Pages

Subscribe:

Saturday, November 16, 2013

OH BUNGAKU!




      Masa berjalan begitu pantas. Kini hampir tiga bulan sudah berlalu meninggalkan saat-saat perpisahan kami dengan kuarters kami yang kami cintai. Cinta kerana telah agak lama mendudukinya, jadi susah senang dan pahit manis selama kami di situ kini menjadi manis belaka untuk dikenang.

      Kini daku semakin memesrai tempat baru, kejiranan baru. Sungguh asyik berkebun. Banyak sayur-mayur yang telah kutanam. Ada timun, cili, kangkung, bawang, serai dan macam-macam lagi herba kegunaan dapur. Semua itu kutanam di laman sisi di bahagian dapur. Cili dalam empat puluh pokok. Tidak ketinggalan pastinya pokok-pokok bunga menghiasi halaman depan kami. pasu-pasu bersusun di tepi pagar. Begitu juga di dinding luar. Berbagai bunga telah kutanam. Ada japanese rose, mawar desa, melur atau yasmin, bunga kertas, zolandra, heliconia. Saya kini sudah pandai sedikit sebanyak tentang bunga dan nama-nama saintifiknya. 
     
    Pada mula pindah seorang kawan meminjamkan saya empat belas buah buku Anjung Seri dan Laman. Pada mulanya saya berfikir: Ah, majalah ini, ada apa? Tak syoklah!"Saya kurang berminat dengan majalah begini. Yang selalu saya baca ialah buku-buku atau majalah agama dan novel2. Kalau novel, saya suka sekali. Itu pun novel2 terpilih dan tentunya tidak terlalu tebal kerana saya pasti tidak dapat menghabiskannya. Saya suka baca novel seperti karya Hamka dan seumpanya. Kalau novel2 yang terlalu padat disumbatkan fakta2 sukar sekali menghabiskannya apatah lagi tebal2 pula. 

     Tapi saat mata menatap majalah itu saya terpegun. Satu demi satu muka surat saya belek. Eee, tak dapat tidur dibuatnya. Fikiran asyik menerawang, hendak membuat taman. Langsung memikirkan pula alangkah baiknya jika mempunyai rumah sendiri dengan halaman yang luas begini. Sudah pasti saya akan berkreativiti membuat taman sebagai salah satu yang termuat di majalah...tapi apa nak buat, kemungkinan mempunyai rumah sendiri itu masih lama lagi. Mungkin sahaja bila saya sudah pencen. Saya pencen usia enam puluh tahun. Wah, apa yang boleh saya lakukan lagi pada usia begitu nanti, mungkin hanya mengajar mengaji sahajakah? Atau hanya tinggal di rumah, menanti cucu datang menjenguk? Hehe, harapnya saya sihat sampai tua... 

     Berbalik ke halaman rumah sewa. Saya mula mencabut rumput dan membeli bunga. Mula2 satu pasu kemudian dua kemudian lagi tambah dua tiga biji. Mula2 beli pasu kecil kerana suami saya sudah mengingatkan: jangan beli pasu besar nanti susah hendak berpindah. Jangan beli banyak sangat. Mula2 saya dapat sabarkan hati, tetapi oleh kerana hobi saya suka mengunjungi nurseri kini, saya tidak tahan lagi untuk membeli beberapa biji pasu sederhana dan akhirnya pasu besar pula. 

      Kadang2 saya sorok dulu takut dileteri oleh suami. Walaupun saya memakai duit saya sendiri sudah pasti saya juga perlu mengambil kira pandangannya dalam soal membelanjakan wang..Tetapi mungkin kerana dilihat taman kami semakin lama semakin sedap mata memandang, si dia mendiamkan diri sahaja. Terkini, hari ini saya membeli dua anak benih kelapa iaitu kelapa matag dan kelapa pandan. itu pun setelah berbincang dengan tuan punya nurseri itu. Katanya kelapa ini bukan macam kelapa zaman datuk nenek kita dahulu yang tingginya sayup mata memandang. Ini jenis baru yang ketinggiannya hanya tujuh kaki sahaja. Ia juga boleh dibuat teduhan. Buahnya juga banyak. 

      Mendengarnya saya terus membeli dua kerana mahu mengimbau kenangan zaman dahulu di kampung saya banyak pokok kelapa. Sudah pasti sangat asyik jika di rumah saya kini ada pokok kelapa juga. Lagi pula kata tuan nurseri pokok kelapa tidak akan emrosakkan simen dan tebing kerana sifat akarnya yang serabut dan tidak keras. Lamakah lagi boleh berbuah? Kira-kira dua tahun? Dua tahun? Dua tahun lagi entah kami di mana pula. Adakah berpindah lagi? Entahlah, kita hanya merancang Allah sahaja yang menentukan. Keputusan muktamad, beli sahaja! Jika tidak kami sempat merasa enak isinya, saya ikhlaskan sahaja diambil oleh penghuni selepas kami. Jika tidak sempat merasa buahnya, jadilah dapat berteduh di bawah naungannya. Atau jika pun tidak sempat berteduh di bawah bayangnya, cukuplah dapat berpeluh ketika menanamnya. Bukankah kesihatan juga rezeki?      

      Hanya kepada Allah saya pohon memberikan rezeki kepada kami di tempat lain pula. Ini kerana ramai yang menyatakan saya kenapa beria-ia menanam? Buat rugi sahaja. Bukan rumah sendiri. Bukan seringgit dua telah saya habiskan untuk taman ini tetapi sudah beratus ringgit. Akan  tetapi saya suka sekali bercucuk tanam. Saya menganggap berkebun bukan merugikan tetapi merupakan terapi kepada diri. Jika saya sihat, tentu berbaloi dengan belanja dua tiga ratus ringgit ini. Jika saya tidak sihat bukan sahaja dua tiga ratus malah dua tiga puluh ribu mungkin saya akan rugi. 
     Dua tiga hari ini saya begitu stres menghadap data-data memeriksa kertas jawapan budak, dan key in pbs yang sangat slow. Sampai kepala saya sakit sebelah kiri. Saya pun tidak dapat berkebun kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja. Masuk hari ketiga kepala saya masih jga tidak surut sebaliknya terus berdenyut biar perlahan namun tetap tidak enak. Saya terus di komputer. Sepatutnya petang cuti begitu saya di taman sahaja melihat bunga.

   Akan tetapi tuntutan pbs itu agak banyak juga. Mata saya terus sahaja di skrin melihat sistem pbs memusing terus dari tadi. Stres betul. Sistem itu membuatkan orang tertunggu-tunggu bagai buah yang tidak gugur. Hampir berpinar-pinar mata menatapnya terus berpusing. Letih, jemu dan kepala terus  merasa semakin berat, berdenyut-denyut nyit, nyit...tiba-tiba pap, laptop padam. Saya memeriksa suis ternyata bekalan elektrik terputus. Apa lagi, tanpa melengah masa saya mengambil parang dan terus ke laman, melihat bunga, mencabut rumput dan mengalihkan anak benih yang mulai bercambah. Saya juga membuat batas-batas baru. Badan saya berpeluh-peluh dan terasa ringan. Wah, sungguh menghairankan, denyut di kepala terus hilang...

     Ohya, baru-baru ini kakak saya dan adik datang dari Perak. 
"Buat apa tanam pokok kelapa segala? Bukannya rumah sendiri." kata kakak. Lalu dicabutnya pokok itu dan dibawa balik ke Perak. Saya pun tidaklah kisah sangat kerana tempat kelapa matag itu telah saya ganti dengan Limau Lokam yang saya bawa dari Perak...

0 comments:

Post a Comment