Pages

Subscribe:

Saturday, February 15, 2014

KEMANA ARAH PENDIDIKAN PRASEKOLAH  KITA?


Rajin adik rajin rajinlah belajar
bila besar nanti boleh tunjuk ajar
ayah juga ibu gembira selalu
melihat adikku rajin baca buku

    Sayup-sayup kedengaran suara si kecilku menyanyi sambil mewarna buku gambarnya. Saya yang mendengarnya tersenyum. 

    Alhamdulillah Faris semakin pulih. Semangatnya untuk ke sekolah kembali. Dia kini tidak menangis lagi pagi-pagi. Sebaliknya bila balik ke rumah pada pukul enam petang, dia bersemangat bercerita tentang sekolahnya; guru-gurunya dan rakan-rakannya . 

     Perubahan ini begitu ketara sejak dia bersekolah baru iaitu Tadika Brilliant di Tanjung Minyak. Baru-baru ini saya hampir putus harapan untuk melihatnya kembali ke sekolah dengan ceria. Namun setelah berbincang dengan guru tadika itu kami mengambil keputusan mendadak untuk memasukkannya ke tadika itu.

     Namun keputusan itu kami ambil setelah mengambil faktor kami telah mengenali pemilik tadika itu. Beliau Pn. Ruzita seorang yang begitu prihatin terhadap pendidikan anak-anak saya kira. Kami pernah menghantar Ahmad iaitu abang si Faris ke situ dan kami telah melihat hasilnya.

     Bukanlah bermaksud tadika sebelum ini tidak bagus, tetapi mungkin anak saya jenis budak yang memerlukan perhatian khusus. Saya melihat sebelum ini dalam kes Faris, dia seorang anak yang begitu berminat terhadap pelajaran. Sejak umur tiga tahun dia telah mengenal nama-nama kereta. Dia begitu antusias belajar dan sangat gemar mencuba sebelum ini, tetapi sejak dia ke sekolah tersebut, dia menjadi stres dan seterusnya menolak untuk ke sekolah. 

      Saya begitu bimbang dan beberapa kali membawa hal itu ke pengetahuan guru sekolah. Saya berbincang dengan gurunya tentang si kecil saya ini lalu meminta supaya mereka memperlahankan tekanan ke atas anak saya itu. Sungguh kasihan, baru umur lima tahun, dia sudah dibebankan dengan kerja-kerja rumah yang bukan untuk peringkat usianya. Apabila dia tidak mampu membuatnya dia takut hendak ke sekolah. Akibatnya pagi-pagi dia menunjukkan pemberontakan dan mengeluarkan tantrumnya. Malah seawal malamnya dia telah menyatakan tidak mahu ke sekolah. Pernah saya takutkannya.

"Adakah adik hendak tinggal di rumah keseorangan? Tak ada makcik nak jaga, umi nak ke sekolah, abang dan kakak pun ke sekolah.."

"Saya nak tinggal seorang. Saya tetap tidak mahu ke sekolah!" tegasnya. Begitu sekali penolakannya membuatkan saya turut berdukacita.
         Lalu saya khabarkan kepada gurunya supaya tidak terlalu memberatkan anak saya dengan kerja-kerja rumah. Bukan apa, kerana saya merasakan kerja yang diberi tidak sepadan dengan umurnya; sudah pasti tidak dapat dibuat oleh si kecil. Yang menjadi mangsa tentulah saya yang kena membuatnya. Jika tidak dibuat, guru akan menanda dengan tanda soal besar-besar menyebabkan kami  ibu bapanya merasa bersalah, huhu. Sedangkan Faris pula tidak akan ke sekolah apabila kerja rumah tidak disiapkan. Lalu, selalunya kerja-kerja itu disiapkan di hadapan pintu ketika mahu bertolak pada paginya. Kasihan si kecil, tangan dan jarinya belum lagi kuat untuk menulis latihan sebanyak itu, lalu uminya inilah yang memegang tangannya yang kecil itu dan mendoronganya untuk mempercepatkan penulisannya.  Hal ini demikian kerana Faris akan menangis-nangis ketakutan kalau kerja rumah tidak disiapkan. 

