Pages

Subscribe:

Saturday, December 28, 2013

KE PERSADA GURU



           Hari guru tiba lagi. Berbagai acara telah dirancang untuk meraikan insan yang bernama guru. Murid-murid menunjukkan keprihatinan mereka dengan mengadakan persembahan nyanyian, tarian, deklamasi sajak, memberikan kad ucapan dan hadiah-hadiah kepada guru-guru yang berkenan di hati mereka. Namun satu perkara  perlu disedari,  menghormati dan memuliakan guru bukanlah terhad pada hari tertentu sahaja, sebaliknya murid perlu membudayakan sikap menghormati dan mencintai guru sepanjang masa sehingga badan dikandung tanah.

      Paling penting, adakah kita ‘memakai’ nasihat guru yang mahu melihat kita berjaya pada masa hadapan? Adakah kita pernah berusaha menyenangkan guru dengan tingkah laku yang terpuji dan menyejukkan mata serta hati? Adakah kita mendoakan guru-guru selepas berdoa untuk diri dan ibu bapa kita? Renung-renungkanlah…

كلام جماعي : من جد وجد

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
أسعد الله نهاركم ونتمنى لكم أسعد لحظات بعون الله
أهلا وسهلا ومرحبا بكم
سادتي وسيداتي,
نحن من فرقة الامتياز نقدم لكم الكلام الجماعي
تحت الموضوع : من جد... وجد!!!
استمعوا أيها الأصدقاء,
ريغغغغغغغ....
دخل معلم الفصل.
السلام عليكم ورحمة الله!
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته!!
صباح الخير يا أبنائي وبناتي!!
صباح النور يا أستاذ!!
أهلا وسهلا يا أستاذ!!   أهلا وسهلا!!
أهلا بكم يا طلاب .  وكيف حالكم ؟
الحمد لله نحن بالخير يا أستاذ!!
نحن بألف ألف خير!!  الحمد لله!!!
وأنت كيف حالك يا أستاذ؟؟
الحمد لله أنا بالخير..
يا استاذ, ما موضوعنا اليوم؟
أبنائي و بناتي, اليوم أريد أن أستمع إلى حفظكم !!
المحفوظات؟ عن ماذا؟ هل كلفتنا شيئا من المحفوظات؟
نعم... ممم لا تتجاهلوا عنها..الآن تقدموا إلي واحفظوا الدرس !!
ممم..صاح الديك صياحا.....
ماء القط مواء...
بعد  ذلك؟
والله نسينا يا أستاذ!
لماذا؟
نحن لم نحفظها  بعد  يا أستاذ...
ما حفظتموها؟ 
لا ؟
لماذا؟
 نحن مشغولون يا أستاذ!!
 والله؟ أي شغلة؟
نحن نمارس الرياضة في المساء...
ماذا لعبتم؟
نحن مارسنا كرة الشبكة يا أستاذ!!
ونحن يا أستاذ,  نمارس كرة الريشة !!
و ماذا فعلتم في الليل؟
نحن متعبون من اللعب يا أستاذ...
وجائعون!!!  ونشعر بالنعاس!! هوااااا!!!!
إذن, نتعشى !! أم..م.. شهية جدا!!
نأكل الطعام حتى نشبع!!
ثم  نتمشى في الليل..
نشاهد التلفزيون!!!
وبعد ذلك؟
وبعد ذلك  ننام نوما عميقا حتى الفجر!!
أنتم تأكلون كثيرا و تنامون كثيرا, فكيف أنتم تنجحون؟؟
آهه؟
هل تذكرتم قول الحكماء؟
من أكل كثيرا نام كثيرا!!
ولكن.. لا تقلق يا أستاذ!!
سننجح في الامتحان يا أستاذ..!!
سننجح نجاحا باهرا!!
الامتحان ما زال بعيدا  يا أستاذ!!
لا لا لا, الامتحان ليس بعيدا!!
آيه؟؟؟
سيجري الامتحان غدا!!
آه...غدا؟؟
نعم!!
والله؟؟
بالتأكيد, إن شاء الله!!
الامتحان سيأتي قريبا!!
عليكم أن تقرؤا وتحفظوا  درسكم!!
هي....!!!
ماذا سنقرأ؟       ماذا سنحفظ؟؟
الدروس كثيرة جدا!!
هو هو هو,,النجدة! النجدة! أصابني الصداع!!!
ساعدوني!! ساعدوني!!
أنا مصاب بالحمى والزكام!! آجوم م م!!!!
والله, والله !! بطني يؤلمني!! أهه!!!
نحن في أبواب الامتحان!!
هيم...فهل أنتم مستعدون؟؟؟
لما يا أستاذ!!! لما!!!  ولكن...
سنقرأ الدورس طول النهار !!
وسنحفظها  طول الليل!!   هيا!! هيا!! لنقرأ الدروس
هيا هيا!! لنحفظ المفردات!!
ولكن ..ماذا سنقرأ؟؟
ستقرؤون كلها!!
كلها؟؟؟
أجل!!!
ولا تضيعوا أوقاتكم!!
الوقت كالذهب!!
إن لم تغتنموه سرقه الناس!!
وقال الحكماء: الوقت كالسيف!!
إن لم تقطعه قطعك!!!
ممتاز!!!
الأهم...   مجاهدة!!!
من جد وجد!!!
صحيح!!! صحيح!!! صحيح!!!
فلا بد عليكم أن تنظموا أوقاتكم تنظيما جيدا من الآن  يا طلاب.
كيف ذلك  يا أستاذ؟؟؟
عليكم أن تقسموا أوقاتكم للدراسة و ممارسة الرياضة والراحة !
هذا يعني علينا أن نخطط الجدول اليومي؟
نعم...كما عليكم أن تكتبوا الجدول الأسبوعي والسنوي معا.
طيب!!! الآن أعطي لكم عشر دقائق لتحفظوا المفردات مرة أخرى..
نعم يا أستاذنا الكريم!!
وبعد قليل.......يا أستاذ قد حفظناها تماما!!
ممتاز!!  اذكروها!!
نبح الكلب نباحا...أوق   أوق   أوق  
عوى الذئب عواء.....آووووووق..
يغرد العصفور تغريدا.....جيت جيت جيت تويت تويت تويت
مأمأ الغنم مأمأة....أمبيق أمبيق أمبيق
تزمجر النمر زمجرة!! أوم!!!
أحسنتم  !! أحسنتم  جميعا!!
سننجح في الامتحان يا أستاذ؟
نعم, إن شاء الله..إذا سمعتم النصيحة!!
لنتابع الجدول؟
بالتأكيد!!
كريغ....غ..
انتهى الوقت!!  انتهى الوقت!!      يا أستاذ!
 عرفت,  سأخرج الأن...ولكن..لا تنسوا... للمراجعة في البيت يا طلاب!
نعم يا أستاذ!!! و لن ننسى نصيحتك أبدا!!
نصيحتك الغالية!!
أحسنتم يا أحبائي ولا تنسوا قول الحكماء...
من جد ...وجد!!!
وداعا!!
إلى اللقاء!!
وشكرا!!
أستغفر الله رب البرايا أستغفرالله من الخطايا!!

Thursday, December 26, 2013

KARYA PERTAMA

    Saya mula menulis ketika berusia enam belas tahun. Sudah 27 tahun berlalu. Saya masih ingat ketika mula menulis saya bermula dengan genre sajak. Sajak pertama saya terbit di Mingguan Islam. Selepas itu ada beberapa sajak saya yang terbit di mingguan itu. Selepas itu pada tahun 1987 saya mula menulis cerpen. Cerpen pertama saya hantar dengan tulisan tangan. Mujur juga karya saya itu dibaca oleh editor. Kalau diikutkan layak ditongsampahkan sahaja. Mungkin juga sudah rezeki saya, cerpen Setulus Hati Kak Yong itu menang hadiah saguhati Sayembara Mengarang Remaja anjuran DBP pada tahun 1988. Alhamdulillah.

    Selepas itu ada beberapa karya saya yang menang hadiah saguhati juga, antaranya:

  • Mencari Sarah Yasmin, sayembara mengarang novel kanak-kanak KaryaNet 2004. 
  • Krisis, hadiah saguhati 2007.
  • Saat Terindah hadiah saguhati DBP Wilayah Selatan. 2010.
  • Dan yang terkini saya menerima berita yang karya saya Pertemuan Di Musim Semi, salah satu dalam sepuluh yang terbaik kategori novel anjuran ITBM, Pena dan Berita Harian.
    Kini berdebar-debar kerana masih belum tahu keputusan penuhnya.
Kemudian terkini, Editor Kanan ITBM menghubungi saya mengkhabarkan satu berita gembira iaitu satu lagi kumpulan cerpen saya akan diterbitkan. Alhamdulillah.

