Pages

Subscribe:

Thursday, February 27, 2014

Ceramah yang tidak realistik

Assalamualaikum,
Kali ini saya hendak menyentuh tentang ceramah. Ada berbagai-bagai ceramah yang kita dapat ikuti di radio dan kaca-kaca tv. Sebetulnya saya sendiri jarang sangat dengar ceramah di tv. Bukan apa, kesempatan masa tidak mengizinkan. Bila balik kerja sudah penat. Lagi satu, terpaksa berebut chanel dengan anak-anak. Kalau Faris pula setiap kali balik sekolah petang akan demand: "Umi, asyik2 abang dengan kakak aja  tengok cerita mereka. Saya pun nak tengok cerita saya juga, sudahlah saya balik pukul enam setiap hari.." Itulah ayatnya sejak dia ke tadika baru ini kerana dia bersekolah satu hari penuh. Lalu kerana kasihankan si kecil, saya memujuk abang dan kakaknya agar memberikan peluang kepada Faris menonton ceritanya sekejap. Lalu masa saya tengok tv langsung tak ada. Kalau kadang-kadang saya teringin juga nak tonton tv saya akan kata: "Jangan kacau umi sekarang umi pula nak tengok tv.." Pernah satu kali saya teringin nak tengok rancangan Tiga Ustazah. Mereka datang buru-buru. Kerana malam kami tidak benarkan mereka tengok tv jadi mereka hendak menumpang umi pula. Namun di sela-sela itu mereka cari jalan juga hendak menonton rancangan mereka. Saya dengan tegas mengawal remote control..hee, umi mengalahkan budak-budak...

    Berbalik rancangan ceramah yang saya suka. Saya suka penceramah yang biasa-biasa sahaja. Saya tidak suka yang over sangat memberi nasihat. Ada penceramah ini cakap yang sempurna sangat, susah hati saya mendengarnya kerana sudah pasti saya tidak boleh melakukannya! Pernah satu kali seorang penonton bertanya masalahnya tentang rumahtangga (isterilah ni). Apa yang saya rasa tak patut apabila penceramah (penceramah wanita) itu terus sahaja mempertahankan sang suami dengan hukum itu ini seolah-olah isteri itu tidak tahu bersyukur..Saya nampak dia tidak boleh terima isteri yang merungut tentang suami barangkali. 

    Nampak sempurna sangat nasihatnya itu yang saya malas nak dengar. Pada saya, orang itu tanya mungkin hendak meluahkan rasa hatinya dan meminta nasihat dan sokongan tapi kena smash lagi. Saya nampak si penceramah tidak berusaha hendak menyabarkan sang isteri pun malah disalah-salahkannya lagi. Pada saya itu tidak patut sebab dia bercerita dari sudut dia yang mengalami masalah. Yang si penceramah mungkin menceritakan dari sudut pandangannya yang mendapat suami yang ok dan sempurna barangkali dan kehidupannya mulus-mulus sahaja. Sedaplah berceramahnya.

    Pada saya apalah salahnya bersimpati sedikit dengan masalah orang lain. Lagi pun hidup kita tidak akan selalunya indah. Akan ada dugaan yang menhujani, akan ada ombak yang membadai. Mungkin kita belum diuji dengan ujian yang dihadapi oleh suri tadi, namun apa salahnya kalau kita menunjukkan simpati; berbelas kasihanlah dan bersikap rasionallah! Bersikap adillah dalam menasihat. Jangan terlalu menyalahkan si suri itu. Malah kita juga tidak berhak memarahi si suami itu sebab kita hanya mendengar dari sudut pandangan suri tadi. Namun apa salahnya kita lebih bersimpati dengan suri tadi, kasihankan dia bermasalah..kita bersyukur tidak bermasalah seperti itu..Carilah solusi yang baik dan benar-benar membantu..
     
    Ada juga penceramah bila ditanya terus disyarahkan seolah-olah itu kesalahan si penanya tadi. Katanya sikap orang itu pasti hasil dari begini begitu dahulunya sebab itu jadi seperti sekarang. Dalam hati saya kata kalau cuma untuk diblame begitu labih baik takyah tanya apa-apa. 
   