     Sedangkan saya juga telah jelaskan kepada guru tersebut yang saya tidaklah pentingkan dia membaca seawal mungkin, saya cuma hendak anak saya belajar bersosial dan belajar dengan gembira. Itu sahaja! Tetapi responnya supaya saya menulis surat ke pengurusan sekolah untuk memberitahu supaya anak saya tidak diberikan kerja rumah. Oh, rasmi sangat. Cakap mulut ibu ini tidak ada hitam putih mungkin. Saya rasa itu sudah menyusahkan sahaja, bukan memudahkan. Lalu untuk hari seterusnya, tetap sahaja Faris membawa balik kerja-kerja yang berlambak. Masa itu bukan anak sahaja yang stres, uminya pun stres..sebab saya katakan saya tidak boleh melihatnya buat kerja kerana saya mengajar sesi petang, bila saya balik maghrib, Faris pun sudah keletihan dan mengantuk. Dia tidak mahu buat kerja lagi. 

    Faris yang belum boleh membaca telah diberi latihan-latihan 
kefahaman yang memerlukan kita yang menjawabnya. Saya lihat pengurusan sekolah hanya hendak menunjukkan mereka pandai mendidik anak-anak kecil dengan menunjukkan hasil yang maksima. Bayangkan mereka ada target menghabiskan 2 buah buku setahun bagi setiap mata pelajaran..Huh, inilah realiti  pendidikan prasekolah kita hari ini. Semakin mahal bayaran yurannya semakin menekan, semakin stres kita dibuatnya. Hendak ke mana kita tergesa-gesa begitu?

    Sebenarnya pendidikan prasekolah perlu lebih kepada play-oriented dan lebih penting membina kemahiran psikomotor supaya anak-anak sekecil itu berupaya mengurus diri dan tangannya semakin cekap melakukan kerja. Perlu berlatih memegang, menggenggam dan sebagainya yang membina kekuatan cengkaman jari-jari. Pelatihan ini boleh didapati melalui permainan dan melakukan kerja pengurusan diri contohnya; belajar melipat kain, membasuh dan memerah kain, menyikat rambut, memakai baju dan seluar mengemas bilik tidur serta sebagainya akan menguatkan tulang-tulang mereka. Pelajar pun akan semakin suka belajar.  Ini tidak, pendidikan jasmani tidak dipentingkan langsung. Si Faris itu yang masih terkial-kial hendak memakai baju sahaja sudah disuruh menulis sebanyak-banyaknya. Kesudahannya dia menjadi bosan dan tidak mahu melakukannya lagi. Pagi-pagi lagi mereka telah dihadapkan dengan pembelajaran akademik yang berat.  Saya yang menghantar Faris ke sekolah pagi-pagi pun merasa bingung dan tertekan. Pagi-pagi lagi dari pintu pagar, jika kami lewat sedikit sahaja, saya sudah mendengar, guru-gurunya telah keras-keras suara mengajar. Huh, saya yang dewasa ini pun letih dan stres mendengarnya apatah lagi anak-anak kecil yang di hatinya suka bermain dan bergembira! 

