Pages

Subscribe:

Wednesday, November 13, 2013


HIKMAH HIJRAH




      Alhamdulillah. Sudah hampir tiga bulan kami turun dari kuarters kerajaan ke sebuah rumah  di kawasan berhampiran sekolah. Rumah ini merupakan rumah berkembar dua yang terletak juga tidak jauh dari sekolah. Rumah berdekatan sekolah merupakan pilihan utama kami sekeluarga apabila mencari rumah memandangkan anak-anak masih lagi bersekolah rendah. Ini akan memudahkan mereka berulang pergi dan balik sekolah. Oleh kerana itulah juga saya terus menetap di kuarters walaupun keadaan kuarters serba kekurangan dan sewanya juga amat tidak berpatutan bagi saya.
      Pada mulanya saya keberatan untuk berpindah. Seronokkah di tempat baharu? Saya sudah terbiasa dengan suasana sepi dan damai di dalam kawasan sekolah yang berpagar dan terkawal. Suasana kuarters sangat tenteram bagi pencinta kedamaian seperti saya. Setiap hari, pagi-pagi saya sudah membuka laptop dan menulis. Bayangkan bagaimana keadaan di taman perumahan yang rata-ratanya bising? Oleh kerana kawasan perumahan saya perumahan kos rendah bukannya kawasan banglo yang elit, saya pasti akan mengalami kejutan budaya nanti. Kawan-kawan juga mengakui memang keadaan di kawasan taman perumahan agak bising tidak seperti kawasan kuarters.

     Akan tetapi memandangkan anak ketiga Nur Yasmin dalam proses temujanji untuk pembedahan kakinya saya akur. Hendak bagaimana lagi? Saya tidak mungkin terus tinggal di kuarters lagi kerana banyak kerosakan tidak dibaiki. Almari tidak boleh dipakai. Penampan tangki air yang dimakan anai-anai juga tidak diganti. Kemungkinan tangki air bila-bila boleh runtuh. Jadi sebelum berlaku perkara tidak diingini lebih baik kami yang keluar. Saya berpindah dengan berat hati, mungkin kerana sudah sebati dengan suasana kuarters. Biar pun berat, namun satu sahaja saya harapkan iaitu semoga hikmahnya dapat mengubat hati saya ini.

     Memandangkan tanah halaman agak luas,syukur juga, saya jadi rajin berkebun; menanam bunga dan sayur-sayuran seperti cili, timun, kangkung, kunyit, halia, serai, pokok kari, daun kesum atau cenohom, kacang panjang dll. Dua bulan berlalu kacang panjang, kangkung dan terkini timun telah kami nikmati hasilnya. Hari ini saya menanam kelapa pandan dan kelapa matag pula.

      Manakala pokok bunga pula banyak yang saya beli dari nurseri-nurseri yang berdekatan. Bukan itu sahaja, saya juga membeli tanah berkampit-kampit, pasu-pasu dan baja. Bunga-bunga kertas yang saya beli siap sudah berbunga dari nurseri. Lebih senang. Sampai satu hari jiran saya yang agak jauh datang menegur saya. Dia terperanjat dan kagum bila mendapat tahu saya baru sahaja berpindah ke kawasan ini.
     "Wah,baru berpindah berapa hari sudah berbunga pokoknya?"
    " Ini, saya beli siap dari nurseri sudah berbunga..hehe."
    Oh, betapa seronoknya  berkebun! Agaknya inilah hikmah perpindahan ini? Setiap pagi saya tidak sabar menunggu saat untuk mencabut rumput dan menyiram bunga. Habis berpeluh badan. Yang paling ketara berat badan saya agak terkawal. Saya sudah boleh memakai baju-baju lama lagi. Ini yang paling best..hehe. Jika ada  sedikit  masa semasa balik dari sekolah sementara menanti masuk waktu maghrib, saya mengambil kesempatan membelek-belek pokok bunga saya. Jika nasib kurang baik, hujan petang, jadi terpaksalah saya masuk ke rumah dengan hati yang sedih. Fikiran terus melayang kepada bunga-bunga saya, taman yang baru saya bina konon..sedihnya. Sepanjang malam, hujan di luar, hati saya hujan memikirkan bunga-bunga sampai termimpi-mimpi..haha.

    Ternyata kehidupan di taman perumahan ini tidaklah seburuk seperti yang saya sangkakan. Di sini juga harmoni. Taman ini taman perumahan lama. Jiran-jiran saya ramai yang sudah masuk usia emas. Sangat baik dan prihatin. Anak-anak mereka sudah besar dan bekerja luar. Tinggal orang tuanya sahaja. Taman ini juga sepi. Barangkali kalau bising pun keluarga saya sahaja; dengan suara tingkah dan jeritan anak-anak, (dan sudah pastinya jeritan uminya juga kerana mendamaikan mereka hehehe..)

   Dan saya terus berkebun bunga..satu pagi apabila bangun dari tidur, saya membuka pintu...krekk..Wah, sekuntum bunga raya putih yang baru beberapa hari saya tanam sudah berkelopak menyinarkan cahaya putihnya,,  sungguh indah, sungguh membahagiakan, hati saya kembang bagai taman, berbunga-bunga!

0 comments:

Post a Comment