TEKA-TEKI
Walidnya suka main teka teki. Soalan malam ini kepada anak-anak:
Di manakah Nabi Muhammad dilahirkan?
Ahmad: Mekah!
Yasmin: Madinah!
Faris: Malaysia!
Apa-apaan sahaja budak-budak ni. Bagaimana pun saya bahagia. Betul tidaknya jawapan anak-anak, yang paling penting kami tetap menikmati masa-masa berharga bersama. Janji semangat persaingan itu ada ya!!
CERITA PAGI CUTI
Seperti biasa bangun pagi cuti saya akan siapkan seteko air teh pudina dan diletakkan di atas meja.
Belum tengah hari saya terdengar-dengar riuh rendah di dapur.
"Kenapa?" Saya mendapatkan budak-budak.
"Saya belum minum air teh pudina, siapa yang habiskannya?" Si kakak merasa sedih.
"Itulah lain kali cepat-cepat, kalau lambat macam itulah,"
Si kakak memang kurang memperdulikan makan dan minum. Seringkali makanan dan minuman habis baharulah dia teringat hendakkannya. Kalau masa adik-adik berebut-rebut, dia tak endahkannya, sehingga kita merasa dia memang tidak mahu dan tidak berminat. Mungkin juga dia makan dan minum hanya apabila benar-benar terasa lapar. Kalau si Yasmin dan si Ahmad, tidak melengah langsung. Apa yang ada disebatnya sahaja. Kadang-kadang mereka melihat makanan untuk si kakak tidak terusik lalu mereka tibailah.
Bila saya ceritakan hal ini kepada seorang tua dia mencadangkan: "Kau kena simpanlah untuk si kakak tu!
Kemudian dia bercerita: Makcik dahulu kalau beli buah rambutan, makcik akan kira. Kalau seorang sepuluh biji semua anak akan dapat sepuluh biji. Kemudian kira lagi kalau masih ada lebih lagi, dapatlah lagi seorang sebiji dua.
Saya mengeluh dalam-dalam. Bab kira-mengira inilah saya paling lemah. Bukan apa, rasanya sudah banyak kerjaan saya, sempatkah saya hendak berkira-kira pula. Lainlah kalau saya suri rumah sepenuh masa. Ini tidak, mana hendak mengajar, mana hendak siap kain baju, hendak lihat pokok bunga yang banyak, hendak menaip manuskrip lagi. Dapat memasak penganan pun sudah syukur, inikan hendak simpan, hendak kira lagi sudah pasti di luar kemampuan saya..
Berbalik kisah tadi, untuk tidak menghampakan si kakak, akhirnya saya membuat satu teko teh pudina lagi!
Saturday, October 18, 2014
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment