Pages

Subscribe:

Saturday, July 25, 2015

Pantun

Assalamualaikum, apa khabar semua?
Semoga diri anda dilindungi Allah dengan rahmat-Nya selalu.

Terbang burung dari selatan
Dipuput angin sangga bayu
Bukalah surat dari lipatan
Lihatlah pantun bahasa Melayu


    Wah, berpantun pula..he..Tidak menghairankan bagi saya kerana saya sangat meminati seni bicara Melayu yang satu ini. Bagi saya, saya lebih menikmati pantun daripada sajak bebas. Hal demikian, mungkin kerana saya lebih memahami dan menjiwai pantun berbanding sajak. Saya juga sukakan rimanya yang menarik, pembayang dan maksudnya yang memberi erti manakala sajak bebas acapkali saya tidak memahaminya dan tidak jarang juga saya bosan mencari maksudnya yang berbelit-belit dan letih otak memikirkannya. Justeru pantun adalah pilihan terbaik dinikmati oleh orang macam saya. 

     Akan tetapi saya tidaklah mahir sangat tetang pantun ini. Cuma yang saya tahu para bijak pandai kita membahagikan pantun kepada beberapa gred. Ada gred A, B dan C. Itu pun saya tidak berapa pasti tentang yang mana satu dan bagaimana mengkelaskannya. Mungkin pantun gred A itu yang sama rima dan suku kata antara maksud dan pembayangnya seperti pantun berikut:

Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati

    Perhatikan pemilihan perkataannya (diksi) yang berima berirama harmoni di akhirnya. Nampak mudah, namun bukan semudah kata untuk mencipta pantun gred ini.

Contoh lain:

Nyiur gading puncak mahligai
Sayang ketupat berisi inti
Hancur daging tulang berkecai
Kasih sayang bawa ke mati

Sorong papan tarik papan
Buah keranji dalam perahu
Suruh makan saya makan
Suruh mengaji saya tak tahu


Di sini saya ingin menitip beberapa rangkap pantun yang sangat saya sukai kerana berjaya menggugah perasaan. Ok, sekian setakat ini dahulu. Saya tinggalkan anda dengan beberapa rangkap pantun untuk dihayati..


Tenang-tenang air di laut 
Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi yang baik rasa nak junjung

Pilih-pilih tempat mandi
Pertama teluk kedua pantai
Pilih-pilih tempat menjadi
Pertama elok kedua pandai


Apa tanda batang tebu?
Batang tebu halus uratnya
Apa tanda orang berilmu?
Orang berilmu halus budinya.

Dan saya juga menggemari bait ini..

Tanda muslim sama serumpun
Dalam hidup bersopan santun
Dalam susah tuntun menuntun
Dalam senang santun menyantun






Tuesday, June 30, 2015

BAHASA ARAB DAN AL QURAN


SENARIO 1

Pernahkah anda mendengar kisah watak Marya dalam novel Ayat-ayat Cinta karya penulis Habibur Rahman Syirazi? Dalam novel tersebut digambarkan watak Marya seorang gadis Kristian Koptik telah menghafal seluruh surah Maryam kerana tertarik dengan cerita Maryam yang terdapat dalam Al Quran.

SENARIO 11

Di Timur Tengah, para pensyarah Bahasa Arab beragama Kristian, para pelajar Arab juga beragama Kristian di Fakulti Bahasa dan Kesusateraan Arab biasa menghafal Al Quran semasa mempelajari Kesusasteraan Arab, malah kadang-kadang ingatnya mereka kepada Al Quran mengalahkan kita yang beragama Islam.

SENARIO 111

     Malah lama sebelum itu telah tercatat di dalam sejarah betapa Najasyi raja Habshah telah mempertahankan para penghijrah muslim yang datang dari Mekah dari cengkaman Quraisy. Quraisy menghasut raja supaya mengusir orang-orang Islam yang mendapatkan perlindungan di sana Akan tetapi setelah diberi penerangan tentang Islam Najasyi begitu tertarik dengan kitab suci al Quran yang ternyata juga begitu memuliakan nabi orang Kristian iaitu Isa Alaihissalam. Akhirnya Najasyi juga bukan sahaja memberikan perlindungan kepasa muslimin malah turut memeluk agama Islam.
                Sedia dimaklumi Al Quran telah diturunkan dalam Bahasa Arab. Kerana Al Quran, Bahasa Arab mendapat darjat  yang istimewa berbanding bahasa-bahasa lain. Menjadi makluman semua juga bahawa Al Quran menyumbang jasa yang tidak sedikit dalam melestari Bahasa Arab. Jika dikaji, Bahasa Arab adalah  bahasa kuno, kembar bahasa Hebrew yang telah pupus tetapi kini dihidupkan kembali atas sebab-sebab politik. Bahasa yang hidup mengalami perubahan demi perubahan.  Bahasa yang tidak mengalami perubahan dikatakan bahasa yang mati.

                Perubahan ini dapat dilihat dalam bahasa ibunda kita sendiri. Kalau dahulu Bahasa Melayu banyak dipengaruhi oleh bahasa Arab sehingga kajian sarjana,  Abdul Razak Abu Chik (2004) menyatakan terdapat lebih dari seribu perkataan bahasa Melayu merupakan asal Arab. Namun kini mungkin suasana itu telah berubah. Kini bahasa Melayu mungkin sahaja lebih banyak dipengaruhi oleh bahasa Inggeris dan sebagainya. Terdapat banyak istilah apungan yang digunapakai dalam percakapan Melayu kini. Lama-lama keaslian bahasa tersebut akan pudar dan hilang nilai estetikanya. Mungkin jika Hang Tuah dihidupkan kembali, beliau juga tidak dapat mengerti Bahasa Melayu kini. Pantun-pantun yang indah dengan pembayang dan rimanya juga telah digubah menjadi sajak-sajak bebas yang kurang nilainya.  Contoh lain, Bahasa Inggeris juga mengalami perubahan-perubahan sehingga dikatakan jika Shakespear dihidupkan kembali mungkin dia juga kehairanan mendengar percakapan Inggeris kini.

                Namun anehnya, walaupun tidak dinafikan bahasa Arab mengalami perubahan namun tidak sama sekali menghilangkan keindahan dan fungsinya. Di sebalik semua itu, Al Quranlah merupakan paksi bagi keteguhan nahu dan kosa kata Bahasa Arab. Dengan kedatangan Islam, kosa kata Bahasa Arab berkembang dari maksud bahasa kepada maksud istilah. Para pengkaji bahasa dan sastera Arab dari pelbagai latar agama membaca dan menghafal ayat Al Quran dan juga hadis yang menjadi bukti kepada nahu dan kosa kata Arab. 

               Nahu Arab tidak berubah semenjak ribuan tahun dahulu sehingga kini. Para pelajar  akan mempelajari nahu Arab yang sama di mana pun mereka berada sama ada di universiti di Malaysia, Indonesia, Mesir, Arab Saudi, Syria dan mana-mana pelosok dunia. Namun nahu dan kosa kata Bahasa Melayu berubah mengikut negara terutama Malaysia dan Indonesia.  Nahu Bahasa Melayu di Indonesia belum tentu diterima di Malaysia dan sebaliknya. Akan tetapi hal ini tidak pernah terjadi kepada Bahasa Arab kerana pasaknya Al Quran.

                Oleh yang demikian para pelajar yang ingin mendalami Bahasa Arab mestilah rajin membaca Al Quran dan menghayati maksudnya malah jika mampu menghafalnya. Tidak cukup itu mereka juga mestilah membaca hadis nabi, syair-syair serta hikam dan amthal Arab agar lebih mudah menguasai bahasa ini. Al Quran itu merupakan jiwa bahasa Arab. Justeru, dapatkah dibayangkan bagaimanakah seorang Islam yang mahu mendalami bahasa Arab tetapi menjauhkan diri dari  Al Quran?

SENARIO GURU DAN PELAJAR

Ustazah, macam mana nak pandai bahasa Arab?
Kenalah baca al Quran, kena baca hadis..hafal syair dan hikam amthal..
Baca juga sikit-sikit, tapi kami lebih minat K-poplah ustazah..lagu Korea di Saranghae tu semua kami hafal..

Aduh..patutlah puas diajar, tak pandai-pandai

Wednesday, May 20, 2015

NASYID KEGEMARAN

Nasyid-Nasyid Yang Saya Minati.

Barudati (senapangku)

Li uyunil Qudsi Nughanni (Untukmu Quds Kami Dendangkan


Al Ardhu Lana (Bumi Itu Milik Kami)