    Ohya, baru-baru ini saya mendapat emel dari En. Mohd Khairulanuar Mansor, Ketua Jabatan Komunikasi, Promosi dan Jualan ITBM yang mengattachkan kepada saya tentang kulit novel Pertemuan Musim semi novel sulung saya yang diterbitkan. Apa yang menarik perhatian ialah cover buku dan blurb. Wah, pintar betul editor ini mengekspos karya saya sehingga saya sendiri teruja untuk membacanya (harapnya pembaca juga teruja, hehe). Baharulah saya tahu serba sedikit tentang peranan dan kuasa blurb. Rupa-rupanya blurb yang ditulis di belakang buku bisa berupaya menarik pembaca untuk terus membeli buku tersebut dan seterusnya membacanya. Terima kasih sangat kepada tuan editor. Berkuasanya blurb itu sampai saya tidak dapat mengawal diri dari terus tersenyum sepanjang menatapnya walaupun baru di kaca laptop. 

     Mungkin juga saya begitu teruja kerana ini novel pertama barangkali.Kalau saya yang menulis blurb itu belum tentu ada orang yang mahu membaca novel itu,hihi. Saya sendiri masih kabur tentang bagaimana seharusnya bentuk blurb dan prakata itu. Dua minggu lalu, semasa saya di Langkawi, tuan editor ini menelefon saya dan meminta saya membuat blurb dan prakata. Saya sempat kebingungan. 

    Maklum sahaja, walaupun  saya telah menulis hampir 27 tahun saya tidak terdedah dengan kerja-kerja begini. Masa menulis blurb pun tak tahu? Sungguh. Selama ini, saya hanya menulis cerita, itu sahaja. Tentang bagaimana hendak menarik minat pembaca, apa harus ada pada prakata dan blurb tidaklah saya mahir. Saya mengaku..hihi.
Maka dengan susah payah, setelah mendapat sedikit sebanyak gambaran dari En. Zulkifli saya pun menulis blurb saya. Wah, sebentar sahaja sudah siap dan melalui hp, saya baca ke adik saya di Perak minta anak saudara taip dan emelkan ke ITBM. Selepas itu saya menyepi terus..(bertuah punya penulis, jangan ikut cara saya). Maafkan saya wahai tuan editor, sebenarnya saya di kampung ketika itu dan ada sedikit kesulitan untuk akses internet..Alasan? Sehinggalah suatu hari saya mendapat mesej dari beliau meminta saya menghubunginya dengan kadar segera. Lalu segera saya menghubungi beliau bertanyakan tentang blurb itu. Betulkah apa yang saya buat itu? Haa, tahu pula hendak bertanya dan mengambil tahu? Ingatkan dah tak ingat..he.

"Terlalu ringkas.." kata beliau.
"Hm, sebenarnya saya tak pandai nak tulis blurb pun, entah betulkah tidak.." Hinakah saya mengaku tidak pandai? Pada saya baik mengaku sahaja daripada menjadi bodoh sombong. Mana tahu beliau boleh menolong.
 "Oh, saya tambahkan tulisannya. Saya emelkan kembali kepada puan dan minta puan betulkan jika tidak kena.."kata beliau. Apa pula yang tak kena, kalau editor buat? Itu sudah menjadi kerja mereka sehari-hari, tentulah mereka lebih expert daripada saya, fikir saya. Kebetulan saya masih bermasalah akses internet.
"Hm, macam inilah, bagaimana kalau saya serahkan perkara ini kepada tuan sahaja. Saya tidak pernah buat blurb ini. Maklumlah tak pernah terbit buku selama ini.." Dia tertawa.
"Saya tak kisah, saya boleh buat, cuma saya takut puan tidak setuju.." Ha, tukan? Beliau sangat menolong.
"Oh, saya tidak berhalangan. Rasanya tuan lebih mahir.." kata saya. Saya merasa lega sangat kerana beliau sudi menolong. Dan saya percaya sebagai editor kanan beliau seorang yang hebat tentang hal-hal di bidang beliau. Ternyata dugaan saya tidak tersasar. Buktinya, blurb untuk Pertemuan Musim Semi ini, sangat menarik dan mengujakan..Hehe..sekali lagi terima kasih tuan! Terima kasih daun keladi!