     Pendek kata ada dua tiga orang penceramah yang saya dengar begitu perfectnya nasihat mereka, seolah-olah kita ini bukannya orang, tiada perasaan, tiada nafsu. Semua mesti begini-begitu..Oh, jujur aja saya tidak sampai makam itu,heh. Saya suka kalau dengar ceramah yang wajar-wajar aja. Kalau dia cerita ada masalah rumah tangga, ya, itu biasalah bagi orang yang berlainan duduk sebilik, baring sekatil dan tidur sebantal. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri, kata P. Ramli..Dalam dunia ini janganlah terlalu mengharapkan kesempurnaan. Mana ada orang yang begitu perfect...Kalau isteri ditengking dan dileter-leter. Ya, dia akan marah juga, merajuk. Begitu, isteri boleh dimarah suami, tetapi suami tidak terima jika dimarah isteri, tidak adil bukan? 

    Begitu, jika dia telah banyak berkorban untuk keluarganya,membanting tulang di sisi suaminya, pada saat itu suami juga harus membantu isterinya dalam urusan-urusan rumah tangga. Kerana isteri juga manusia. Dia juga pandai letih lebih-lebih lagi isteri yang bekerja di luar rumah dan masa inilah si suami atau si penceramah yang menasihat kenalah melihat dan menilai keadaan. Jangan main pukul rata sahaja..Kerja luar boleh, tapi jangan abai rumah tangga! Itulah pesanan suami dan orang tua kita. 
     
    Masalahnya bukan isteri itu lupa rumahtangga tetapi dengan kudratnya sebagai wanita yang lemah dan perlu dilindungi lelaki sudah pasti dia akan terbeban dengan suami yang terus-terusan mendesak supaya isterinya perfect di rumah juga. Si isteri balik ke rumah dengan anak-anaknya, terus capai periuk kuali, kemudian angkat kain..lepas itu lipat, seterika,,bla-bla..sehingga tidak ketahuan diri. Sedang si suami balik rumah, petik tv, buka suratkhabar duduk menyandar di sofa menunggu waktu maghrib dan waktu makan malam tiba. Itulah yang membuatkan suasana rumah tangga itu tidak enak. 
     Selalunya penceramah akan suruh isteri memberikan layanan tujuh lapan bintang kepada suami. Isteri pula bagaimana? Tidakkah dia juga berhak mendapat layanan yang sama? Pernah saya dengar si isteri mengeluh: Kata suaminya: "Kenalah melayannya elok2, makan pakainya. Kalau tidak takpe, nanti akan ada orang yang melayannya..masa itu, jangan marah.."

     Saya yang mendengarnya pun terasa berdesing telinga.  Saya kenal isteri itu, dan suaminya kadang-kadang kerja, kadang-kadang tidak. Hampir segala bil, ansuran bulanan bukan lagi berkongsi bayar tetapi hampir pastilah dilunaskan oleh isteri. Sepatutnya bertimbang rasalah sedikit dengan kesukaran isteri bekerja luar. Awak itu duduk goyang kaki di rumah. Sedang tenaga kuat dua kali ganda dari isteri. Hendak diharap menjaga anak pun tidak mahu..memasak jauh sekali. Kesudahannya semua benda wajib dilakukan oleh isteri. Boleh lagi mengeluarkan kenyataan mengancam seperti itu. Suami apa macam itu?

    Berbalik kepada penceramah tadi, menasihat bukan main sedapnya. Konon-konon itulah hukum agama kita. Ada yang seolah-olahnya mengambil inspirasi cerita-cerita dahulu; nak jadi solehah, supaya menunggu suaminya dengan rotan di tangan supaya suami memukulnya jika dia ada melakukan apa-apa kesalahan. Bertambah stres mendengarnya. Sudahlah penat kerja membantu suami, balik rumah nak menyerah diri untuk dipukul pula..hee. Apa punya nasihat. Sehingga saya merasakan kadang-kadang mereka ini tengah berlawak pula di atas pentas itu. Realistiklah sedikit...

     Baiklah, sekian dahulu..nanti sambung lagi part 2..Wassalam..
     

