Pages

Subscribe:

Saturday, November 16, 2013

  HARI BERSEJARAH AHMAD

     Hari ini, merupakan hari bersejarah bagi si lanang kami; Ahmad Fikri. Pagi-pagi lagi Ahmad Fikri sudah bangun dan kami suruh mandi dan bersiap-siap memakai pakaian baru iaitu sepasang baju melayu berwarna kuning. Baju melayu itu merupakan baju hari raya tahun ini.

    Saya juga ikut memakai baju cantik. Selesai bersiap, kami bertiga pun bertolak ke masjid. Setibanya di Masjid Taman Bukit Rambai telah ramai kanak-kanak yang sebaya malah lebih kecil darinya menunggu. Rupa-rupanya tempat berkumpul di perpustakaan desa yang terletak bersebelahan masjid. Bunga manggar dan bunga pahar sudah siap di situ. Tidak ketinggalan pasukan kompang. Mungkin ini pasukan kompang taman ini, fikir saya kerana melihatkan ramai yang memegang kompang itu anak-anak murid yang pernah saya mengajar di sekolah. Mereka melihat saya sambil tersenyum. Saya melihat mereka dengan gembira. 

      Anak-anak murid saya ini merupakan pelajar-pelajar dari kelas hujung yang tidak mahu belajar. Saya teringat betapa sukarnya saya hendak memanggil mereka masuk dan berkumpul di dalam kelas. Tetapi syukur, mereka kini walaupun tidak cemerlang tetapi tetap menjadi orang. Mahu pula bergiat dalam aktiviti masjid. 

      Namun ada juga salah seorang dari mereka dengan nakalnya membisikkan kepada si Ahmad: Bersunat tu sakit tahu? Mereka potong anu pakai kapak!" Ahmad ketakutan, Mujur juga walidnya yang tahu perkara itu cepat-cepat menindas: "Sudahlah, jangan dengar cakapnya itu, tidak betul tu.."   

     Agak lama menanti, kanak-kanak bermain dengan riang. Kami sabar menanti sambil berdiri. Tidak lama kemudian pasukan bomba pun sampai. Lebih kurang satu jam kemudian baharulah para peserta dipanggil untuk berkumpul. Sebentar kemudian perarakan pun bermula. Ahmad dan para peserta lain diarak dengan bunga manggar, bunga pahar dan kompang. Rombongan keluar dari kawasan perpustakaan desa dan berjalan menuju ke masjid.  

      Suara selawat bergema memeriahkan suasana. Kemudian rombongan memasuki perkarangan masjid dan berhenti di situ. Saya sangkakan upacara bersunat hanya seperti di kampung saya yang tersangat simple, panggil tok mudim dan langsung begitu sahaja, rupa-rupanya sebaliknya. Majlis berkhatan di Melaka ini merupakan majlis besar rupanya. Siap dijemput menteri datang merasmikannya. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Abu Bakar Md Diah merangkap Ahli Parlimen Tangga Batu datang. Wow, grand benar majlis berkhatan!

     Selepas perasmian menteri dan penyampaian saguhati kepada peserta, kami dijemput makan nasi berlaukkan rendang Negeri Sembilan. Kemudian para peserta berkumpul di dataran masjid dan menteri pun memulakan upacara memandikan mereka dengan air dari paip bomba. Ahmad dan budak-budak itu terlompat-lompat kesukaan disembur air. Kemudian baharulah majlis berkhatan beramai-ramai diadakan. Ketika cabutan undi Ahmad mendapat giliran kelima. Empat katil tersedia dengan pegawai-pegawai perubatan daripada Hospital Kem Terendak dan Klinik Bukit Rambai mengendalikan proses berkhatan. Oleh kerana walidnya telah ada saya tidak dibenarkan masuk mengiringi Ahmad. 

      Menurut walidnya, pada mulanya Ahmad diam-diam sahaja tetapi apabila doktor mula memegang dan mahu menyunatnya, dia langsung menjerit dan meronta-ronta. "Walid, apa mereka hendak buat ni?" Ahmad terpekik. Selama ini biar kerap diceritakan tentang bersunat, mungkin dia tidak tergambar sama sekali di fikirannya tentang hal apa yang bakal dialaminya. Para doktor dan jururawat segera mengelilingi dan mententeramkannya. "Cuba berselawat.." kata doktor. "Tidak sakitlah, Ahmad cuba berselawat.." pujuk walidnya pula. "Selawat tu apa walid?" Lalu walidnya menuturkannya dengan diikuti oleh Ahmad. Mendengar sahaja Ahmad terpekik mulai berteriakan dua tiga orang budak lagi. Kemudian para doktor meluru dan mententeramkan mereka pula. Akhirnya, fuh, selepas segala rintangan walidnya memujuknya, hal itu selesai juga. 

      Ahmad akhirnya keluar dibimbing walid dengan wajah berkerut-kerut, tetapi tidak sakit sangat. Kami bawa pulang dan dibaringkan di tilam yang telah disediakan dengan tali untuk mengikat kain pelikat Ahmad. Tidak berapa lama kemudian, mungkin habis ubat bius Ahmad mula mengerang dan menjerit kesakitan. Apa lagi, si kecil Faris yang melihatnya segera memberi kata putus: "Saya tak mahu bersunat! Saya tak akan bersunat!!"


P/s: Semoga Ahmad menjadi lebih pintar selepas ini ye!



   

0 comments:

Post a Comment