Buku kedua juga terbitan ITBM. Alhamdulillah.



Rasa macam tak percaya namun alhamdulillah atas segala-galanya!
Kenang-kenangan indah bersama Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyidin Yassin dan isteri  di Sri Satria (7 Januari 2014)

Novel pertama Pertemuan Musim Semi sangat istimewa bagi saya. Novel ini  meraih tempat ketiga dalam Sayembara Penulisan ITBM-Pena-Berita Harian 2014. Namun, yang lebih istimewa dari itu adakah kenang-kenangan yang mendasarinya...tersirat sebak rindu dan cinta kepada tempat saya mengutip mutiara ilmu suatu ketika dahulu..(Gambar dari kiri; Pn Amnah Muhammad, Pn Nora Haron dan Encik Zakri Zakaria, pembeli pertama karya saya di SMKBR.Terima kasih ya!


WAHAI IBU,  BERSABARLAH..

Kata orang, kalau hendak tahu diri anda bersabar atau tidak, berkahwinlah dan beranak-pinaklah. Ini, berlaku kepada saya petang tadi. Selepas selesai solat asar, saya keluar rumah hendak melihat pokok-pokok bunga dan tanaman saya yang selama beberapa bulan ini saya tanam. Sebaik sahaja membuka pintu dapur saya lihat bertimbun-timbun rumput telah terkopek dan tercabut..

"Masya Allah, Allahuakbar, siapa yang buat ini?"
"Saya," kata Ahmad. Kelihatan berpeluh-peluh mengerjakan rumput itu agaknya. Saya mengurut dada, beristighfar..
"Ahmad, inikan rumput yang ummi tanam, kenapa Ahmad cabut??"
"Lah, saya ingatkan rumput ini mengganggu dan perlu dicabut.."
 Patutlah saya terdengar gedebuk-gedebak di luar tadi. Terfikir juga apa yang dilakukan oleh budak-budak ini di halaman. Akan tetapi kerana sibuk menguruskan hal-hal domestik saya tidak tergerak hati hendak menjengah ke luar sebentar.

     Allah, Allah, terasa ketat dada melihatnya, memang rasa hendak menjerit sahaja melihat rumput mutiara yang saya beli dan semai di laman dapur telah terkopak dari tanah. Akan tetapi bila memikirkan Si Ahmad yang berjurus dan lurus begitu, saya sabarkan hati sangat-sangat. Takut bila saya menjerit Ahmad akan merajuk kerana dia merasakan mahu berbakti kepada umminya dengan menolong mencabut rumput-tumput itu tidak dihargai. 

"Ahmad, ini bukan rumput yang ummi mahu buang. Yang ummi cabut selalu tu rumput yang tinggi-tinggi macam rumput ni.." Saya menunjukkan kepadanya.
"Tengok, rumput ini tidak menganggu, dia tidak tinggi." 
    
    Rumput mutiara ini sudahlah sukar sekali membiakkannya. Sejak beberapa bulan baharulah kelihatan dia membiak dengan subur, kini dicangkul-cangkul pula. Mungkin dia telah tersalah kerana melihat saya selalu mencabut rumput selama ini. Alahai anak ummi...Ummi hendak cantik pun susah sangat. Ada sahaja yang mengganggu tanaman dan bunga-bunga kesayangan saya sehingga tidak banyak lagi berkembang. Ulat daun, kumbang menjadi musuh utama.

    Itu belum lagi yang sengaja dipatah-patah dan dipetik oleh si Faris, yang terlanggar sehingga terbalik pasunya sewaktu mereka bermain kejar-kejar..oh, jadi ibu ini banyak kena sabar ya? Bukan sedikit..baanyakkk sangaaat..

    Justeru, wahai ummi, bersabarlah dengan anak-anakmu ini..Mudahan-mudahan sahaja segala pahit manis membesarkan mereka menjadi nostalgia manis belaka pada ketika saya tua nanti..

Monday, December 16, 2013

   

      LANGKAWI

      Baru-baru ini, pada 8 Disember 2013 saya diajak oleh suami ke Langkawi. Bukan untuk bercuti cuma menemani dirinya yang berkursus di sana. Kebetulan, dia mendapat penginapan sebilik seorang dengan katil kingsize, jadi dapatlah saya menumpang di biliknya. Kami tahu tentang itu kerana sehari sebelum itu suami telah menelefon hotel bertanyakan tentang keadaan biliknya. Tentang makanan pandai-pandailah kami mencarinya kerana makanan kami tidak disediakan kecuali untuk perserta kursus sahaja. Kami menginap di My Hotel di pekan Kuah. Pekan Kuah ini berdekatan dengan jeti. Sebagai dikata menemani orang kursus, saya tidak banyak berjalan ke tempat peranginan. 