     Saya bukanlah menentang prasekolah tetapi biarlah wajar-wajar aja. Saya dahulu tidak ke tadika pun, tetapi berkat ajaran guru saya, darjah satu sudah pandai membaca Bahasa Melayu dan Jawi lagi serta sedikit Bahasa Inggeris yang mudah-mudah. Tidak pun ke sekolah agama tetap aja pandai mengaji dan khatam awal. Tetapi saya lihat hari ini, budak-budak sekarang sudah masuk tadika seawal empat tahun sudah belajar Pendidikan Islam, JQaf, Bahasa Arab di SK, tambah di kelas agama petang, tapi malam tetap sahaja saya kena tengokkan budak-budak tu mengaji. Saya tak tahu kenapa. Mungkin budak sudah letih dan mereka menolaknya. Almaklum, bila sudah ada penolakan dari dalam, pembelajaran sudah menjadi keterpaksaan, bukan lagi kerelaan. Sudah pasti hasilnya seperti yang kita lihat...pergi ke sekolah tidak lagi menjadi hiburan seperti saya kecil dahulu sebaliknya keterpaksaan, kemarahan serta kerja-kerja yang tidak kesudahan. Dan ikhlas kalau saya katakan, kalau saya sekarang dikembalikan kecil lagi, masuk sekolah kembali sudah pasti saya pun stres dengan sistem begini. Tidak mahu sekolah seperti si Faris juga barangkali!! Inilah barangkali pernah saya baca tentang kajian bahawa kanak-kanak di Malaysia telah mengalami stres sejak awal usia lagi..Kasihan..ya sungguh kasihan anak-anak kita, belahan jiwa kita. Dengan penuh kekerasan, paksaan dan sikap tergesa-gesa begitu, apakah yang hendak kita lahirkan sebenarnya? Sedarilah, mereka itu masih kecil. Terlalu kecil. Dunia ini masih luas buat mereka. Janganlah kita bunuh keghairahan hidup si kecil dan cita murni mereka demi memaksakan kehendak kita. 

     Kini,  yang menggembirakan saya bila si Faris berkata:
"Saya sayang teacher.."
"Kenapa?"
"Sebab teacher suapkan saya makanan.."
Ohh..Faris sudah merasa titisan air tangan gurunya? Hee. Nanti jangan taknak sekolah pula darjah satu nanti ya nak..harap saya dalam hati.

P/s: Luahan hati saya ini bukanlah mengecilkan wibawa guru kerana saya juga seorang guru. Saya tahu, guru itu juga cuma menjalankan kehendak sistem dan pentadbirnya semata. Justeru luahan hati ini lebih kepada kekecewaan saya terhadap sistem pendidikan prasekolah kita sekarang ini!

INGATLAH ALLAH

Waktu kaya ingatlah pada Allah
Waktu miskin ingatlah pada Allah
Waktu sihat ingatlah pada Allah
Waktu sakit ingatlah pada Allah
Kerjakan perintah Allah
Jauhi larangannya

Banyak yang kaya lupa pada Allah
Banyak yang miskin jauh dari Allah
Banyak yang sihat lari dari Allah 
Banyak yang sakit meninggalkan Allah

Itulah orang yang  sombong
Kepada Tuhannya
Tidak kenal kepada Allah


Ingatlah wahai manusia
semua kan kembali kepada Allah
Ingatlah wahai manusia
Hidup matimu di tangan Allah


Di waktu sihat ingatlah pada Allah
Di waktu sakit ingatlah  pada Allah
Kerjakan perintah Allah
jauhi larangannya
Itulah orang 
yang ingat Allah

Lirik lagu yang sungguh menyentuh hati mengingatkan diri kita supaya sentiasa mengingati Allah; saat senang apatah lagi susah, saat sihat apatah lagi sakit.

     Oh, menceritakan tentang susah dan senang, sihat dan sakit ini, saya jadi ingat ke diri saya. Saya seperti juga orang lain. Bila mendapat nikmat, merasa Allah sayang sekali sama kita, kalau tidak dapat nikmat itu merasa Allah tidak sayangkan saya. Sebenarnya musibah dan nikmat itu dua-dua ujian Allah kepada kita. Lalu setiap masa kita kena kembali kepada Allah.

     


Monday, January 13, 2014

HIDUP INI UJIAN


    Pagi semalam, Faris buat hal lagi. Dia menangis-nangis tak mahu ke sekolah. Saya jadi stres. Ayahnya sudah bertolak kerja di Seremban sejak pukul enam setengah pagi lagi sudah pasti tidak mengetahui kerenah anak bongsunya yang manja ini. Yasmin dan Ahmad sudah dikejutkan. Mereka bangun kemalas-malasan. Perlu dikejutkan lagi, suruh cepat-cepat;
Mandi!
Gosok gigi!
Ambil wuduk!
Solat!!
Sudah pukul tujuh!!Cepatt!!!
Semua kena diingatkan!

    Menghadapi Faris yang terus-terusan tidak mahu sekolah kadang-kadang membuatkan saya buntu. Ada kalanya air mata saya menitis juga. Betapa sedihnya. Sudahlah saya sibuk pagi-pagi menghadap rumah dan kain baju yang perlu dibereskan, dia pula meragam. Kadang-kadang saya berzikir dalam agak stres: Ya Allah, Ya Allah, kenapa Faris ini? Berilah aku kesabaran..

    Kadang-kadang kesabaran saya di hujung tanduk. Mahu sahaja saya menjerit dan mengamuk di mukanya tetapi sungguh kasihan anakku yang kecil ini. Ya, Faris sungguh kasihan. Dengan masalah penyakitnya itu, saya lihat kadang-kadang pipinya membengkak jika badannya panas. Tubuhnya tidak mahu gemuk, sebaliknya kurus dan syukur juga ketinggiannya naik sedikit. 

    Pada usianya lima tahun ahli farmasi yang mahu memberinya ubat terperanjat apabila saya katakan yang berat Faris hanya 15 kg sahaja. Ya, sudahlah begitu, makannya sedikit sekali. Kalau mahu makan banyak perlu disuap. Kalau disuap bukannya hendak mengunyah dengan cepat sebaliknya dikemam dengan lama sekali sehingga saya merasa tidak sabar dan mahu naik angin apabila menyuapnya makan. 

     Akan tetapi yang membuat saya terharu dan terhibur dia berkata:

"Kalau umi suap, sedap!!" Diangkatnya ibu jari kepada saya. Oh, Faris pandainya mengambil hati!

    Satu perkara lagi, jika bermain-main, berlari-lari di halaman rumah. Belum lama sudah jatuh-jatuh, masuk longkang atau terlanggar tiang. Melalak-lalak sehingga suaranya dapat didengar satu taman perumahan. Sehingga pembantu kami perasan keadaannya.

"Faris ini baru sekejap bermain sudah jatuhlah, lukalah. Tengok anak jiran kita ni tidak apa-apa pun. Kalau jatuh itu biasa sahaja, tidak menangis, malah bangkit dengan cepat, kuat sungguh dia!"

   Ya, saya perasan itu. Mungkinkah Faris tidak biasa bebas di halaman. Mahu dilihat dan dijaga sentiasa? Apakah badannya memang lemah? Tidak lama dahulu, dia bermain dengan abangnya. Saya sudah berpesan supaya abangnya menjaganya dengan baik, jangan sekali-kali mengejar dan menghambat si Faris. Eh, Si Ahmad ini, yang mana kita tegah dan larang yang itulah yang dibuatnya, seolah-olahnya uminya ini tidak pernah menasihatinya langsung. Dikejarnya adiknya itu dengan basikal. 

    Sudahnya, Faris terjatuh di atas jalan tar dan dilanggar oleh basikal Ahmad pula. Saya meluru keluar pagar dan mendukungnya balik. Bayangkan bagaimana kesakitan si kecil ini. Oh, kasihan sungguh anakku ini. 

     Baru-baru ini dia membonceng kakaknya di basikal pergi meronda dan ke taman permainan. Tidak lama kemudian, eh, dari jauh sudah kedengaran suaranya melalak-lalak. Dia jatuh dari basikal.
Kasihan. Dia menangis menunjukkan lututnya yang merah tersengih.

