Pages

Subscribe:

Thursday, December 26, 2013

WAHAI IBU,  BERSABARLAH..

Kata orang, kalau hendak tahu diri anda bersabar atau tidak, berkahwinlah dan beranak-pinaklah. Ini, berlaku kepada saya petang tadi. Selepas selesai solat asar, saya keluar rumah hendak melihat pokok-pokok bunga dan tanaman saya yang selama beberapa bulan ini saya tanam. Sebaik sahaja membuka pintu dapur saya lihat bertimbun-timbun rumput telah terkopek dan tercabut..

"Masya Allah, Allahuakbar, siapa yang buat ini?"
"Saya," kata Ahmad. Kelihatan berpeluh-peluh mengerjakan rumput itu agaknya. Saya mengurut dada, beristighfar..
"Ahmad, inikan rumput yang ummi tanam, kenapa Ahmad cabut??"
"Lah, saya ingatkan rumput ini mengganggu dan perlu dicabut.."
 Patutlah saya terdengar gedebuk-gedebak di luar tadi. Terfikir juga apa yang dilakukan oleh budak-budak ini di halaman. Akan tetapi kerana sibuk menguruskan hal-hal domestik saya tidak tergerak hati hendak menjengah ke luar sebentar.

     Allah, Allah, terasa ketat dada melihatnya, memang rasa hendak menjerit sahaja melihat rumput mutiara yang saya beli dan semai di laman dapur telah terkopak dari tanah. Akan tetapi bila memikirkan Si Ahmad yang berjurus dan lurus begitu, saya sabarkan hati sangat-sangat. Takut bila saya menjerit Ahmad akan merajuk kerana dia merasakan mahu berbakti kepada umminya dengan menolong mencabut rumput-tumput itu tidak dihargai. 

"Ahmad, ini bukan rumput yang ummi mahu buang. Yang ummi cabut selalu tu rumput yang tinggi-tinggi macam rumput ni.." Saya menunjukkan kepadanya.
"Tengok, rumput ini tidak menganggu, dia tidak tinggi." 
    
    Rumput mutiara ini sudahlah sukar sekali membiakkannya. Sejak beberapa bulan baharulah kelihatan dia membiak dengan subur, kini dicangkul-cangkul pula. Mungkin dia telah tersalah kerana melihat saya selalu mencabut rumput selama ini. Alahai anak ummi...Ummi hendak cantik pun susah sangat. Ada sahaja yang mengganggu tanaman dan bunga-bunga kesayangan saya sehingga tidak banyak lagi berkembang. Ulat daun, kumbang menjadi musuh utama.

    Itu belum lagi yang sengaja dipatah-patah dan dipetik oleh si Faris, yang terlanggar sehingga terbalik pasunya sewaktu mereka bermain kejar-kejar..oh, jadi ibu ini banyak kena sabar ya? Bukan sedikit..baanyakkk sangaaat..

    Justeru, wahai ummi, bersabarlah dengan anak-anakmu ini..Mudahan-mudahan sahaja segala pahit manis membesarkan mereka menjadi nostalgia manis belaka pada ketika saya tua nanti..

Monday, December 16, 2013

   

      LANGKAWI

      Baru-baru ini, pada 8 Disember 2013 saya diajak oleh suami ke Langkawi. Bukan untuk bercuti cuma menemani dirinya yang berkursus di sana. Kebetulan, dia mendapat penginapan sebilik seorang dengan katil kingsize, jadi dapatlah saya menumpang di biliknya. Kami tahu tentang itu kerana sehari sebelum itu suami telah menelefon hotel bertanyakan tentang keadaan biliknya. Tentang makanan pandai-pandailah kami mencarinya kerana makanan kami tidak disediakan kecuali untuk perserta kursus sahaja. Kami menginap di My Hotel di pekan Kuah. Pekan Kuah ini berdekatan dengan jeti. Sebagai dikata menemani orang kursus, saya tidak banyak berjalan ke tempat peranginan. 