Sunday, February 23, 2014

SOTONG MASAK KICAP


     Ini sebuah cerita lucu. Pagi Ahad semalam saya telah memasak sambal sotong. Entah kenapa semasa saya memasukkan sotong, tiba-tiba warnanya bertukar keruh dan kemudiannya menjadi gelap.
"Alamak, sudah pasti ada yang tak terbuang dakwatnya ni.." kata saya dalam hati dengan rasa bimbang. Masak sambal sotong menjadi hitam. Siapa yang hendak makan begitu? saya tahu ada penduduk di Pantai Timur yang memasak sotong dengan dakwatnya. Pada mereka itu lebih sedap dan lebih manis.Masalahnya keluarga kami orang Pantai Barat sudah tentu tidak terbiasa dengan keadaan itu. Kalau saya katakan kepada suami pun tentu dia akan berkata:
"Allah, umi masak tak jadi, dikatanya orang Kelantan memang masak lagu tu!"
Saya teruskan juga memasak. Dalam hati saya berkata: "Kalau orang tak mahu makan nanti terpaksalah saya habiskan.." Saya mengharapkan si Yasmin dan walidnya akan makan masakan aneh saya ini. Si Ahmad tidak boleh diharap. Dari kecil dia sudah tidak memakan sotong. Katanya sotong itu siput babi! Hee!!
Namun ketika menghadap hidangan tengah hari semalam satu kejadian melucukan berlaku.
"Sotong masak kicap, yeah!!" jerit si Yasmin.
Sotong masak kicap? Allah, kenapakah uminya ini tidak memikirkan itu tadi. Saya tersenyum-senyum. Si YAsmin dan walidnya mengunyah makanan dengan berselera.
"Macam mana 'sotong masak kicap',  sedap?" 
"Sedaap sangat.." puji si Yasmin membuatkan saya hampir mengakak.
Si Walid? Ah, biasalah..walid sentiasa cool kan..kalau nak kata tak pernah puji bohonglah pula. Tetapi kalau saya mendesaknya dia akan hanya berkata: Kalau suami makan lebih tu sedaplah maknanya.. Dan saya nampak dia makan dengan asyik dan bertambah..Hehe, sudah pasti terkena penangan 'sotong masak kicap ' isterinya ini..hehe

Saturday, February 15, 2014

KEMANA ARAH PENDIDIKAN PRASEKOLAH  KITA?


Rajin adik rajin rajinlah belajar
bila besar nanti boleh tunjuk ajar
ayah juga ibu gembira selalu
melihat adikku rajin baca buku

    Sayup-sayup kedengaran suara si kecilku menyanyi sambil mewarna buku gambarnya. Saya yang mendengarnya tersenyum. 

    Alhamdulillah Faris semakin pulih. Semangatnya untuk ke sekolah kembali. Dia kini tidak menangis lagi pagi-pagi. Sebaliknya bila balik ke rumah pada pukul enam petang, dia bersemangat bercerita tentang sekolahnya; guru-gurunya dan rakan-rakannya . 

     Perubahan ini begitu ketara sejak dia bersekolah baru iaitu Tadika Brilliant di Tanjung Minyak. Baru-baru ini saya hampir putus harapan untuk melihatnya kembali ke sekolah dengan ceria. Namun setelah berbincang dengan guru tadika itu kami mengambil keputusan mendadak untuk memasukkannya ke tadika itu.

     Namun keputusan itu kami ambil setelah mengambil faktor kami telah mengenali pemilik tadika itu. Beliau Pn. Ruzita seorang yang begitu prihatin terhadap pendidikan anak-anak saya kira. Kami pernah menghantar Ahmad iaitu abang si Faris ke situ dan kami telah melihat hasilnya.

     Bukanlah bermaksud tadika sebelum ini tidak bagus, tetapi mungkin anak saya jenis budak yang memerlukan perhatian khusus. Saya melihat sebelum ini dalam kes Faris, dia seorang anak yang begitu berminat terhadap pelajaran. Sejak umur tiga tahun dia telah mengenal nama-nama kereta. Dia begitu antusias belajar dan sangat gemar mencuba sebelum ini, tetapi sejak dia ke sekolah tersebut, dia menjadi stres dan seterusnya menolak untuk ke sekolah. 

      Saya begitu bimbang dan beberapa kali membawa hal itu ke pengetahuan guru sekolah. Saya berbincang dengan gurunya tentang si kecil saya ini lalu meminta supaya mereka memperlahankan tekanan ke atas anak saya itu. Sungguh kasihan, baru umur lima tahun, dia sudah dibebankan dengan kerja-kerja rumah yang bukan untuk peringkat usianya. Apabila dia tidak mampu membuatnya dia takut hendak ke sekolah. Akibatnya pagi-pagi dia menunjukkan pemberontakan dan mengeluarkan tantrumnya. Malah seawal malamnya dia telah menyatakan tidak mahu ke sekolah. Pernah saya takutkannya.

