Assalamualaikum, apa khabar semua?
Semoga diri anda dilindungi Allah dengan rahmat-Nya selalu.
Terbang burung dari selatan
Dipuput angin sangga bayu
Bukalah surat dari lipatan
Lihatlah pantun bahasa Melayu
Wah, berpantun pula..he..Tidak menghairankan bagi saya kerana saya sangat meminati seni bicara Melayu yang satu ini. Bagi saya, saya lebih menikmati pantun daripada sajak bebas. Hal demikian, mungkin kerana saya lebih memahami dan menjiwai pantun berbanding sajak. Saya juga sukakan rimanya yang menarik, pembayang dan maksudnya yang memberi erti manakala sajak bebas acapkali saya tidak memahaminya dan tidak jarang juga saya bosan mencari maksudnya yang berbelit-belit dan letih otak memikirkannya. Justeru pantun adalah pilihan terbaik dinikmati oleh orang macam saya.
Akan tetapi saya tidaklah mahir sangat tetang pantun ini. Cuma yang saya tahu para bijak pandai kita membahagikan pantun kepada beberapa gred. Ada gred A, B dan C. Itu pun saya tidak berapa pasti tentang yang mana satu dan bagaimana mengkelaskannya. Mungkin pantun gred A itu yang sama rima dan suku kata antara maksud dan pembayangnya seperti pantun berikut:
Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati
Perhatikan pemilihan perkataannya (diksi) yang berima berirama harmoni di akhirnya. Nampak mudah, namun bukan semudah kata untuk mencipta pantun gred ini.
Contoh lain:
Nyiur gading puncak mahligai
Sayang ketupat berisi inti
Hancur daging tulang berkecai
Kasih sayang bawa ke mati
Sorong papan tarik papan
Buah keranji dalam perahu
Suruh makan saya makan
Suruh mengaji saya tak tahu
Di sini saya ingin menitip beberapa rangkap pantun yang sangat saya sukai kerana berjaya menggugah perasaan. Ok, sekian setakat ini dahulu. Saya tinggalkan anda dengan beberapa rangkap pantun untuk dihayati..
Tenang-tenang air di laut
Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi yang baik rasa nak junjung
Pilih-pilih tempat mandi
Pertama teluk kedua pantai
Pilih-pilih tempat menjadi
Pertama elok kedua pandai
Apa tanda batang tebu?
Batang tebu halus uratnya
Apa tanda orang berilmu?
Orang berilmu halus budinya.
Dan saya juga menggemari bait ini..
Tanda muslim sama serumpun
Dalam hidup bersopan santun
Dalam susah tuntun menuntun
Dalam senang santun menyantun
Saturday, July 25, 2015
Subscribe to:
Posts (Atom)