Pages

Subscribe:

Monday, November 18, 2013

HANYA INSAN BIASA..


   Perjalanan hidup yang kulalui kini hampir memasuki marhalah ketiga; marhalah emas. Orang kata warga emas, hehe. Serasakan singkat benar masa ini. Benarlah masa itu relatif sifatnya. Masa gembira terlalu singkat rasanya, masa duka terlalu lama rasanya.

    Masih segar rasanya di ingatan ini semasa kecilku, bersama emak dan abah di kelilingi oleh adik- beradik. Kami seramai enam orang semuanya, hidup di sebuah rumah kecil di tepi sawah. Hidup dalam keluarga yang ramai dan sederhana seperti kebanyakan orang kampung yang lain menyebabkan kami tidak lokek berkongsi dan berbahagi. 

    Namun ada kalanya sebagai sifat budak-budak kami juga akan berebut. Berebut makanan, berebut tempat tidur dan kadangkala berebut tempat duduk mengelilingi pelita laut minyak tanah. Masa kecil penuh kegembiraan bersama mereka yang tercinta. Rumah kami di tepi sawah kecil sahaja. Ada rumah ibu, serambi dan dapur. Sebuah rumah papan yang kecil bertiang kayu. Namun, biar kecil rumah kami, kami tetap gembira di dalamnya. Kami bahagia dalam kemiskinan. Mungkin kami mempunyai ibu dan bapa yang penyayang dan penuh perhatian. Kami berkongsi segala-galanya. Kini masa itu berlalu pergi tidak mungkin kembali lagi. Cuma ia menjadi kenangan pada diri ini. Manis, pahit semuanya manis untuk dikenang kini.

    Memulakan pembelajaran di rumah guru Al Quranku iaitu Makngah Rokiah. Beliau mempunyai saudara jauh dengan ibu saya. Hidup di kampung mesra dan akrab. Kami tolong menolong antara satu sama lain. Saya merupakan murid pertama beliau. Abang dan kakak saya berguru dengan Paklang Man Sandar di balai raya. Oleh kerana ramai sudah pelajar yang belajar Al Quran dengan Paklang Man entah macam mana emak menyerahkan saya kepada Makngah Rokiah.

     Alhamdulillah, saya dari kategori yang cepat menangkap. Dua tiga tahun saya sudah pandai mengaji. Saya suka mengaji lenggok tarannum. Mereka kata saya ada gaya, ada suara boleh menjadi qariah..heheh, mungkin berkat nama saya barangkali. Kata emak, saya dilahirkan pada waktu subuh. Pada waktu itu ada siaran tilawah Al Quran dibacakan oleh seorang qariah yang bernama Siti Zubaidah..jadi ayah meletakkan nama anak yang baru lahir ini sebagai Zubaidah.

     Masa kecil, saya seorang budak yang sangat aktif. Bila saya melihat anak saya Nur Yasmin Farha, saya teringat kenangan saya semasa kecil. Yasmin ada meh keaktifan saya. Saya suka berkubang di bendang. Menyelam dalam bendang. Kata ibu saudara saya: Kadang-kadang macam buaya, nampak mata sahaja." hehe. Tiga puluh tahun yang lalu alam kami masih bersih, masih suci dan murah.  Alam kami mewah. Hasil ikan dan makanan sangat mudah kami dapati, tidak seperti sekarang. Hendak menangkap ikan sahaja tidak banyak seperti dahulu. Sungai dan parit tercemar. Kami bebas sahaja berenang dan berkubang di mana sahaja parit dan sungai.Cuba kini..sudah pasti kita akan berfikir beratus kali untuk terjun ke parit atau sawah. Takut keracunan! 

   Oleh kerana kelasakan saya, jadi ramai yang terkejut bagaimana saya boleh menjadi ustazah pula? Huh? Namun walaupun saya seorang ustazah, saya ini hanyalah seorang insan biasa sahaja. Kadang-kadang saya fikir, kerjaya saya ini sebagai guru berlangsung dengan mendatar sekali. Saya tak punya jasa yang boleh dibangga ( walau pun sedar jasa bukan untuk dibangga). Saya tidak seperti rakan-rakan saya yang lain yang usia begini yang sangat cemerlang dalam kerjaya mereka, sudah mampu menjadi CEO, pengarah itu dan ini,menjadi pegawai itu dan ini, membuka syarikat dan sebagainya. 

    Mereka punya kereta mewah, rumah besar dan mungkin wang yang berjuta? Sedang saya? Saya hanyalah seorang guru biasa. Masih tinggal di rumah sewa. Anak mereka cemerlang, anak saya biasa sahaja. Apa yang saya ada? Kalau pun saya seorang penulis, perjalanan karya saya pun biasa juga. Sudah hampir 30 tahun menulis masih biasa-biasa sahaja. Karya besar langsung tidak punya. Kalau ada pun hanya pernah beberapa kali menang saguhati sayembara.Kalau ada penerbitan karya pun hanyalah antologi cerpen bersama pengkarya lain. Itu sahaja. Yang sendiri punya belum ada. 

    Oh,apakah saya tidak bersyukur? Tentu sahaja saya bersyukur. Tetapi saya cuma berfikiran; mungkinkah saya belum memaksimakan usaha, melonjakkan lagi potensi diri ini menjadi lebih cemerlang dan gemilang seperti orang lain? Alangkah baiknya kalau dalam usia begini saya sudah mencapai sesuatu yang lebih daripada ini buat kenang-kenangan kepada anak cucu. 


     Saya suka membaca memoir orang-orang besar dan ternama yang berjaya. Bagi saya mereka punya jiwa besar yang tidak ada pada orang biasa. Dan secara tidak langsung, saya juga berharap menjadi seperti mereka. Mencipta sejarah dalam bidang mereka. Saya juga mahu mencipta sejarah saya sendiri, kononlah..haha.. Apakah saya mampu melakukan lonjakan saujana dan mencipta sejarah pada usia begini? Hanya Allah sahaja yang tahu...

     Hai diri, janganlah asyik menatap bintang di langit, pandanglah sama rumput di bumi..ya Allah, daku bersyukur, daku bersyukur..alhamdulillah ala kulli hal..


0 comments:

Post a Comment