Pages

Subscribe:

Thursday, December 6, 2012

KE PERSADA GURU

Hari guru tiba lagi. Berbagai acara telah dirancang untuk meraikan insan yang bernama guru. Murid-murid menunjukkan keprihatinan mereka dengan mengadakan persembahan nyanyian, tarian, deklamasi sajak, memberikan kad ucapan dan hadiah-hadiah kepada guru-guru yang berkenan di hati mereka. Namun satu perkara  perlu disedari,  menghormati dan memuliakan guru bukanlah terhad pada hari tertentu sahaja, sebaliknya murid perlu membudayakan sikap menghormati dan mencintai guru sepanjang masa sehingga badan dikandung tanah.

      Paling penting, adakah kita ‘memakai’ nasihat guru yang mahu melihat kita berjaya pada masa hadapan? Adakah kita pernah berusaha menyenangkan guru dengan tingkah laku yang terpuji dan menyejukkan mata serta hati? Adakah kita mendoakan guru-guru selepas berdoa untuk diri dan ibu bapa kita? Renung-renungkanlah…

 

RASULLLAH GURU TERAGUNG

            Dalam ramai-ramai guru, yang sewajarnya menjadi idola kita adalah guru teragung iaitu Nabi Muhammad S.A.W.  Kenapakah Nabi Muhammad? Kerana guru-guru selain baginda tidak maksum. Ada sahaja kelemahan guru. Hal demikian kerana baginda mendapat petunjuk dan didikan  langsung daripada Allah  Yang Maha Mengetahui. Sejak berusia empat tahun  lagi dada baginda telah dibelah dan disucikan dengan air zam-zam oleh malaikat (kini dunia moden baru menyaksikan kaedah pembedahan hati dan sebagainya). Baginda merupakan seorang anak yatim piatu yang miskin dan tidak pernah belajar namun Allah telah mensucikan jiwa baginda. Dia memberikan ilmu pengetahuan tanpa proses belajar dan mengangkat darjat baginda di sisi-Nya.
         
         Apabila berkata-kata, baginda tidak mengucapkannya dengan sia-sia seperti kita tetapi kata-kata baginda merupakan petunjuk dari Allah. Hal ini ditegaskan di dalam Al Quran yang bermaksud: Tidaklah dia (nabi) bercakap mengikut hawa nafsunya melainkan semuanya itu adalah wahyu yang diwahyukan kepadanya-An Najm ayat 3-4.  Setiap kata-kata nabi tiada suatu pun yang tidak benar melainkan benar belaka. Rasulullah berlidah fasih. Cubalah kaji hadis-hadis baginda, semuanya disampaikan dengan Bahasa Arab yang fusha (baku) kecuali apabila baginda bertujuan memahamkan sesuatu kaum yang tidak memahami bahasa Quraisy. Rasulullah sangat menghormati orang tua terutamanya orang-orang yang pernah berjasa kepada baginda seperti Ummu Aiman yang merupakan ibu angkat baginda. Baginda juga mengasihi yang muda. Peristiwa itu terakam dalam sejarah apabila baginda pernah sujud dengan lama sekali kerana menanti cucunda yang sedang memanjat di atas belakang baginda.
        
         Rasulullah merupakan contoh teladan yang paling sempurna. Marilah kita mencontohi peribadi guru agung sepanjang zaman ini.

 

0 comments:

Post a Comment