersebut. Bukankah bersama-sama sedikit kesusahan itu ada banyak kesenangan? Di kesempatan ini saya mengucapkan Ramadan Al Mubarak kepada sahabat semua dan maafkanlah kekhilafan sesama kita!