    Tidak ada apa yang boleh dibuat di hotel ini dengan anak kecil yang asyik hendak melihat pemandangan di balkoni dari tingkat 12. Saya tidak senang duduk. Saat ini saya sangat mengesalkan tidak punya ipad atau notebook yang membolehkan saya menaip cerita atau apa. Cuba kalau ada, sudah tentu banyak cerita yang dapat saya taip. Perasan, hehe. Kekesalan saya semakin bertambah apabila saya menerima panggilan daripada editor ITBM, En. Zulkifli Jamaasim yang meminta saya menghantar blurb dan prakata untuk kumpulan cerpen saya selewat-lewatnya hari Rabu.  Sedang saya masih terperangkap di sini, hanya akan kembali ke kampung Sabtunya. 

    Tidak tahu juga ke mana hendak dicari cc kerana di sini hanya kelihatan kedai-kedai pinggan mangkuk, kain-baju  dan coklat sahaja. Saya juga tidak tahu sama ada di hotel ini yang katanya 3 bintang ada servis internet atau tidak. Lalu apabila suami naik ke bilik selepas makan tengah hari beliau bertanya ke hotel. Ternyata internet cuma ada di lobi dan mestilah menggunakan laptop sendiri. Saat inilah kekesalan tidak punya ipad canggih itu memuncak, tetapi saya tidak menyebut apa-apa di hadapan suami. Kesal juga, (lagi) seharusnya saat inilah saya menguatkan hujah saya berjuang untuk mendapatkan alat canggih itu. Bukankah ketiadaan alat itu menyebabkan kerja-kerja penulisan saya terganggu? Kadang-kadang idea datang mencurah-curah terpaksa dilupakan begitu sahaja. Mencurah2? Huh perasan! Tapi apa betul bukan? Idea kadang2 muncul, kadang-kadang menghilang. Ia dari Allah terpulang kita menjaganya. Hendak menulis pakai tangan, huh letih tahu! Tidak ada jalan lain, saya terpaksa merangka blurb dan prakata dahulu, nanti saya akan call adik saya, membaca kepadanya di hp dan memintanya atau anak2 saudara yang pintar menghantarnya ke editor. Meski saya sendiri tidak pernah menulisnya sebelum ini. Maklum sahaja, baru kini buku saya hendak diterbitkan, haha. Akhirnya masalah itu dapat diselesaikan dengan susah payah anak2 saudaraku itu. Terima kasih semua, adikku Nabiha dan anak2 saudara, Farah dan Siti yang terpaksa bekerja keras. Tetapi dari itu, kalian juga belajar sesuatu bukan?

     Oleh kerana seumur hidup tidak pernah ke Langkawi saya agak teruja hendak mengikut suami (serius pun). Suami pula memang berniat mengajak saya kerana bosan bakal bersendirian bila waktu rehat di kamar yang besar itu. Anak-anak tiga yang atas kami tinggalkan di rumah kakak saya di Kuala Kurau. Faris terpaksa kami bawa kerana bimbang dia akan menangis pada malam mencari uminya. Kami bertolak pada pagi hari menuju ke utara. Menaiki feri di Kuala Kedah pada pukul 1 tengah hari. Perjalanan hampir 2 jam menempuh ombak laut. Rupa-rupanya Langkawi terletak agak jauh dari tanah besar. Sehingga tidak kelihatan mana-mana daratan apabila berada di tengah laut. Tidak seperti Pulau Pinang. Rupa-rupanya si Faris tidak menyukai tempat baru itu. Dia asyik menyebut mahu pulang setiap masa. Tiap kali ditanya seronok atau tidak, jawapannya pasti tidak! Menyesal juga membawanya. 

     Dia lebih suka berada di rumah maklongnya kerana mahu bermain dengan sepupunya Abang Iwan. Saya tahu yang paling disukai ialah bermain game hp abang sepupunya itu. Beberapa kali dia memarahi dan megngesalkan saya kerana membawanya. 