    Tidak ada apa yang boleh dibuat di hotel ini dengan anak kecil yang asyik hendak melihat pemandangan di balkoni dari tingkat 12. Saya tidak senang duduk. Saat ini saya sangat mengesalkan tidak punya ipad atau notebook yang membolehkan saya menaip cerita atau apa. Cuba kalau ada, sudah tentu banyak cerita yang dapat saya taip. Perasan, hehe. Kekesalan saya semakin bertambah apabila saya menerima panggilan daripada editor ITBM, En. Zulkifli Jamaasim yang meminta saya menghantar blurb dan prakata untuk kumpulan cerpen saya selewat-lewatnya hari Rabu.  Sedang saya masih terperangkap di sini, hanya akan kembali ke kampung Sabtunya. 

    Tidak tahu juga ke mana hendak dicari cc kerana di sini hanya kelihatan kedai-kedai pinggan mangkuk, kain-baju  dan coklat sahaja. Saya juga tidak tahu sama ada di hotel ini yang katanya 3 bintang ada servis internet atau tidak. Lalu apabila suami naik ke bilik selepas makan tengah hari beliau bertanya ke hotel. Ternyata internet cuma ada di lobi dan mestilah menggunakan laptop sendiri. Saat inilah kekesalan tidak punya ipad canggih itu memuncak, tetapi saya tidak menyebut apa-apa di hadapan suami. Kesal juga, (lagi) seharusnya saat inilah saya menguatkan hujah saya berjuang untuk mendapatkan alat canggih itu. Bukankah ketiadaan alat itu menyebabkan kerja-kerja penulisan saya terganggu? Kadang-kadang idea datang mencurah-curah terpaksa dilupakan begitu sahaja. Mencurah2? Huh perasan! Tapi apa betul bukan? Idea kadang2 muncul, kadang-kadang menghilang. Ia dari Allah terpulang kita menjaganya. Hendak menulis pakai tangan, huh letih tahu! Tidak ada jalan lain, saya terpaksa merangka blurb dan prakata dahulu, nanti saya akan call adik saya, membaca kepadanya di hp dan memintanya atau anak2 saudara yang pintar menghantarnya ke editor. Meski saya sendiri tidak pernah menulisnya sebelum ini. Maklum sahaja, baru kini buku saya hendak diterbitkan, haha. Akhirnya masalah itu dapat diselesaikan dengan susah payah anak2 saudaraku itu. Terima kasih semua, adikku Nabiha dan anak2 saudara, Farah dan Siti yang terpaksa bekerja keras. Tetapi dari itu, kalian juga belajar sesuatu bukan?

     Oleh kerana seumur hidup tidak pernah ke Langkawi saya agak teruja hendak mengikut suami (serius pun). Suami pula memang berniat mengajak saya kerana bosan bakal bersendirian bila waktu rehat di kamar yang besar itu. Anak-anak tiga yang atas kami tinggalkan di rumah kakak saya di Kuala Kurau. Faris terpaksa kami bawa kerana bimbang dia akan menangis pada malam mencari uminya. Kami bertolak pada pagi hari menuju ke utara. Menaiki feri di Kuala Kedah pada pukul 1 tengah hari. Perjalanan hampir 2 jam menempuh ombak laut. Rupa-rupanya Langkawi terletak agak jauh dari tanah besar. Sehingga tidak kelihatan mana-mana daratan apabila berada di tengah laut. Tidak seperti Pulau Pinang. Rupa-rupanya si Faris tidak menyukai tempat baru itu. Dia asyik menyebut mahu pulang setiap masa. Tiap kali ditanya seronok atau tidak, jawapannya pasti tidak! Menyesal juga membawanya. 

     Dia lebih suka berada di rumah maklongnya kerana mahu bermain dengan sepupunya Abang Iwan. Saya tahu yang paling disukai ialah bermain game hp abang sepupunya itu. Beberapa kali dia memarahi dan megngesalkan saya kerana membawanya. 

     "Kenapa umi bawa saya? Lain kali saya tak mahu datang lagi ke sini??" Ayat itulah yang diulang-ulang sehingga telinga saya menjadi bengang. Telah beberapa kali saya menjelaskan kenapa kami membawanya. Kami bimbang dia akan bangun malam dan mencari saya. Kerana si Faris selalu mahu di bawah ketiak uminya sepanjang masa. Namun, dia tidak mahu mengerti sebaliknya terus menyalahkan saya. 

