MENCARI KEKUATAN DARI ASMAUL HUSNA
Asmaul Husna adalah nama-nama Allah yang indah dan menunjukkan sifat-sifat kesempurnaan-Nya. Nama-nama Allah banyak dan tidak terhad tetapi di dalam sebuah hadis kita dicadangkan supaya mengetahui 99 nama-nama Allah. Beriman dengan Asmaul Husna bermaksud meyakini bahawa Allah sahaja yang mempunyai dan memiliki nama-nama yang paling indah, sempurna tidak dapat ditandingi oleh makhluk. Nama-nama Allah Al Husna menunjukkan sifat-sifat Allah yang maha sempurna.
Setiap muslim mempunyai hubungan langsung dengan Penciptanya tanpa memerlukan sebarang perantaraan. Hanya Dia kita memuja dan daripada-Nya kita meminta pertolongan. Kita digalakkan untuk berdoa dengan menyebut-nyebut nama-nama Allah yang maha indah dan sempurna supaya hasrat kita mudah termakbul di sisi Allah. Insan yang beriman, seluruh isi hatinya, kerja dan tingkahnya akan bergetar dengan Asmaullah Al Husna. Justeru marilah kita mengenali beberapa nama-nama Allah supaya kita mudah memanjatkan rayuan dan doa.
1) Al Rahman- Maha Pemurah. Kemurahan Allah sungguh luas meliputi semua makhlukNya. Dengan menyebut Ya Rahman berulang kali pohonlah kerahmatan Allah Yang maha luas itu. Jika kita beriman dengan Al Rahman sudah pasti kita tidak akan sama sekali berputus asa dari rahmat-Nya. Motivasi diri akan segera pulih dan semangat berkerja akan bertambah.
2) Al Rahim- Maha Penyayang- Di kala diri sunyi tanpa kekasih kenanglah Allah Yang Maha Penyayang. Ingatlah kasih sayang Allah hanyalah untuk orang-orang yang mentaati dan beriman kepada-Nya. Apabila Allah mengasihimu nescaya kamu akan dikasihi oleh seisi langit dan bumi. Anda akan mendapat cinta kekasih yang menyintaimu dengan tulus dan suci. Apabila Allah membenci dirimu, seisi langit dan bumi akan berpaling darimu. Ketika hatimu terlalu derita ingatlah kepada pemilik cinta sejati. Bersyukurlah juga, sekurang-kurangnya dua nikmat yang paling agung iaitu iman dan Islam tidak terlepas dari hatimu. Itulah puncak kasih sayang Allah kepadamu.
3) Al Razzaq- Maha Mengurnia Rezeki. Kerajaan Allah sangat luas meliputi semua makhluk langit dan bumi serta lapisan-lapisannya. Kekayaan Allah adalah mutlak. jika kita memberikan harta kita kepada manusia, ia akan habis. Akan tetapi Allah yang bersifat Al Razzak mengurniakan kita pelbagai bentuk pemberian dengan tidak pernah kehabisan harta kekayaan-Nya. Justeru, jika anda merasa sempit rezeki, serulah Ya Razzaq berulangkali, kemudian berharaplah rezeki yang halal dan melimpah ruah daripada Allah. Terus berusaha tanpa jemu. Luaskanlah pemikiranmu. Rezeki itu bukan sahaja kekayaan harta benda semata-mata, tetapi semua bentuk kenikamatan yang kamu rasakan, termasuk kawan-kawan yang baik, keluarga bahagia dan hati yang tenang.
4) Al Fattah- Maha Membuka. Kadang-kadang kita terlalu keras berusaha tetapi tidak juga berjaya. Malah kegagalan sering menghantui kita. Atau kadang-kadang, kejayaan sering mengiringi kita walau dengan usaha yang sedikit cuma. Sedarkah anda, ada tangan ghaib di sebalik setiap kegagalan dan kejayaan tersebut? Dialah Allah Yang Maha Membuka pintu-pintu rahmat-Nya untuk kamu. Insaflah, jika sekuat mana pun kamu berusaha, kalau Allah tidak membukakan pintu-pintu itu untuk anda, malanglah anda. Justeru berdoalah supaya Allah dengan sifatnya Al Fattah supaya membuka pintu-pintu rahmat-Nya seluas-luasnya kepadamu.
5) Al Jabbar- Maha Memaksa. Antara sifat yang menunjukkan kekuasaan Allah ialah Al Jabbar. Jika anda terlalu takut sama ada kepada makhluk halus seperti jin, hantu, iblis atau syaitan atau dengan orang atau makhluk lain, serulah nama Allah yang bersifat Al Jabbar-Y a Jabbar! Wahai Tuhan Yang Maha Memaksa. Hanya Dialah yang dapat memaksa hatimu yang penakut menjadi berani dan mara. Dia juga yang boleh memaksa orang-orang yang zalim menjadi kecut dan mundur. Ada juga orang membacanya ketika menghadiri temuduga dan sebagainya.
6) Zul Jalali Wak Ikram- Yang Mempunyai Kehebatan dan Kemuliaan. Jika anda merasa diri sangat kerdil dan lemah berdoalah dengan menyebut Ya Zal Jalali Wal Ikram, Insya Allah anda akan mendapat kehebatan dan kemuliaan.
7) As Shomad- Tempat berharap. Apa-apa kemusykilan, masyghul hati, derita jiwa hanya Allah tempat berharap. Tiada lain. Ingat, hanya Allah. Buanglah segala tangkal (walau pun tangkal ditulis ayat Al Quran), kiraan mathematik untuk menilik nasib, kepercayaan khurafat dan tahayul kerana ia membawa kepada syirik. Syirik itu dosa yang paling besar dalam senarai tingkatan dosa. Mana mungkin Allah memakbulkan doa anda sekiranya segala kesyirikn bersarang di jiwa. Tumpukan perhatian anda, Allahus Shomadu, Allahus Shomadu…merintihlah, hanya Allah tempat bergantung.
0 comments:
Post a Comment