skip to main |
skip to sidebar
LANGKAWI
Baru-baru ini, pada 8 Disember 2013 saya diajak oleh suami ke Langkawi. Bukan untuk bercuti cuma menemani dirinya yang berkursus di sana. Kebetulan, dia mendapat penginapan sebilik seorang dengan katil kingsize, jadi dapatlah saya menumpang di biliknya. Kami tahu tentang itu kerana sehari sebelum itu suami telah menelefon hotel bertanyakan tentang keadaan biliknya. Tentang makanan pandai-pandailah kami mencarinya kerana makanan kami tidak disediakan kecuali untuk perserta kursus sahaja. Kami menginap di My Hotel di pekan Kuah. Pekan Kuah ini berdekatan dengan jeti. Sebagai dikata menemani orang kursus, saya tidak banyak berjalan ke tempat peranginan.
Tidak ada apa yang boleh dibuat di hotel ini dengan anak kecil yang asyik hendak melihat pemandangan di balkoni dari tingkat 12. Saya tidak senang duduk. Saat ini saya sangat mengesalkan tidak punya ipad atau notebook yang membolehkan saya menaip cerita atau apa. Cuba kalau ada, sudah tentu banyak cerita yang dapat saya taip. Perasan, hehe. Kekesalan saya semakin bertambah apabila saya menerima panggilan daripada editor ITBM, En. Zulkifli Jamaasim yang meminta saya menghantar blurb dan prakata untuk kumpulan cerpen saya selewat-lewatnya hari Rabu. Sedang saya masih terperangkap di sini, hanya akan kembali ke kampung Sabtunya.
Tidak tahu juga ke mana hendak dicari cc kerana di sini hanya kelihatan kedai-kedai pinggan mangkuk, kain-baju dan coklat sahaja. Saya juga tidak tahu sama ada di hotel ini yang katanya 3 bintang ada servis internet atau tidak. Lalu apabila suami naik ke bilik selepas makan tengah hari beliau bertanya ke hotel. Ternyata internet cuma ada di lobi dan mestilah menggunakan laptop sendiri. Saat inilah kekesalan tidak punya ipad canggih itu memuncak, tetapi saya tidak menyebut apa-apa di hadapan suami. Kesal juga, (lagi) seharusnya saat inilah saya menguatkan hujah saya berjuang untuk mendapatkan alat canggih itu. Bukankah ketiadaan alat itu menyebabkan kerja-kerja penulisan saya terganggu? Kadang-kadang idea datang mencurah-curah terpaksa dilupakan begitu sahaja. Mencurah2? Huh perasan! Tapi apa betul bukan? Idea kadang2 muncul, kadang-kadang menghilang. Ia dari Allah terpulang kita menjaganya. Hendak menulis pakai tangan, huh letih tahu! Tidak ada jalan lain, saya terpaksa merangka blurb dan prakata dahulu, nanti saya akan call adik saya, membaca kepadanya di hp dan memintanya atau anak2 saudara yang pintar menghantarnya ke editor. Meski saya sendiri tidak pernah menulisnya sebelum ini. Maklum sahaja, baru kini buku saya hendak diterbitkan, haha. Akhirnya masalah itu dapat diselesaikan dengan susah payah anak2 saudaraku itu. Terima kasih semua, adikku Nabiha dan anak2 saudara, Farah dan Siti yang terpaksa bekerja keras. Tetapi dari itu, kalian juga belajar sesuatu bukan?
Oleh kerana seumur hidup tidak pernah ke Langkawi saya agak teruja hendak mengikut suami (serius pun). Suami pula memang berniat mengajak saya kerana bosan bakal bersendirian bila waktu rehat di kamar yang besar itu. Anak-anak tiga yang atas kami tinggalkan di rumah kakak saya di Kuala Kurau. Faris terpaksa kami bawa kerana bimbang dia akan menangis pada malam mencari uminya. Kami bertolak pada pagi hari menuju ke utara. Menaiki feri di Kuala Kedah pada pukul 1 tengah hari. Perjalanan hampir 2 jam menempuh ombak laut. Rupa-rupanya Langkawi terletak agak jauh dari tanah besar. Sehingga tidak kelihatan mana-mana daratan apabila berada di tengah laut. Tidak seperti Pulau Pinang. Rupa-rupanya si Faris tidak menyukai tempat baru itu. Dia asyik menyebut mahu pulang setiap masa. Tiap kali ditanya seronok atau tidak, jawapannya pasti tidak! Menyesal juga membawanya.