    Pakej tiga malam empat hari di hotel sepatutnya sangat indah untuk dinikmati.  Namun, berada di pulau peranginan dengan terkurung di hotel sahaja sudah pasti bukan sesuatu yang menyeronokkan. Apatah lagi saya hanya keluar ketika mahu mencari makan pagi. Kerana makanan kami hanya menumpang, makanan kami tiada dalam peruntukan. Mujur juga ada kedai-kedai makan di sekitar dan ada banyak juga kedai untuk membeli coklat dan pinggan mangkuk. Setelah suami ke dewan kursusnya, kami keluar, mencari kedai makan. 

     Ketika makan si Faris bertanyakan kedudukan kewangan saya.

      "Duit umi tinggal sikit ke banyak?" tanya si kecil. 

      "Sikit.." balas saya. 

      " Sikit macam ni?" Dia menunjukkan isyarat nipis dengan ibu jari dan jari telunjuk. 

      "Ya..Jadi Faris jangan minta-minta dibeli lagi tahu? Umi sudah banyak membeli mainan Faris dan belanja makan." 

    "Ya!"

         "Maafkan saya umi kerana menyebabkan duit umi hampir habis.." katanya tiba-tiba..dengan suara tulus dan mata bening sambil mengunyah nasi lemak di mulutnya. Saya tersenyum terharu. Si kecil ini benar-benar membuatkan kami tercuit hati, bahagia dengan tingkahnya yang manja dan pintar. 

      Namun bagai dikata bershopping dengan budak kecil seperti Faris sudah pasti ada-ada sahaja perangainya yang membuatkan mood saya untuk membeli-belah hilang begitu sahaja. Baru sahaja saya teruja melihat-lihat pinggan mangkuk yang mahal-mahal , si Faris datang merengek-rengek minta dibelikan permainan untuknya. Saya sabarkan dia. Tetapi berapa lama? Eh, datang lagi dia merengek-rengek.

       "Umi tak sayangkan saya.." Lirih suaranya yang kehampaan. Dia menarik bibir bawah selebarnya menjadikan muka empat segi,  menyebabkan orang keliling ketawa. Lupa sudah janjinya dan kata maafnya sebentar tadi. Faris terus merengek. Tidak sudah, lalu dibelikan juga benda yang diminatinya itu. Huh, terbang duit lagi sejak dua hari di jalan. 

     Selepas itu dia agak diam. Saya kembali menatap minat saya.  Baru sahaja bertanya-tanyakan harga, dia datang dengan nada cemas: "Ummi, saya nak terkencing!" "Huh, saya gelabah. Adakah tandas di kedai sebegini. "Tahan sekejap boleh.." Saya berhasrat untuk balik ke hotel sahaja. 

    "Saya dah tak tahan lagi!!!" Saya buru-buru bertanyakan tandas kepada pekedai. Nasib baik ada tandas di dalam kedai itu. Saya pun membawa Faris ke belakang. Dengan  muka tebal, terpaksa meminta maaf dan izin kepada petugas yang sedang mencuci tandas.

      Selepas itu entah apa-apa lagi lakonan si Faris. Saya sudah hilang mood untuk melihat pinggan mangkuk. Apatah lagi memikirkan duit yang bakal semakin susut jika dia berkenan permainan baru nanti.

     "Sudahlah adik, jom kita balik saja!" ajak saya. Kami berjalan beriringan menyusuri jalan sepi dan menaiki jambatan melalui hadapan Baron Hotel. Dan seperti sehari lepas, dan seperti malam semalamnya saya terpaksa menahan telinga mendengar bebelan si kecil: 

    "Kenapa umi bawa saya ke sini? Lain kali jangan bawa saya ke sini lagi!! Saya tak nak ikut umi lagi!! Saya nak di rumah maklong!! Faham tak?" Waduh, si Faris ini, kecil-kecil lagi sudah pandai mengomel, getus saya dalam hati. 


     

    

Monday, December 2, 2013

ANAK-ANAKKU

ANAK-ANAKKU SAYANG

     Semalam merupakan hari pertama kami tiada pembantu rumah. Hal demikian kerana selama setahun setengah ini saya meminjam pembantu sepupu saya. Sebelum itu telah beberapa pembantu dalam dan luar negara kami pakai. Yang terakhir pembantu Indonesia, Puji Lestari tamat kontrak, suami saya memutuskan tidak mahu menggunakan khidmat pembantu luar negara lagi kerana banyak prosedur yang majikan kena penuhi. Kebetulan sepupu saya itu bertugas di luar negara selama setahun lebih, jadi beliau dengan murah hati meminjamkan pembantu rumah beliau kepada kami. Terima kasih Shikin, terima kasih daun keladi , hehe.

