HIASAN DUNIA
Tiba-tiba sahaja Faris mencetuskannya. Ya, tiba-tiba. Tiada angin tiada ribut ketika pulang berkereta selepas mengambilnya dari Tadika Brilliant dia mencetuskan idea itu..
"Ummi, tolonglah lahirkan seorang bayi lagi. Saya mahu jadi abang!"
"Hah?"
"Tolonglah ummi saya mahu adik lelaki.."
"Saya mahu adik perempuan!" Timpal Yasmin tidak mahu kalah.
"Huh.."
"Tolonglah ummi, saya mahu jadi abang.."
Oh, tidaklah nak, cukuplah..Ummi tunggu cucu sahaja nanti... balas saya di dalam hati. He..
Sebenarnya persoalan untuk melahirkan bayi lagi bukanlah perkara baharu semenjak dua ini. Bagi ketiga-tiga budak itu baik Ahmad, Yasmin atau Faris selalu menyebut-nyebutnya. (Nuha sudah remaja, tidak lagi rewel seperti budak-budak bertiga itu. Dia sudah mengerti, malu dan sopan untuk meminta-meminta hal-hal sebegitu.) Ketika saya berbaring melepas lelah petang atau malam, mereka berebut-rebut mendekati saya lalu akan mengusap-usap perut saya dan masing-masing berharap akan ada seorang adik bayi baharu muncul dari perut ummi mereka ini. Acapkali si Faris datang lalu memberi salam dan mendengarkan apakah ada suara bayi merengek-rengek menjawab salam dari perut saya. Begitulah selalunya.
Entah dari mana idea budak-budak itu.. Entah dari walidnya..entah kerana geram melihat comelnya bayi orang mereka mengusulkan idea itu. Namun pernah juga walidnya bertanya anak-anak:
"Bagaimana? Mahu tak kalau ummi melahirkan seorang lagi adik baby?"
"Mahu!!" Budak-budak seakan terloncat.. Wah....
"Hah?" Saya pandang suami. Kenapa tiba-tiba sahaja melobi anak-anak? Oh, usah bertanyakan pendapatnya. Dia memang mantap mahukan bayi lagi namun melihatkan saya mencebik ketakutan, dia tersengih-sengih dan berlawak dengan muka lucu..
"Lobi anak-anak..mana tahu kalau-kalau dapat sokongan...he." Dia membuat muka lucu..
"Huh, tak lucu pun..." timpal saya dengan wajah serius sekaligus ngeri. Saya terbayang-bayang fasa mengandung yang membuat saya serik; terbengong-bengong tidak ketahuan, kembang tekak, berlenja air liur kerana geli dengan makanan waktu hamil muda. Itu belum lagi masuk keluar hospital kerana masalah kandungan. Saya merasakan saya adalah wanita yang paling teruji ketika mengandung. Dari anak pertama sampai anak keempat, terutamanya mengandungkan dan melahirkan si Faris. Jika wanita lain menghabiskan pantang dengan layanan tujuh lapan bintang dari ibu masing-masing di rumah, saya sebaliknya menghadap anak di hospital sehingga habis tempoh nifas.
Sendirian menghabiskan masa pantang di hospital dengan anak komplikasi membuatkan saya buntu kadang-kadang. Menatap ibu-ibu yang senasib, ada yang telah putus harapan sehingga meninggalkan bayi mereka terlonta-lonta menangis. Anak saya juga tidak kurang. Si Faris, mungkin kerana tidak selesa dengan benjolan di bawah dagunya, dia akan merengek dan menangis terus..Doktor-doktor muda mahu mengambilnya, mendukungnya buat memberi kepada saya sedikit ruang untuk berehat tetapi Faris tidak mahu.. Pendek kata si Faris kalau terjaga pasti melalak-lalak, tidak kira jam, baik pagi atau tengah malam satu wad akan bersipongang dengan suaranya. Pendek kata seperti kata orang tua-tua kami: Buka mata buka mulut, sama naik, melalak terus..Huh, bisa bengong dibuatnya. Kadang-kadang saya merasa tidak kuat menghadapi ujian ini. Mana makan makanan hospital yang begitu, keadaan diri yang lemah tidak terurus membuat saya trauma. Hendak solat tidak boleh, masih nifas, hanya duduk bermenung,, berdiri juga banyak memegang anak menghiburkannya memberi susu dan membawanya jalan-jalan sekitar wad supaya dia berhenti menangis, lalu saya hanya kuatkan hati dengan zikrullah. Saya menahan nafas semasa menyuap makanan hospital yang hanyir ikannya. Semua itu saya lakukan demi menjaga anak ini. Saya berjuang ikhlaskan hati, siapkan minda. Sekiranya aku sakit bagaimana mahu menjaga anak yang sakit pula? Lalu saya gagahkan diri sekuatnya. Dalam bab ini suami memuji saya..Mana tidak, dalam saya berjuang di wad mengadap anak yang seorang ini, pembantu saya pula buat hal.