"Adakah adik hendak tinggal di rumah keseorangan? Tak ada makcik nak jaga, umi nak ke sekolah, abang dan kakak pun ke sekolah.."

"Saya nak tinggal seorang. Saya tetap tidak mahu ke sekolah!" tegasnya. Begitu sekali penolakannya membuatkan saya turut berdukacita.
         Lalu saya khabarkan kepada gurunya supaya tidak terlalu memberatkan anak saya dengan kerja-kerja rumah. Bukan apa, kerana saya merasakan kerja yang diberi tidak sepadan dengan umurnya; sudah pasti tidak dapat dibuat oleh si kecil. Yang menjadi mangsa tentulah saya yang kena membuatnya. Jika tidak dibuat, guru akan menanda dengan tanda soal besar-besar menyebabkan kami  ibu bapanya merasa bersalah, huhu. Sedangkan Faris pula tidak akan ke sekolah apabila kerja rumah tidak disiapkan. Lalu, selalunya kerja-kerja itu disiapkan di hadapan pintu ketika mahu bertolak pada paginya. Kasihan si kecil, tangan dan jarinya belum lagi kuat untuk menulis latihan sebanyak itu, lalu uminya inilah yang memegang tangannya yang kecil itu dan mendoronganya untuk mempercepatkan penulisannya.  Hal ini demikian kerana Faris akan menangis-nangis ketakutan kalau kerja rumah tidak disiapkan. 

     Sedangkan saya juga telah jelaskan kepada guru tersebut yang saya tidaklah pentingkan dia membaca seawal mungkin, saya cuma hendak anak saya belajar bersosial dan belajar dengan gembira. Itu sahaja! Tetapi responnya supaya saya menulis surat ke pengurusan sekolah untuk memberitahu supaya anak saya tidak diberikan kerja rumah. Oh, rasmi sangat. Cakap mulut ibu ini tidak ada hitam putih mungkin. Saya rasa itu sudah menyusahkan sahaja, bukan memudahkan. Lalu untuk hari seterusnya, tetap sahaja Faris membawa balik kerja-kerja yang berlambak. Masa itu bukan anak sahaja yang stres, uminya pun stres..sebab saya katakan saya tidak boleh melihatnya buat kerja kerana saya mengajar sesi petang, bila saya balik maghrib, Faris pun sudah keletihan dan mengantuk. Dia tidak mahu buat kerja lagi. 

    Faris yang belum boleh membaca telah diberi latihan-latihan 
kefahaman yang memerlukan kita yang menjawabnya. Saya lihat pengurusan sekolah hanya hendak menunjukkan mereka pandai mendidik anak-anak kecil dengan menunjukkan hasil yang maksima. Bayangkan mereka ada target menghabiskan 2 buah buku setahun bagi setiap mata pelajaran..Huh, inilah realiti  pendidikan prasekolah kita hari ini. Semakin mahal bayaran yurannya semakin menekan, semakin stres kita dibuatnya. Hendak ke mana kita tergesa-gesa begitu?

    Sebenarnya pendidikan prasekolah perlu lebih kepada play-oriented dan lebih penting membina kemahiran psikomotor supaya anak-anak sekecil itu berupaya mengurus diri dan tangannya semakin cekap melakukan kerja. Perlu berlatih memegang, menggenggam dan sebagainya yang membina kekuatan cengkaman jari-jari. Pelatihan ini boleh didapati melalui permainan dan melakukan kerja pengurusan diri contohnya; belajar melipat kain, membasuh dan memerah kain, menyikat rambut, memakai baju dan seluar mengemas bilik tidur serta sebagainya akan menguatkan tulang-tulang mereka. Pelajar pun akan semakin suka belajar.  Ini tidak, pendidikan jasmani tidak dipentingkan langsung. Si Faris itu yang masih terkial-kial hendak memakai baju sahaja sudah disuruh menulis sebanyak-banyaknya. Kesudahannya dia menjadi bosan dan tidak mahu melakukannya lagi. Pagi-pagi lagi mereka telah dihadapkan dengan pembelajaran akademik yang berat.  Saya yang menghantar Faris ke sekolah pagi-pagi pun merasa bingung dan tertekan. Pagi-pagi lagi dari pintu pagar, jika kami lewat sedikit sahaja, saya sudah mendengar, guru-gurunya telah keras-keras suara mengajar. Huh, saya yang dewasa ini pun letih dan stres mendengarnya apatah lagi anak-anak kecil yang di hatinya suka bermain dan bergembira! 