     Kembali bersendirian menguruskan , saya merasa  agak berdebar menanti hari-hari yang bakal dilalui. Anak-anak pula masih kecil. Leka bermain dan menonton tv sahaja. Segala kerja rumah dalam dan luar tentulah terletak di bahu saya. Itulah yang membuatkan saya agak menggelabah. Lebih-lebih lagi kesibukan saya sebagai guru dan penulis (penulis? haha). Bila sudah tiada pembantu sudah pasti masa saya semakin terhad untuk duduk lama-lama mengetik di laptop. Namun apakan daya, sebagai memenuhi janji kami menghantar Kak Nah ke Shah Alam tempat Shikin menumpang di rumah mertuanya sementara waktu pada hari Ahad. Hari Ahad (1/12/2013) sepatutnya Kak Nah telah berkhidmat kepada Shikin tetapi kami telah menghantarnya petang. Pukul 5.30 petang baharu sampai di sana. Jadi kiranya kami telah termakan hak Shikin selama satu hari, harap dihalalkan hehe..

      Semalam pula sehari suntuk hujan. Dalam kesibukan mengurus hal-hal rumah; cuci kain (mesin yang cuci..), menyapu sampah dan memasak Yasmin datang dengan mata merah. 
     "Umi, boleh tak kita ke klinik sekarang? Kucing saya sakit!!" tangisnya.
     "Kenapa?" Saya ingat kucing yang dirawat oleh Yasmin dijumpai di jalan. Masih sangat kecil. Dia tidak pandai minum apatah lagi makan. Jenuh Yasmin menitikkan susu ke mulutnya. Semalam sebaik tiba dari Shah Alam pada pukul 10 malam kami telah berinya minum susu (susu Enfagrow si Faris). Setelah itu Yasmin meletaknya di dalam kotaknya semula. 
      "Saya tak tahu tapi, habis bulunya digigit semut.." semakin kuat tangisan Yasmin. Saya kebingungan dan galau. Sudahlah saya kelam kabut menguruskan rumah, hujan sejak pagi tidak boleh ke mana-mana. Dia mengajak saya ke klinik haiwan pula. Saya pun tidak tahu kliniknya di mana. Maklumlah selama ini cuma selalu pergi ke klinik manusia sahaja. Tidak pernah sekali pun selama lebih 40 tahun hidup saya berurusan dengan hal-hal begini.
     
      Akan tetapi anak kucing itu sungguh kasihan. Bulu-bulu punggungnya tercabut, dia sangat lemah sehingga tidak berupaya mengiau lagi. 
      Dalam pada itu, saya teringat Norizah kawan setugas di sekolah yang membela kucing. Katanya dia pun tidak tahu mana klinik haiwan yang paling dekat dengan Bukit Rambai. Dia pernah sekali ke klinik di Batu Berendam. Aduh, saya susah sekali. Batu Berendam itu bukanlah laluan kebiasaan saya. Bagaimana hendak mencarinya dalam hujan renyai dan cuaca muram begini. Kata Norizah, ada sebuah klinik di Sungai Udang tetapi dia sendiri tidak pernah pergi ke sana dan tidak tahu di mana lokasinya. Lalu dia mencadangkan supaya saya bertanya seorang teman kami yang suka juga membela kucing.

     Dalam pada itu tiba-tiba saya teringat dengan seorang guru ganti yang mengajar di sekolah kami. Saya tahu kerana mengenali emak dan ayahnya. Ayahnya seorang doktor haiwan yang telah bersara. Dia pula tinggal di baris belakang rumah saya. Lalu saya segera mendail nombornya. Setelah bertanyakan ayahnya, kemudian memberikan lokasi yang sama iaitu di tepi kilang biskut di Batu Berendam tentunya! Saya hampir putus asa. Saya katakan yang saya tidak tahu tempat yang diceritakan itu sedangkan anak kucing itu semakin lemah.