"Mahu pulang!" amuknya. Tidak kira bagaimana pun dia benar-benar mahu pulang. Kangen! Katanya. Habis bagaimana anak-anak saya yang lain, sedang saya di hospital. Kami benar-benar mengharapkannya melihat tiga anak yang lain di rumah. Suami sibuk kerja dan berulang-alik melihat kami di wad. Dari Melaka ke Kuala Lumpur bukanlah jarak yang dekat. Bibik pula diamuk kerinduannya itu. Bagaimanalah kami boleh membenarkan bibik balik dengan senang hati semata-mata untuk mengubat kerinduannya kepada kampung halamannya itu?
Lalu terpaksalah suami saya menjadi kaunselor tidak berdaftar untuk menasihatinya. Kata suami saya: Bibik kena kuat dan tabah, tidak boleh ikut hati sahaja. bukankah bibik datang mahu cari rezeki? Jadi kerjalah dengan baik. Lihat ummi, betapa kuatnya dia menghadapi anak sendirian di hospital, bibik kenalah kuat macam ummi...bla..bla...ummi memang sungguh kuat dan tabah. Bibik kagum sama ummi bagaimanalah ummi menghadapinya sendirian..Part ini diceritakan oleh bibik saya ketika saya telah pulang ke rumah hehe..
Pendek kata saya benar-benar teruji untuk mendapatkan anugerah indah itu! (Harap-harap si Faris akan mengenang umminya dengan doa-doa suatu hari nanti bila membaca catatan saya ini ya nak!)
Namun, bukan mereka sahaja, tetapi saya juga sebenarnya sukakan bayi. Bila Faris sudah besar dan bebas bermain-main bersama kawan-kawannya, banyak ketikanya dia sudah tidak bergantung kepada saya lagi lalu saya membayangkan betapa seronoknya punya seorang bayi kecil yang saya bisa gendong, peluk cium dan bawanya ke sana ke mari. Saya merindukan momen menatap mereka terlena dengan aman dan berwajah comel. Saya rindukan kilauan tatapan kedua mata mereka yang jernih dan wajah tembam, bersih kemanja-manjaan. Saya rindukan saat membayangkan si comel dalam dakapan saya dan saya memegang tangan kecil mereka dan mengacah-acah mereka sehingga mereka membalas senyuman ummi mereka dengan senyuman yang paling manis.
Rupanya benarlah apa yang pernah mak mentua saya katakan suatu ketika dahulu. Kata mak, bila anak sudah agak besar kita pasti merindui seorang bayi lagi lalu walaupun kita kesakitan, kepenatan kita akan sanggup lagi mengambil risiko kerana cinta yang amat kuat itu. Justeru mereka berkorban mengandung dan membesarkan anak-anak lagi dan lagi..Ternyata saya juga mempunyai perasaan sebegitu sekarang...dan ternyata satu perkara yang saya sedari benarnya firman Allah maksudnya: Harta dan anak-anak adalah hiasan dunia...dan hiasan itulah yang saya idam-idamkan..Sungguh hidup ini penuh dengan ujian; nikmat dan musibah ujian kehidupan..
Wednesday, August 26, 2015
Thursday, August 20, 2015
Sayang Negara
Assalamualaikum dan salam merdeka..
Sayang negara harus bagaimana?Adakah mesti menyanyi?Adakah mesti menari?
Adakah mesti mabuk-mabukan?
Adakah mesti berarak petang pulang pagi?
Saya tidak menyanyi..Saya tidak menari..Saya tidak berarak petang pulang pagi..Tapi..saya sayang negara ini..
Lalu sayang negara harus bagaimana?
Ini cuma satu inspirasi
Ulama menunjuk cara
Sayang negara
bukan hanya tarian, nyanyian, pesta-pestaan, mabuk-mabukan
bukan jua bertempik sorak bertepuk tangan dan segala bagai
bimbang menang sorak negara tergadai
sayang negara itu
memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada anak bangsa
memberi kesedaran
dari petunjuk nabi kita
Sayang negara
pertahankan;
cinta,
keharmonian,
kesatuan,
kekuatan,
pengorbanan,
serta doa berterusan kepada pemilik segala
sayangi negara kita dengan segenap cara.
sayangi negara kita dengan segenap cara.
Subscribe to:
Posts (Atom)