Pages

Subscribe:

Monday, December 2, 2013

ANAK-ANAKKU

ANAK-ANAKKU SAYANG

     Semalam merupakan hari pertama kami tiada pembantu rumah. Hal demikian kerana selama setahun setengah ini saya meminjam pembantu sepupu saya. Sebelum itu telah beberapa pembantu dalam dan luar negara kami pakai. Yang terakhir pembantu Indonesia, Puji Lestari tamat kontrak, suami saya memutuskan tidak mahu menggunakan khidmat pembantu luar negara lagi kerana banyak prosedur yang majikan kena penuhi. Kebetulan sepupu saya itu bertugas di luar negara selama setahun lebih, jadi beliau dengan murah hati meminjamkan pembantu rumah beliau kepada kami. Terima kasih Shikin, terima kasih daun keladi , hehe.

     Kembali bersendirian menguruskan , saya merasa  agak berdebar menanti hari-hari yang bakal dilalui. Anak-anak pula masih kecil. Leka bermain dan menonton tv sahaja. Segala kerja rumah dalam dan luar tentulah terletak di bahu saya. Itulah yang membuatkan saya agak menggelabah. Lebih-lebih lagi kesibukan saya sebagai guru dan penulis (penulis? haha). Bila sudah tiada pembantu sudah pasti masa saya semakin terhad untuk duduk lama-lama mengetik di laptop. Namun apakan daya, sebagai memenuhi janji kami menghantar Kak Nah ke Shah Alam tempat Shikin menumpang di rumah mertuanya sementara waktu pada hari Ahad. Hari Ahad (1/12/2013) sepatutnya Kak Nah telah berkhidmat kepada Shikin tetapi kami telah menghantarnya petang. Pukul 5.30 petang baharu sampai di sana. Jadi kiranya kami telah termakan hak Shikin selama satu hari, harap dihalalkan hehe..

      Semalam pula sehari suntuk hujan. Dalam kesibukan mengurus hal-hal rumah; cuci kain (mesin yang cuci..), menyapu sampah dan memasak Yasmin datang dengan mata merah. 
     "Umi, boleh tak kita ke klinik sekarang? Kucing saya sakit!!" tangisnya.
     "Kenapa?" Saya ingat kucing yang dirawat oleh Yasmin dijumpai di jalan. Masih sangat kecil. Dia tidak pandai minum apatah lagi makan. Jenuh Yasmin menitikkan susu ke mulutnya. Semalam sebaik tiba dari Shah Alam pada pukul 10 malam kami telah berinya minum susu (susu Enfagrow si Faris). Setelah itu Yasmin meletaknya di dalam kotaknya semula. 
      "Saya tak tahu tapi, habis bulunya digigit semut.." semakin kuat tangisan Yasmin. Saya kebingungan dan galau. Sudahlah saya kelam kabut menguruskan rumah, hujan sejak pagi tidak boleh ke mana-mana. Dia mengajak saya ke klinik haiwan pula. Saya pun tidak tahu kliniknya di mana. Maklumlah selama ini cuma selalu pergi ke klinik manusia sahaja. Tidak pernah sekali pun selama lebih 40 tahun hidup saya berurusan dengan hal-hal begini.
     
      Akan tetapi anak kucing itu sungguh kasihan. Bulu-bulu punggungnya tercabut, dia sangat lemah sehingga tidak berupaya mengiau lagi. 
      Dalam pada itu, saya teringat Norizah kawan setugas di sekolah yang membela kucing. Katanya dia pun tidak tahu mana klinik haiwan yang paling dekat dengan Bukit Rambai. Dia pernah sekali ke klinik di Batu Berendam. Aduh, saya susah sekali. Batu Berendam itu bukanlah laluan kebiasaan saya. Bagaimana hendak mencarinya dalam hujan renyai dan cuaca muram begini. Kata Norizah, ada sebuah klinik di Sungai Udang tetapi dia sendiri tidak pernah pergi ke sana dan tidak tahu di mana lokasinya. Lalu dia mencadangkan supaya saya bertanya seorang teman kami yang suka juga membela kucing.

     Dalam pada itu tiba-tiba saya teringat dengan seorang guru ganti yang mengajar di sekolah kami. Saya tahu kerana mengenali emak dan ayahnya. Ayahnya seorang doktor haiwan yang telah bersara. Dia pula tinggal di baris belakang rumah saya. Lalu saya segera mendail nombornya. Setelah bertanyakan ayahnya, kemudian memberikan lokasi yang sama iaitu di tepi kilang biskut di Batu Berendam tentunya! Saya hampir putus asa. Saya katakan yang saya tidak tahu tempat yang diceritakan itu sedangkan anak kucing itu semakin lemah.

