MARI MEMBACA!
Firman Allah (maksudnya) : Iqra’ (Bacalah) dengan nama Tuhanmu yang menjadikan…-surah Al Alaq ayat 1-5 merupakan ayat pertama diturunkan oleh Allah kepada manusia. Ayat ini menunjukkan betapa pentingnya membaca sebagai proses memperoleh ilmu pengetahuan. Perintah membaca di sini membawa maksud yang sangat luas.
Membaca tidak hanya menatap apa yang tersurat tetapi mengkaji apa yang tersirat. Al Quran tidak dibaca sekadar untuk mendapat pahala sahaja tetapi di dalamnya terkandung pedoman hidup dan gambaran tentang kehidupan manusia untuk dijadikan pengajaran. Semangat iqra’ haruslah melahirkan fikiran yang kritis serta menumbuhkan bibit perasaan ingin tahu (curiousity) dan roh ilmiah (scientific spirit). Iqra’ juga mengajak manusia untuk melakukan kajian saintifik dan memerhatikan hikmah di sebalik kejadian yang ada kaitan dengan kehidupan.
Perhatikan, ayat pertama Al Quran menyuruh umatnya membaca. Al Quran merupakan mukjizat nabi yang terbesar dan kekal sehingga hari kiamat. Mengapakah Allah tidak menyuruh manusia mencari batu-batu ajaib, tongkat sakti dan kayu kokka untuk mendapat kemuliaan? Ini menunjukkan Al Quran ialah kitab terkini dan merentasi zaman kerana Allah sahaja yang mengetahui bahawa zaman kini dan akan datang bukan lagi zaman tongkat sakti dan kayu kokka.
Islam merupakan agama yang maju dan penuh visi kerana pada zaman orang-orang Arab dan sekitarnya masih buta huruf, Allah telah menurunkan wahyu yang demikian hebat impaknya ke atas pemikiran dan tamadun manusia. Ternyata lebih 1400 tahun kemudiannya dunia ini benar-benar menyaksikan ledakan maklumat hasil penemuan-penemuan kajian manusia. Sudah pastilah segala-galanya itu bermula dengan semangat Iqra’!
0 comments:
Post a Comment