     Saya bukanlah menentang prasekolah tetapi biarlah wajar-wajar aja. Saya dahulu tidak ke tadika pun, tetapi berkat ajaran guru saya, darjah satu sudah pandai membaca Bahasa Melayu dan Jawi lagi serta sedikit Bahasa Inggeris yang mudah-mudah. Tidak pun ke sekolah agama tetap aja pandai mengaji dan khatam awal. Tetapi saya lihat hari ini, budak-budak sekarang sudah masuk tadika seawal empat tahun sudah belajar Pendidikan Islam, JQaf, Bahasa Arab di SK, tambah di kelas agama petang, tapi malam tetap sahaja saya kena tengokkan budak-budak tu mengaji. Saya tak tahu kenapa. Mungkin budak sudah letih dan mereka menolaknya. Almaklum, bila sudah ada penolakan dari dalam, pembelajaran sudah menjadi keterpaksaan, bukan lagi kerelaan. Sudah pasti hasilnya seperti yang kita lihat...pergi ke sekolah tidak lagi menjadi hiburan seperti saya kecil dahulu sebaliknya keterpaksaan, kemarahan serta kerja-kerja yang tidak kesudahan. Dan ikhlas kalau saya katakan, kalau saya sekarang dikembalikan kecil lagi, masuk sekolah kembali sudah pasti saya pun stres dengan sistem begini. Tidak mahu sekolah seperti si Faris juga barangkali!! Inilah barangkali pernah saya baca tentang kajian bahawa kanak-kanak di Malaysia telah mengalami stres sejak awal usia lagi..Kasihan..ya sungguh kasihan anak-anak kita, belahan jiwa kita. Dengan penuh kekerasan, paksaan dan sikap tergesa-gesa begitu, apakah yang hendak kita lahirkan sebenarnya? Sedarilah, mereka itu masih kecil. Terlalu kecil. Dunia ini masih luas buat mereka. Janganlah kita bunuh keghairahan hidup si kecil dan cita murni mereka demi memaksakan kehendak kita. 

     Kini,  yang menggembirakan saya bila si Faris berkata:
"Saya sayang teacher.."
"Kenapa?"
"Sebab teacher suapkan saya makanan.."
Ohh..Faris sudah merasa titisan air tangan gurunya? Hee. Nanti jangan taknak sekolah pula darjah satu nanti ya nak..harap saya dalam hati.

P/s: Luahan hati saya ini bukanlah mengecilkan wibawa guru kerana saya juga seorang guru. Saya tahu, guru itu juga cuma menjalankan kehendak sistem dan pentadbirnya semata. Justeru luahan hati ini lebih kepada kekecewaan saya terhadap sistem pendidikan prasekolah kita sekarang ini!

INGATLAH ALLAH

Waktu kaya ingatlah pada Allah
Waktu miskin ingatlah pada Allah
Waktu sihat ingatlah pada Allah
Waktu sakit ingatlah pada Allah
Kerjakan perintah Allah
Jauhi larangannya

Banyak yang kaya lupa pada Allah
Banyak yang miskin jauh dari Allah
Banyak yang sihat lari dari Allah 
Banyak yang sakit meninggalkan Allah

Itulah orang yang  sombong
Kepada Tuhannya
Tidak kenal kepada Allah


Ingatlah wahai manusia
semua kan kembali kepada Allah
Ingatlah wahai manusia
Hidup matimu di tangan Allah


Di waktu sihat ingatlah pada Allah
Di waktu sakit ingatlah  pada Allah
Kerjakan perintah Allah
jauhi larangannya
Itulah orang 
yang ingat Allah

Lirik lagu yang sungguh menyentuh hati mengingatkan diri kita supaya sentiasa mengingati Allah; saat senang apatah lagi susah, saat sihat apatah lagi sakit.

     Oh, menceritakan tentang susah dan senang, sihat dan sakit ini, saya jadi ingat ke diri saya. Saya seperti juga orang lain. Bila mendapat nikmat, merasa Allah sayang sekali sama kita, kalau tidak dapat nikmat itu merasa Allah tidak sayangkan saya. Sebenarnya musibah dan nikmat itu dua-dua ujian Allah kepada kita. Lalu setiap masa kita kena kembali kepada Allah.