Pages

Subscribe:

Sunday, November 3, 2013

HOMESCHOOLING SI FARIS

HOME SCHOOLING


      Kebelakangan ini Faris tidak suka ke sekolah, bosan katanya. Setiap pagi ada sahaja alasannya. Setiap pagi bila dia hendak ke sekolah saya lihat wajahnya begitu stres, tidak ceria. Sifat terujanya pada awal tahun baru ini berganti mimik muka yang menyebabkan hati ummi gundah-gulana. Saya bosan sekolah! Itulah yang dijeritnya. Saya terpaksa memujuknya dengan berbagai-bagai helah. Kadang-kadang dia datang kepada saya dan berkata: 
"Umi, kena pegang ini." Dia menunjukkan dahinya. 
"Kenapa?" tanya saya. 
"Saya demamlah.."
"Tak demam pun.."
"Saya demam!! Bererti saya tak boleh pergi sekolah!"
 Oh, tahulah saya sebabnya.

    Kadang-kadang bila bangun pagi dia telah buat helah.
" Umi saya tak sihat, saya batuk..."
" Mana ada batuk?"
"Uhuk, uhuk, uhuk.." 

    Kadang-kadang apabila cuti lama dia mula tidak mahu sekolah. Menangis melalak-lalak pagi hari. Saya paksakan juga. Aneh, sebaik gurunya memegang dan memeluknya, dia terdiam tiba-tiba lalu terus melambai kepada saya. 

    Setiap hari dia bertanya sampai lenguh mulut dan bosan hendak menjawabnya.

"Ummi, sekolah berapa? Cuti berapa?"
"Sekolah lima, cuti dua."
"Sekolah lima cuti dua?"
"Ya..." jawab saya dengan lemahnya. Lalu setiap hari bilang sudah berapa hari sekolah. Begitulah sampai hari Jumaat.

      Baru-baru ini saya ada membaca sebuah artikel di blog tentang bersekolah di rumah atau homeschooling. Kata artikel tersebut; home-schooling tidak memerlukan ibu bapa yang tahu serba serbi tetapi ibu bapa yang bersedia menemani anaknya belajar. Saya rasa teruja juga. Lalu saya khabarkan kepada walidnya; apa kata kalau Faris tidak terus bersekolah di tadikanya. Sebaliknya dia belajar di rumah sahaja sama ummi. Lalu saya menceritakan tentang artikel homeschooling yang saya baca. 

     Saya rasa kalau saya berjaya membuatkan Faris berhomeschooling  pada tahun ini mungkin boleh diteruskan pada tahun hadapan. Lagi pun saya tidak suka setiap kali Faris balik dari sekolah merungut kelas bising. Kalau di rumah sudah pasti tidak perlu kecoh-kecoh menggerakkan Faris awal pagi. Dia dapat tidur dengan puas dan pembelajaran saya aturkan sendiri, sudah tentu lebih fleksibel dan memudahkan anak saya. Saya pula boleh bersamanya sesi pagi memandangkan saya bekerja sebelah petang. Sudah pasti Faris akan gembira.

     Tapi persoalannya, bersediakah saya? Sabar sangatkah saya hendak melayan kerenahnya yang kemanja-manjaan? Si bongsu yang sangat manja dan sedikit mengada-ngada! Tiap waktu hendak bersama ummi sahaja. Bila saya sedang menaip, Faris  masuk ke bilik dan meminta itu, ini daripada saya. Mula-mula dengan suara biasa. Lepas itu akan jerit-jerit, bingit sekali! Sekali Faris masuk dan berkata:
"Ummi, saya nak makan.."
"Ummi sedang menaip, boleh adik minta dari Makcik Nah?"
"Taknak makcik, nak ummi!"
"Makciklah.."
"Ummilah!!"
"Makciklah.."
"Ummilah, ummilah! ummilah!!!"
"Minta dari makciklah, ummi ada kerja sikit lagi.."
"Saya nak ummi, saya nak ummi!!!"
Anak bertuah, terbang segala idea.
"Saya nak ummi!!!"
"Ya, ya, ya!"
 Saya bergegas keluar bilik terus ke dapur. 
Dam! Sudahlah, lupakan sahaja tentang homeschooling.  Esok pergi sahaja ke sekolah!


P/s: Semalam saya bertemu sepupu yang baru pulang dari Perancis. Kami banyak berbincang tentang isu-isu pendidikan pra-sekolah. Satu kenyataannya yang membuat saya iri bagi pihak si Faris: Di Perancis anak-anaknya suka dan teruja hendak pergi ke sekolah. Kenapa? Tanya saya? Mungkin silibusnya tidak menekan seperti di sini, teka saya. Mungkin katanya. Di sana anak-anak seusia 5-6 tahun diajar lebih kepada play-oriented. Setiap hari mereka bermain, sama ada bermain pasir dan sebagainya. Pembelajaran lebih kepada permainan. Dalam setahun tadika menganjurkan enam kali lawatan. Lawatan ke kebun anggur, epal dan sebagainya dan pelajar dapat menikmati dan merasai bagaimana petani mengutip hasil mereka dan mereka juga turut serta memetik buah. Mana tidak suka. Dapat menikmati pemandangan alam semula jadi dan dapat melihat pohon-pohon yang berbuah lebat hati siapa tidak suka? Kalau macam itu Ummi Faris pun menggelupur nak ikut!!

0 comments:

Post a Comment