"Allah, syafakalllah, mari umi bubuh ubat.."
"Sudah diubati oleh atuk.."katanya dalam tangisan.
"Atuk mana?"
"Atuklah!' bentaknya.  Rupanya ada orang tua yang melihatnya jatuh dan meletak ubat di lututnya, kata si abang.
"Semua ini salah Kak Yasminlah..Dia bawa basikal laju-laju sampai saya jatuh.."adunya pula.
    Dan saya pun meleteri si Yasmin sehingga dia merajuk tidak mahu membawa adiknya keluar bermain lagi. Oh, kadang-kadang saya merasa kesal. Kenapa ini terjadi kepada saya? Berbagai kerenah mereka. bermain susah, hendak ke sekolah pun susah sehingga saya merasa trauma kadang-kadang apabila menjelang dinihari.

    Seperti biasa pagi semalam seperti pagi-pagi hari sekolah sebelum itu dia merengek dan menangis lagi. Berbagai-bagai kerenah dan beberannya.

Saya tak mahu sekolah, umi faham tak?
Saya tak suka sekolah, sekolah lama, cikgu banyak, umi faham tak?
Saya kata saya taknak sekolah!!
Tak nak!! Tak nak!! Tak nak!!

    Aduh bagaimana? Saya buntu dan sempat menitiskan airmata. Saya memberinya sarapan sambil mata memerhati jam. Jam sudah menunjukkan hampir ke pukul lapan? Aduh, Faris ini hari-hari lambat ke sekolah. Fikiran saya ligat memikirkan bagaimana mahu memujuknya. Akhirnya saya mengangkatnya secara paksa dan memandikannya disela-sela tangisan dan kemarahannya. Saya segera menyiapkannya. 

    Namun melihat air dan kuih yang tidak dimakan saya simpati pula takut dia kelaparan di sekolah, lalu saya suapkan. Dia makan kuih, sebiji dan sebiji lambat-lambat. Matanya tidak lepas dari menatap cerita kartun kegemarannya. Kemudian saya suapkan air. Belum sempat habis, saya sudah mengambil begnya dan mengangkatnya ke kereta. 

    Dia mengikut saya lambat-lambat dengan tingkahnya menjengkelkan hati. Oh, kenapa saya harus mengalami semua ini? Kenapa hidup saya ini tidak enak dan mulus sahaja seperti kehidupan orang lain? Kenapa? Kenapa? Kenapa begitu banyak dugaan yang daku hadapi, lepas satu, satu.  Bilakah ini akan berakhir? Kenapa Kau tidak menguji orang lain juga sebagaimana yang Kau uji aku?

    Namun sebaik sahaja saya tiba di rumah kemudiannya seoranh jiran saya, iaitu isteri ustaz yang sedang berjual di warungnya di seberang rumah kami menggamit.

"Tahu tak?" katanya seraya menghampiri saya.
"Tahu apa?"
"Belum tahu lagi? Suami Cikgu Maimun di Perawan 3 meninggal dunia semalam?"
"Cikgu Maimun? Cikgu Maimun jiran belakang rumah saya ini?" Rumah Cikgu Maimun terletak betul-betul di belakang rumah saya.
"Ya, eh, awak pun tak tahu?"
"Ya, saya tak tahu langsung..."
"Apa sakitnya?"
"Tak pasti..tapi katanya tidak ada sakit apa. Hanya ketika hendak memegang cawan nak minum air, dia jatuh dan lembik tiba-tiba.."
"Katanya nak simpan pukul sembilan ini.."
"Oh, kalau gitu saya hendak ziarah dia. Akak hendak pergi bila?"
"Pergilah awak dahulu. Saya hendak kemas barang ni.."
"Ya, ya!" 
Oh, baharulah saya terasa betapa beratnya dugaan buat Kak Maimun sekeluarga. Saya ini sebegini sahaja sudah mengalirkan airmata, apatah lagi beliau yang kehilangan suami tercinta secara tiba-tiba..
Saya pun masuk ke dalam rumah dan berwuduk lalu melaksanakan duha. Ya Allah, hamba bersyukur, hamba bersyukur Ya Allah... Air mata tidak dapat ditampung lagi.