KEMANA ARAH PENDIDIKAN PRASEKOLAH KITA?
Rajin adik rajin rajinlah belajar
bila besar nanti boleh tunjuk ajar
ayah juga ibu gembira selalu
melihat adikku rajin baca buku
Sayup-sayup kedengaran suara si kecilku menyanyi sambil mewarna buku gambarnya. Saya yang mendengarnya tersenyum.
Alhamdulillah Faris semakin pulih. Semangatnya untuk ke sekolah kembali. Dia kini tidak menangis lagi pagi-pagi. Sebaliknya bila balik ke rumah pada pukul enam petang, dia bersemangat bercerita tentang sekolahnya; guru-gurunya dan rakan-rakannya .
Perubahan ini begitu ketara sejak dia bersekolah baru iaitu Tadika Brilliant di Tanjung Minyak. Baru-baru ini saya hampir putus harapan untuk melihatnya kembali ke sekolah dengan ceria. Namun setelah berbincang dengan guru tadika itu kami mengambil keputusan mendadak untuk memasukkannya ke tadika itu.
Namun keputusan itu kami ambil setelah mengambil faktor kami telah mengenali pemilik tadika itu. Beliau Pn. Ruzita seorang yang begitu prihatin terhadap pendidikan anak-anak saya kira. Kami pernah menghantar Ahmad iaitu abang si Faris ke situ dan kami telah melihat hasilnya.
Bukanlah bermaksud tadika sebelum ini tidak bagus, tetapi mungkin anak saya jenis budak yang memerlukan perhatian khusus. Saya melihat sebelum ini dalam kes Faris, dia seorang anak yang begitu berminat terhadap pelajaran. Sejak umur tiga tahun dia telah mengenal nama-nama kereta. Dia begitu antusias belajar dan sangat gemar mencuba sebelum ini, tetapi sejak dia ke sekolah tersebut, dia menjadi stres dan seterusnya menolak untuk ke sekolah.
Saya begitu bimbang dan beberapa kali membawa hal itu ke pengetahuan guru sekolah. Saya berbincang dengan gurunya tentang si kecil saya ini lalu meminta supaya mereka memperlahankan tekanan ke atas anak saya itu. Sungguh kasihan, baru umur lima tahun, dia sudah dibebankan dengan kerja-kerja rumah yang bukan untuk peringkat usianya. Apabila dia tidak mampu membuatnya dia takut hendak ke sekolah. Akibatnya pagi-pagi dia menunjukkan pemberontakan dan mengeluarkan tantrumnya. Malah seawal malamnya dia telah menyatakan tidak mahu ke sekolah. Pernah saya takutkannya.
"Adakah adik hendak tinggal di rumah keseorangan? Tak ada makcik nak jaga, umi nak ke sekolah, abang dan kakak pun ke sekolah.."
"Saya nak tinggal seorang. Saya tetap tidak mahu ke sekolah!" tegasnya. Begitu sekali penolakannya membuatkan saya turut berdukacita.
Lalu saya khabarkan kepada gurunya supaya tidak terlalu memberatkan anak saya dengan kerja-kerja rumah. Bukan apa, kerana saya merasakan kerja yang diberi tidak sepadan dengan umurnya; sudah pasti tidak dapat dibuat oleh si kecil. Yang menjadi mangsa tentulah saya yang kena membuatnya. Jika tidak dibuat, guru akan menanda dengan tanda soal besar-besar menyebabkan kami ibu bapanya merasa bersalah, huhu. Sedangkan Faris pula tidak akan ke sekolah apabila kerja rumah tidak disiapkan. Lalu, selalunya kerja-kerja itu disiapkan di hadapan pintu ketika mahu bertolak pada paginya. Kasihan si kecil, tangan dan jarinya belum lagi kuat untuk menulis latihan sebanyak itu, lalu uminya inilah yang memegang tangannya yang kecil itu dan mendoronganya untuk mempercepatkan penulisannya. Hal ini demikian kerana Faris akan menangis-nangis ketakutan kalau kerja rumah tidak disiapkan.
Sedangkan saya juga telah jelaskan kepada guru tersebut yang saya tidaklah pentingkan dia membaca seawal mungkin, saya cuma hendak anak saya belajar bersosial dan belajar dengan gembira. Itu sahaja! Tetapi responnya supaya saya menulis surat ke pengurusan sekolah untuk memberitahu supaya anak saya tidak diberikan kerja rumah. Oh, rasmi sangat. Cakap mulut ibu ini tidak ada hitam putih mungkin. Saya rasa itu sudah menyusahkan sahaja, bukan memudahkan. Lalu untuk hari seterusnya, tetap sahaja Faris membawa balik kerja-kerja yang berlambak. Masa itu bukan anak sahaja yang stres, uminya pun stres..sebab saya katakan saya tidak boleh melihatnya buat kerja kerana saya mengajar sesi petang, bila saya balik maghrib, Faris pun sudah keletihan dan mengantuk. Dia tidak mahu buat kerja lagi.
