PERUMPAMAAN SI FARIS
Pada suatu malam yang damai, si kecil mencelah ke tempat peraduan kami lalu memegang tangan saya dan menciumnya dengan sikapnya yang kemanja-manjaan begitu..
"Saya bergantung pada ummi..macam besi dengan magnet. Ummi magnet, saya besi!!"
Umpama besi dan magnet..Wah, saya tidak dapat menahan tawa. Si kecil membuat perumpamaan baharu. Kalau sebelum ini saya hanya pernah dengar umpama belangkas. Malam ini bertuahnya saya mendapat pelajaran baharu..
"Tapi pergantungan yang sebenarnya bukan pada ummi sebaliknya kepada Allah ya sayang..." Timpal saya disertai pelajaran akidah..Si kecil memejam mata sambil tersenyum.
NEGARAKU
Pada suatu malam yang lain pula iaitu pada malam Jumaat beberapa minggu sudah, ketika dia sudah hendak memejam mata, tiba-tiba dia bersuara menyatakan permintaannya yang sukar juga saya hendak tunaikan.
"Ummi, nyanyikan saya lagu Negaraku!"
"Isy, orang tak menyanyi lagu Negaraku malam Jumaat begini. Orang baca Surah Yasinke, baca Surah Al Kahfike..."
"Tapi..cikgu kata saya kena nyanyi lagu Negaraku pada perhimpunan hari Isnin nanti. Saya tak tahu macam mana?" Wajahnya menunjukkan kebimbangan. Kasihan juga bukan?
Menyanyikan lagu Negaraku tanpa iringan muzik tanpa suasana rasmi perhimpunan pagi membuatkan suara saya timbul tenggelam, picing lari. Kalau si Yasmin dengar sudah pasti dia akan kata: Sudahlah ummi, nanti hujan turun!
Hmm, beginilah sudah tua punya anak kecil, layankan ajelah..
NINJA WARRIOR
"Ummi, sebenarnya cita-cita saya bukan hendak menjadi seorang doktor.." Faris ini bahasa memang begitu rasmi membuku. Mungkin hasil suka tengok tv.
"Habis? Faris hendak jadi apa?"
"Sebenarnya...cita-cita saya hendak menjadi Ninja Warrior..."
Ohh, patutlah kesukaannya sekarang memanjat sahaja. Hendak tidur pukul sepuluh memanjat tingkap, memanjat pintu. Pagi-pagi sudah memanjat tiang hingga ke siling, menyepak pintu pagar lagak hero..
"Kenapa awak hendak menjadi Ninja Warrior?"
"Saya hendak selamatkan bumi ini..." Sah, cerita-cerita di tv sudah mempengaruhinya.
0 comments:
Post a Comment