Pages

Subscribe:

Saturday, June 28, 2014

Salam Ramadan Al Mubarak!


     Sudah berbulan-bulan saya tinggalkan blog ini. Bukan tidak mahu menulis tetapi banyak hal yang mengehadkan kerja-kerja penulisan saya. Sebagai ummi kepada anak-anak yang sedang membesar dan berbagai ragam tingkahnya, sebagai wanita yang berkerjaya mendidik putra putri ummah kita,  sebagai pegawai kerajaan yang sekali-sekala mahu juga keluar daerah bagi menyumbang sesuatu dalam bidang saya (Bahasa Arab) dan sebagai isteri yang mahu juga berbakti untuk suaminya, (hee..kerjaya ini sudah pasti tidak boleh diswastakan...) lalu kerjaya menulis yang sering membuat saya tenggelam dan memerlukan masa yang lama (bagi penulis tidak konsisten seperti sayalah) sudah pasti saya  terpaksa kesampingkan dahulu.   

     Bukan tidak ada sesuatu yang menjentik di jiwa ini untuk ditulis, bukan tidak ada buah fikiran yang bercambah di tangkai hati tetapi mungkin belum  cukup ranum untuk saya petik dan pastinya juga belum cukup rasa untuk menuangkannya keluar menjadi idea yang benar-benar ump dan berguna..Saya akui juga yang saya tidak berdisiplin menulis. Sebenarnya terlalu banyak peristiwa yang saya alami selama beberapa bulan ini. Peristiwa demi peristiwa; gembira, suka duka hanya Allah sahaja yang mengetahui bebanan fizikal dan mental yang saya tanggung..tetapi hidup perlu diteruskan dengan hati yang cekal dan sabar. 


      Bermula dari Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara ITBM awal Januari lalu, kemudian saya menerima hadiah saguhati dalam Sayembara Cerpen berunsur sejarah Melaka pada Mei baru-baru ini, pembedahan si Yasmin pada 9 Jun dan ketibaan Ramadan Al Mubarak pada 29 Jun..semuanya itu saya biarkan berlalu begitu sahaja kecuali hanya sedikit update di FB.. Oh, adakah daku sudah ketandusan idea? Tidak, sebenarnya segala peristiwa yang berlaku di sekitar saya manis atau pahit, semua itu saya telan sahaja dengan minda terbuka dan husnuzzhann kepada pemilik segala, menanggapinya sebagai berhikmah belaka..Bukankah kata orang bijaksana; jadikan halangan sebagai batu loncatan? 

     Lalu saya bersyukur, Alhamdulillah  dengan berkat kedatangan bulan yang mulia ini mood menulis saya timbul kembali..dan akan saya buktikan kata pepatah tersebut. Bukankah bersama-sama sedikit kesusahan itu ada banyak kesenangan? Di kesempatan ini saya mengucapkan Ramadan Al Mubarak kepada sahabat semua dan maafkanlah kekhilafan sesama kita!