Faris yang belum boleh membaca telah diberi latihan-latihan
kefahaman yang memerlukan kita yang menjawabnya. Saya lihat pengurusan sekolah hanya hendak menunjukkan mereka pandai mendidik anak-anak kecil dengan menunjukkan hasil yang maksima. Bayangkan mereka ada target menghabiskan 2 buah buku setahun bagi setiap mata pelajaran..Huh, inilah realiti pendidikan prasekolah kita hari ini. Semakin mahal bayaran yurannya semakin menekan, semakin stres kita dibuatnya. Hendak ke mana kita tergesa-gesa begitu?
Sebenarnya pendidikan prasekolah perlu lebih kepada play-oriented dan lebih penting membina kemahiran psikomotor supaya anak-anak sekecil itu berupaya mengurus diri dan tangannya semakin cekap melakukan kerja. Perlu berlatih memegang, menggenggam dan sebagainya yang membina kekuatan cengkaman jari-jari. Pelatihan ini boleh didapati melalui permainan dan melakukan kerja pengurusan diri contohnya; belajar melipat kain, membasuh dan memerah kain, menyikat rambut, memakai baju dan seluar mengemas bilik tidur serta sebagainya akan menguatkan tulang-tulang mereka. Pelajar pun akan semakin suka belajar. Ini tidak, pendidikan jasmani tidak dipentingkan langsung. Si Faris itu yang masih terkial-kial hendak memakai baju sahaja sudah disuruh menulis sebanyak-banyaknya. Kesudahannya dia menjadi bosan dan tidak mahu melakukannya lagi. Pagi-pagi lagi mereka telah dihadapkan dengan pembelajaran akademik yang berat. Saya yang menghantar Faris ke sekolah pagi-pagi pun merasa bingung dan tertekan. Pagi-pagi lagi dari pintu pagar, jika kami lewat sedikit sahaja, saya sudah mendengar, guru-gurunya telah keras-keras suara mengajar. Huh, saya yang dewasa ini pun letih dan stres mendengarnya apatah lagi anak-anak kecil yang di hatinya suka bermain dan bergembira!
Saya bukanlah menentang prasekolah tetapi biarlah wajar-wajar aja. Saya dahulu tidak ke tadika pun, tetapi berkat ajaran guru saya, darjah satu sudah pandai membaca Bahasa Melayu dan Jawi lagi serta sedikit Bahasa Inggeris yang mudah-mudah. Tidak pun ke sekolah agama tetap aja pandai mengaji dan khatam awal. Tetapi saya lihat hari ini, budak-budak sekarang sudah masuk tadika seawal empat tahun sudah belajar Pendidikan Islam, JQaf, Bahasa Arab di SK, tambah di kelas agama petang, tapi malam tetap sahaja saya kena tengokkan budak-budak tu mengaji. Saya tak tahu kenapa. Mungkin budak sudah letih dan mereka menolaknya. Almaklum, bila sudah ada penolakan dari dalam, pembelajaran sudah menjadi keterpaksaan, bukan lagi kerelaan. Sudah pasti hasilnya seperti yang kita lihat...pergi ke sekolah tidak lagi menjadi hiburan seperti saya kecil dahulu sebaliknya keterpaksaan, kemarahan serta kerja-kerja yang tidak kesudahan. Dan ikhlas kalau saya katakan, kalau saya sekarang dikembalikan kecil lagi, masuk sekolah kembali sudah pasti saya pun stres dengan sistem begini. Tidak mahu sekolah seperti si Faris juga barangkali!! Inilah barangkali pernah saya baca tentang kajian bahawa kanak-kanak di Malaysia telah mengalami stres sejak awal usia lagi..Kasihan..ya sungguh kasihan anak-anak kita, belahan jiwa kita. Dengan penuh kekerasan, paksaan dan sikap tergesa-gesa begitu, apakah yang hendak kita lahirkan sebenarnya? Sedarilah, mereka itu masih kecil. Terlalu kecil. Dunia ini masih luas buat mereka. Janganlah kita bunuh keghairahan hidup si kecil dan cita murni mereka demi memaksakan kehendak kita.
Kini, yang menggembirakan saya bila si Faris berkata:
"Saya sayang teacher.."
"Kenapa?"
"Sebab teacher suapkan saya makanan.."
Ohh..Faris sudah merasa titisan air tangan gurunya? Hee. Nanti jangan taknak sekolah pula darjah satu nanti ya nak..harap saya dalam hati.
P/s: Luahan hati saya ini bukanlah mengecilkan wibawa guru kerana saya juga seorang guru. Saya tahu, guru itu juga cuma menjalankan kehendak sistem dan pentadbirnya semata. Justeru luahan hati ini lebih kepada kekecewaan saya terhadap sistem pendidikan prasekolah kita sekarang ini!
Saturday, February 15, 2014
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment