Pages

Subscribe:

Tuesday, December 4, 2012

SAYANG SURIA

           Setiap  hari dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini kita sering dicemaskan dengan berita-berita peperangan saudara yang melanda Suria. Saya dan sahabat-sahabat pernah melawat Suria sebanyak dua kali. Kali pertama iaitu pada musim sejuk tahun 1992 manakala kali kedua semasa cuti musim panas pada tahun 1994. Suria, indah nian namanya seindah tanahnya, merupakan sebuah syurga dunia kepada pemuja keindahan dan kedamaian seperti saya. Suria, adalah nama sebutan orang-orang Arab bagi negara Syria.

     Segala-galanya indah di Suria! Tanahnya subur, pasarnya yang ramai, pohon-pohonnya yang berjenis-jenis, orang-orangnya yang tampan dan jelita serta alamnya yang begitu memukau berpadu membentuk jati diri Suria yang makmur dan damai. Pada musim sejuk kita dapat menyaksikan pohon-pohon limau pelbagai jenis menghasilkan buahnya yang keemasan dengan banyaknya. Hati pasti geram melihat limau mandalina (mandarin) yang berwarna jingga. Sepohon limau ini boleh berbuah beratus-ratus biji banyaknya. Begitu juga pohon-pohon epalnya menggamit hati kami. Perjalanan dari selatan menuju utara hingga ke Lattakia sangat mengasyikkan dengan lembah yang subur dan gunung-ganang bersalji meredupkan pandangan.

    Begitu pula pada musim panasnya. Akan kelihatan para-para anggur pelbagai jenisnya; banati, halawani dan sebagainya. Pada kesempatan itu juga kami tidak melepaskan peluang untuk ke Nab'u Barada yang sejuk mencucuk kulit. Namun cukup selesa dapat merendamkan kaki ke dalam sungai sejuk itu pada hari panas begini.

    Suria yang indah kini telah dicemari darah dan air mata. Di mana-mana dentuman bom dan peluru bertalu-talu menjarah bumi dan penghuninya. Pada dingin syita (musim sejuk) menggigit kulit begini sanubari terusik, masihkah ada kedamaian dan keindahan yang selama ini melatarinya. Masih adakah sinar suria di bumi Suria?


0 comments:

Post a Comment