Pages

Subscribe:

Saturday, October 18, 2014

TEKA-TEKI

Walidnya suka main teka teki. Soalan malam ini kepada anak-anak:
Di manakah Nabi Muhammad dilahirkan?
Ahmad: Mekah!
Yasmin: Madinah!
Faris: Malaysia!
Apa-apaan sahaja budak-budak ni. Bagaimana pun saya bahagia. Betul tidaknya jawapan anak-anak, yang paling penting kami tetap menikmati masa-masa berharga bersama. Janji semangat persaingan itu ada ya!!


CERITA PAGI CUTI

     Seperti biasa bangun pagi cuti saya akan siapkan seteko air teh pudina dan diletakkan di atas meja.
Belum tengah hari saya terdengar-dengar riuh rendah di dapur.
"Kenapa?" Saya mendapatkan budak-budak.
"Saya belum minum air teh pudina, siapa yang habiskannya?" Si kakak merasa sedih.
"Itulah lain kali cepat-cepat, kalau lambat macam itulah,"
Si kakak memang kurang memperdulikan makan dan minum. Seringkali makanan dan minuman habis baharulah dia teringat hendakkannya. Kalau masa adik-adik berebut-rebut, dia tak endahkannya, sehingga kita merasa dia memang tidak mahu dan tidak berminat. Mungkin juga dia makan dan minum hanya apabila benar-benar terasa lapar. Kalau si Yasmin dan si Ahmad, tidak melengah langsung.  Apa yang ada disebatnya sahaja. Kadang-kadang mereka melihat makanan untuk si kakak tidak terusik lalu mereka tibailah. 

       Bila saya ceritakan hal ini kepada seorang tua dia mencadangkan: "Kau kena simpanlah untuk si kakak tu! 
Kemudian dia bercerita: Makcik dahulu kalau beli buah rambutan, makcik akan kira. Kalau seorang sepuluh biji semua anak akan dapat sepuluh biji. Kemudian kira lagi kalau masih ada lebih lagi, dapatlah lagi seorang sebiji dua.

     Saya mengeluh dalam-dalam. Bab kira-mengira inilah saya paling lemah. Bukan apa, rasanya sudah banyak kerjaan saya, sempatkah saya hendak berkira-kira pula. Lainlah kalau saya suri rumah sepenuh masa. Ini tidak, mana hendak mengajar, mana hendak siap kain baju, hendak lihat pokok bunga yang banyak, hendak menaip manuskrip lagi. Dapat memasak penganan pun sudah syukur, inikan hendak simpan, hendak kira lagi sudah pasti di luar kemampuan saya..
      Berbalik kisah tadi, untuk tidak menghampakan si kakak,  akhirnya saya membuat satu teko teh pudina lagi!





Tuesday, October 14, 2014

CHICKEN POX

Tiba-tiba seluruh tubuh Faris ditulari bintik-bintik besar-besar, bernanah. Bermula dari kepala hingga ke kaki.
"Faris terkena cacar air!" jerit si Yasmin. Ayahnya kelam kabut membawanya ke hospital. Saya tidak lupa berpesan supaya dia mencari dua tiga biji kelapa muda, hendak beri minuma irnya ke Faris.
Cacar itu semakin lama semakin banyak. Malangnya si Faris tidak hendka minum ubat, sebaliknya dia lebih rela menelan air kelapa sahaja. Lalu saya beri dia minum sbeanyak-banyaknya.
    Sungguh kasihan melihat seluruh badan dan pipinya yang tembam dipenuhi bintik-bintik dan bernanah.
"Saya kasihan si Faris.." Yasmin bersuara sedih. Selalunya mereka suka bergaduh berebut chanel tv. Namun keadaan si Faris menyedihkan sesiapa yang melihatnya. Dia terlepek di atas kerusi rehat. Dia kelihatan tidak bertenaga. Sesekali dia bersuara menangisi kulitnya yang semakin teruk. Acapkali dia melihat cermin dan mengeluh..
"Ummi kenapa saya terkena chicken-pox?"
"Allah hendak Faris sabar kan.."
Begitu juga malamnya ketika mahu melelapkan mata ditemani saya. 
"Ummi kenapa saya terkena chicken-pox. Saya taknak chicken-pox.."
"Faris kan orang yang beriman. Orang yang beriman itu sabar. Orang yang sabar itukan masuk syurga?" Saya mengusap kepalanya di dalam kelam.. Diam seketika. Kemudian dia bersuara.
"Oklah saya sabar.." katanya dengan suara yang tertahan-tahan membuat saya terharu dalam kelam malam. Dia masih teringat pengajaran kakaknya tentang hari kiamat.
HARI KIAMAT

Tiba-tiba Faris datang dengan suara yang perlahan sekali. Sedih, muram.
"Ummi, hari kiamat sudah dekat ke?"
"Ye.." Dia semakin sedih.
"Saya taknak masuk neraka.." Suara hampir menangis.
"Taklah, Faris akan masuk syurga.."
"Kenapa saya boleh masuk syurga?"
"Fariskan budak baik, Faris akan bersama umi di syurga.."
"Saya hendak masuk syurga dengan umi.." Dia memeluk saya.
"Kenalah berperangai baik..soleh" kata saya.
"Kenapa?"
"Kalau soleh masuk syurga.."
Kemudian sepagi hari moodnya tidak ceria. Dia teringat bumi yang hampir kiamat ini. Entah siapalah yang telah berjaya mengusik hati si kecil kami. Lalus aya tanyakan dari mana dia belajar tentang hari kiamat.
"Kakak Nuha beritahu.."
Lalu saya tanyakan kakaknya diam-diam, apa yang diceritakan kepada si Faris sehingga dia begitu sedih mengenangkan hari kiamat. Apakah yang telah dibrainwash ke fikiran si kecil sehingga dia kelihatan begitu terpengaruh sekali? Sepanjang hari sepanjang malam. Saya sungguh pelik. 
"Nuha cerita biasa sahaja ummi..Tak sangka pula Faris begitu sedih.." kata Nuha tertawa.
Namun kesannya itu sungguh mendalam pada jiwa si Faris.
Lalu sepanjang hari dan separuh malam saya kena menghadapi moodnya yang sedih. sekejap-sekejap dia datang kepada saya bertanyakan tentang hari akhirat, hari kiamat.
Lalus aya tanyakan kembali.
"Hari kiamat tu apa?"
"Hari kiamat tu bumi ini akan hancur.." Nah, tepat sekali.
Lalu kemudian dia pergi dan tidak lama dia datang kembali. 
"Ummi walid kata bumi ini akan diberi kepada orang yang beriman.."
"Ya.." 
"Orang yang beriman itu apa?"
"Orang yang percaya Allah, yang solat, orang yang soleh, yang baik perangai, orang yang sabar.."
"Orang yang baik dengan ibu bapa, yang sayang kakak, abang dan  yang suka ke sekolah, yang tidak menangis masa ke sekolah.." tambah si Faris sendiri membuatkan saya tertawa..Kemudian dua tiga hari selepas kakaknya balik ke asrama, Faris asyik menyebut tentang syurga dan neraka sahaja. Saya naik risau. Namun dari satu segi; saya lihat betapa berkesannya dakwah si kakak. Mudah-mudahan ke syurga semua kita ya nak..