    Mujur juga si teman ini kemudian menulis mesej lebih lanjut tentang jalan-jalan yang harus tempuh sehingga saya dapat melakar sedikit peta dari point yang dikatakan itu. Lalu pada pukul 10 lebih kurang kami telah terpacak di hadapan klinik. Maju Animal Clinic. Mudah juga laluannya tidaklah berbelit-belit. Dengan segera anak kucing yang diberi nama Hitam atau Pussy itu diberikan rawatan. Doktor seorang perempuan Cina yang muda sangat cantik orangnya mengatakan yang kucing itu kekurangan tenaga lalu diberi bantuan minum air glukos. Doktor menunjukkan cara memberi minum menggunakan picagari kecil.Selepas minum tiba-tiba sahaja si kecil menggeliat dan membuka mata. Kami teruja. Doktor kata mungkin susu yang kami beri tidak sesuai. Al maklum, susunya pakai susu Enfagrow si Faris!

     Ketika saya bertanya bagaimana hendak memberi minum rakan saya kata kena bagi minum pakai botol? Bagi minum dengan botol Faris? Bukan, ada botol khusus untuk dia..   Oh ya tidak lama dahulu saya tertawa terbahak-bahak bila diberitahu oleh si teman bahawa jika kita ingin pergi lama kita boleh meletakkan kucing di hotel. Ada hotel untuk kucing dan juga jika sakit, kucing juga menjalani pembedahan dan tinggal di wad!
    
      Saya kemudian membuat bayaran yang dikenakan sebanyak  lebih kurang RM60 dengan cadangan supaya anak kucing itu dibawa berjumpa doktor lagi dua minggu kemudian. Setelah, itu kami juga diberi satu kad klinik Pet Health and Medical Record. Lucu juga. Dalam hati saya berkata setelah sekian lama tidak menjaga bayi kini saya kena menyimpan satu lagi kad bayi; bayi kucing!  Bertambahlah kad klinik yang saya kena failkan! 

     Kami balik setelah tersesat-sesat kemana-mana. Menjadi kebiasaan saya bila kurang arif dengan jalan, saya datang dengan jalan lain, balik dengan jalan lain..Beberapa lama kami tersesat dalam hujan dan mendung, namun akhirnya saya menarik nafas lega. Kami tiba juga ke laluan Bukit Rambai. Saya singgah sebentar di Petronas untuk mengisi minyak. Yasmin yang sejak tadi mengelus kucingnya tiba-tiba memandang saya dengan wajah penuh tanda tanya..
    "Ummi, saya rasa kucing saya sudah matilah.."
    " Yakah?" saya melihat si kucing tidak bergerak-gerak lagi. "Takpalah nanti kita sampai rumah tengok." Kami tersesat lama pulak, hampir sejam dari Batu Barendam ke Bukit Rambai..
   
    Fikiran saya juga galau memikirkan anak-anak yang ditinggalkan di rumah. Faris yang demam. Saya memandu dengan fikiran kacau. Sungguh saya tidak pernah meninggalkan anak-anak saya begitu sahaja. Setiap kali pergi mesti ada orang yang menjaga kebajikan mereka di rumah. Saya tidak akan tenang meninggalkan mereka begitu sahaja. Tetapi pagi ini benar-benar terpaksa. Saya fikir apalah akan terjadi di rumah sepanjang ketiadaan saya. Kalau keadaan rumah bersepah dan tunggang- langgang saya tidak kisah. Yang saya bimbangkan kalau mereka bergaduh, berebut siaran tv sehingga salah seorang cedera. Kisah begitu kan banyak keluar di tv dan suratkhabar? Itu yang membuatkan kepala saya sedikit berat dan tidak tumpu sehingga beberapa kali sesat jalan. 
      Setelah beberapa lama akhirnya sampai juga kami ke rumah. Al hamdulillah segalanya baik2 sahaja. Rumah tidak  berselerak. Singki tetap kosong dan bersih. Si Faris yang pagi tadi comot telah kelihatan bersih.
     "Siapa yang mandikan adik?"
     "Kak Nuha.." jawab si Ahmad. Syukur..anak-anakku semakin pintar dan  telah pandai berdikari sedikit demi sedikit. Saya terharu. Berbalik kepada si kucing tadi ternyata telahan Yasmin benar. Si Hitan atau si Pussy (menurut panggilan Yasmin)  tidak dapat diselamatkan lagi. Yasmin yang prihatin dan penyayang  menangis tersedu-sedu. Satu kerja menanti saya petang itu, iaitu menguburkan si Hitam dalam hujan renyai dan cuaca muram..