    Mujur juga si teman ini kemudian menulis mesej lebih lanjut tentang jalan-jalan yang harus tempuh sehingga saya dapat melakar sedikit peta dari point yang dikatakan itu. Lalu pada pukul 10 lebih kurang kami telah terpacak di hadapan klinik. Maju Animal Clinic. Mudah juga laluannya tidaklah berbelit-belit. Dengan segera anak kucing yang diberi nama Hitam atau Pussy itu diberikan rawatan. Doktor seorang perempuan Cina yang muda sangat cantik orangnya mengatakan yang kucing itu kekurangan tenaga lalu diberi bantuan minum air glukos. Doktor menunjukkan cara memberi minum menggunakan picagari kecil.Selepas minum tiba-tiba sahaja si kecil menggeliat dan membuka mata. Kami teruja. Doktor kata mungkin susu yang kami beri tidak sesuai. Al maklum, susunya pakai susu Enfagrow si Faris!

     Ketika saya bertanya bagaimana hendak memberi minum rakan saya kata kena bagi minum pakai botol? Bagi minum dengan botol Faris? Bukan, ada botol khusus untuk dia..   Oh ya tidak lama dahulu saya tertawa terbahak-bahak bila diberitahu oleh si teman bahawa jika kita ingin pergi lama kita boleh meletakkan kucing di hotel. Ada hotel untuk kucing dan juga jika sakit, kucing juga menjalani pembedahan dan tinggal di wad!
    
      Saya kemudian membuat bayaran yang dikenakan sebanyak  lebih kurang RM60 dengan cadangan supaya anak kucing itu dibawa berjumpa doktor lagi dua minggu kemudian. Setelah, itu kami juga diberi satu kad klinik Pet Health and Medical Record. Lucu juga. Dalam hati saya berkata setelah sekian lama tidak menjaga bayi kini saya kena menyimpan satu lagi kad bayi; bayi kucing!  Bertambahlah kad klinik yang saya kena failkan! 

     Kami balik setelah tersesat-sesat kemana-mana. Menjadi kebiasaan saya bila kurang arif dengan jalan, saya datang dengan jalan lain, balik dengan jalan lain..Beberapa lama kami tersesat dalam hujan dan mendung, namun akhirnya saya menarik nafas lega. Kami tiba juga ke laluan Bukit Rambai. Saya singgah sebentar di Petronas untuk mengisi minyak. Yasmin yang sejak tadi mengelus kucingnya tiba-tiba memandang saya dengan wajah penuh tanda tanya..
    "Ummi, saya rasa kucing saya sudah matilah.."
    " Yakah?" saya melihat si kucing tidak bergerak-gerak lagi. "Takpalah nanti kita sampai rumah tengok." Kami tersesat lama pulak, hampir sejam dari Batu Barendam ke Bukit Rambai..
   
    Fikiran saya juga galau memikirkan anak-anak yang ditinggalkan di rumah. Faris yang demam. Saya memandu dengan fikiran kacau. Sungguh saya tidak pernah meninggalkan anak-anak saya begitu sahaja. Setiap kali pergi mesti ada orang yang menjaga kebajikan mereka di rumah. Saya tidak akan tenang meninggalkan mereka begitu sahaja. Tetapi pagi ini benar-benar terpaksa. Saya fikir apalah akan terjadi di rumah sepanjang ketiadaan saya. Kalau keadaan rumah bersepah dan tunggang- langgang saya tidak kisah. Yang saya bimbangkan kalau mereka bergaduh, berebut siaran tv sehingga salah seorang cedera. Kisah begitu kan banyak keluar di tv dan suratkhabar? Itu yang membuatkan kepala saya sedikit berat dan tidak tumpu sehingga beberapa kali sesat jalan. 
      Setelah beberapa lama akhirnya sampai juga kami ke rumah. Al hamdulillah segalanya baik2 sahaja. Rumah tidak  berselerak. Singki tetap kosong dan bersih. Si Faris yang pagi tadi comot telah kelihatan bersih.
     "Siapa yang mandikan adik?"
     "Kak Nuha.." jawab si Ahmad. Syukur..anak-anakku semakin pintar dan  telah pandai berdikari sedikit demi sedikit. Saya terharu. Berbalik kepada si kucing tadi ternyata telahan Yasmin benar. Si Hitan atau si Pussy (menurut panggilan Yasmin)  tidak dapat diselamatkan lagi. Yasmin yang prihatin dan penyayang  menangis tersedu-sedu. Satu kerja menanti saya petang itu, iaitu menguburkan si Hitam dalam hujan renyai dan cuaca muram..

0 comments:

Post a Comment