Dia lebih suka berada di rumah maklongnya kerana mahu bermain dengan sepupunya Abang Iwan. Saya tahu yang paling disukai ialah bermain game hp abang sepupunya itu. Beberapa kali dia memarahi dan megngesalkan saya kerana membawanya.
"Kenapa umi bawa saya? Lain kali saya tak mahu datang lagi ke sini??" Ayat itulah yang diulang-ulang sehingga telinga saya menjadi bengang. Telah beberapa kali saya menjelaskan kenapa kami membawanya. Kami bimbang dia akan bangun malam dan mencari saya. Kerana si Faris selalu mahu di bawah ketiak uminya sepanjang masa. Namun, dia tidak mahu mengerti sebaliknya terus menyalahkan saya.
Pakej tiga malam empat hari di hotel sepatutnya sangat indah untuk dinikmati. Namun, berada di pulau peranginan dengan terkurung di hotel sahaja sudah pasti bukan sesuatu yang menyeronokkan. Apatah lagi saya hanya keluar ketika mahu mencari makan pagi. Kerana makanan kami hanya menumpang, makanan kami tiada dalam peruntukan. Mujur juga ada kedai-kedai makan di sekitar dan ada banyak juga kedai untuk membeli coklat dan pinggan mangkuk. Setelah suami ke dewan kursusnya, kami keluar, mencari kedai makan.
Ketika makan si Faris bertanyakan kedudukan kewangan saya.
"Duit umi tinggal sikit ke banyak?" tanya si kecil.
"Sikit.." balas saya.
" Sikit macam ni?" Dia menunjukkan isyarat nipis dengan ibu jari dan jari telunjuk.
"Ya..Jadi Faris jangan minta-minta dibeli lagi tahu? Umi sudah banyak membeli mainan Faris dan belanja makan."
"Ya!"
"Maafkan saya umi kerana menyebabkan duit umi hampir habis.." katanya tiba-tiba..dengan suara tulus dan mata bening sambil mengunyah nasi lemak di mulutnya. Saya tersenyum terharu. Si kecil ini benar-benar membuatkan kami tercuit hati, bahagia dengan tingkahnya yang manja dan pintar.
Namun bagai dikata bershopping dengan budak kecil seperti Faris sudah pasti ada-ada sahaja perangainya yang membuatkan mood saya untuk membeli-belah hilang begitu sahaja. Baru sahaja saya teruja melihat-lihat pinggan mangkuk yang mahal-mahal , si Faris datang merengek-rengek minta dibelikan permainan untuknya. Saya sabarkan dia. Tetapi berapa lama? Eh, datang lagi dia merengek-rengek.
"Umi tak sayangkan saya.." Lirih suaranya yang kehampaan. Dia menarik bibir bawah selebarnya menjadikan muka empat segi, menyebabkan orang keliling ketawa. Lupa sudah janjinya dan kata maafnya sebentar tadi. Faris terus merengek. Tidak sudah, lalu dibelikan juga benda yang diminatinya itu. Huh, terbang duit lagi sejak dua hari di jalan.
Selepas itu dia agak diam. Saya kembali menatap minat saya. Baru sahaja bertanya-tanyakan harga, dia datang dengan nada cemas: "Ummi, saya nak terkencing!" "Huh, saya gelabah. Adakah tandas di kedai sebegini. "Tahan sekejap boleh.." Saya berhasrat untuk balik ke hotel sahaja.
"Saya dah tak tahan lagi!!!" Saya buru-buru bertanyakan tandas kepada pekedai. Nasib baik ada tandas di dalam kedai itu. Saya pun membawa Faris ke belakang. Dengan muka tebal, terpaksa meminta maaf dan izin kepada petugas yang sedang mencuci tandas.
Selepas itu entah apa-apa lagi lakonan si Faris. Saya sudah hilang mood untuk melihat pinggan mangkuk. Apatah lagi memikirkan duit yang bakal semakin susut jika dia berkenan permainan baru nanti.
"Sudahlah adik, jom kita balik saja!" ajak saya. Kami berjalan beriringan menyusuri jalan sepi dan menaiki jambatan melalui hadapan Baron Hotel. Dan seperti sehari lepas, dan seperti malam semalamnya saya terpaksa menahan telinga mendengar bebelan si kecil:
"Kenapa umi bawa saya ke sini? Lain kali jangan bawa saya ke sini lagi!! Saya tak nak ikut umi lagi!! Saya nak di rumah maklong!! Faham tak?" Waduh, si Faris ini, kecil-kecil lagi sudah pandai mengomel, getus saya dalam hati.
0 comments:
Post a Comment