     "Kenapa umi bawa saya? Lain kali saya tak mahu datang lagi ke sini??" Ayat itulah yang diulang-ulang sehingga telinga saya menjadi bengang. Telah beberapa kali saya menjelaskan kenapa kami membawanya. Kami bimbang dia akan bangun malam dan mencari saya. Kerana si Faris selalu mahu di bawah ketiak uminya sepanjang masa. Namun, dia tidak mahu mengerti sebaliknya terus menyalahkan saya. 

    Pakej tiga malam empat hari di hotel sepatutnya sangat indah untuk dinikmati.  Namun, berada di pulau peranginan dengan terkurung di hotel sahaja sudah pasti bukan sesuatu yang menyeronokkan. Apatah lagi saya hanya keluar ketika mahu mencari makan pagi. Kerana makanan kami hanya menumpang, makanan kami tiada dalam peruntukan. Mujur juga ada kedai-kedai makan di sekitar dan ada banyak juga kedai untuk membeli coklat dan pinggan mangkuk. Setelah suami ke dewan kursusnya, kami keluar, mencari kedai makan. 

     Ketika makan si Faris bertanyakan kedudukan kewangan saya.

      "Duit umi tinggal sikit ke banyak?" tanya si kecil. 

      "Sikit.." balas saya. 

      " Sikit macam ni?" Dia menunjukkan isyarat nipis dengan ibu jari dan jari telunjuk. 

      "Ya..Jadi Faris jangan minta-minta dibeli lagi tahu? Umi sudah banyak membeli mainan Faris dan belanja makan." 

    "Ya!"

         "Maafkan saya umi kerana menyebabkan duit umi hampir habis.." katanya tiba-tiba..dengan suara tulus dan mata bening sambil mengunyah nasi lemak di mulutnya. Saya tersenyum terharu. Si kecil ini benar-benar membuatkan kami tercuit hati, bahagia dengan tingkahnya yang manja dan pintar. 

      Namun bagai dikata bershopping dengan budak kecil seperti Faris sudah pasti ada-ada sahaja perangainya yang membuatkan mood saya untuk membeli-belah hilang begitu sahaja. Baru sahaja saya teruja melihat-lihat pinggan mangkuk yang mahal-mahal , si Faris datang merengek-rengek minta dibelikan permainan untuknya. Saya sabarkan dia. Tetapi berapa lama? Eh, datang lagi dia merengek-rengek.

       "Umi tak sayangkan saya.." Lirih suaranya yang kehampaan. Dia menarik bibir bawah selebarnya menjadikan muka empat segi,  menyebabkan orang keliling ketawa. Lupa sudah janjinya dan kata maafnya sebentar tadi. Faris terus merengek. Tidak sudah, lalu dibelikan juga benda yang diminatinya itu. Huh, terbang duit lagi sejak dua hari di jalan. 

     Selepas itu dia agak diam. Saya kembali menatap minat saya.  Baru sahaja bertanya-tanyakan harga, dia datang dengan nada cemas: "Ummi, saya nak terkencing!" "Huh, saya gelabah. Adakah tandas di kedai sebegini. "Tahan sekejap boleh.." Saya berhasrat untuk balik ke hotel sahaja. 

    "Saya dah tak tahan lagi!!!" Saya buru-buru bertanyakan tandas kepada pekedai. Nasib baik ada tandas di dalam kedai itu. Saya pun membawa Faris ke belakang. Dengan  muka tebal, terpaksa meminta maaf dan izin kepada petugas yang sedang mencuci tandas.

      Selepas itu entah apa-apa lagi lakonan si Faris. Saya sudah hilang mood untuk melihat pinggan mangkuk. Apatah lagi memikirkan duit yang bakal semakin susut jika dia berkenan permainan baru nanti.

     "Sudahlah adik, jom kita balik saja!" ajak saya. Kami berjalan beriringan menyusuri jalan sepi dan menaiki jambatan melalui hadapan Baron Hotel. Dan seperti sehari lepas, dan seperti malam semalamnya saya terpaksa menahan telinga mendengar bebelan si kecil: 

    "Kenapa umi bawa saya ke sini? Lain kali jangan bawa saya ke sini lagi!! Saya tak nak ikut umi lagi!! Saya nak di rumah maklong!! Faham tak?" Waduh, si Faris ini, kecil-kecil lagi sudah pandai mengomel, getus saya dalam hati. 


     

    

Monday, December 2, 2013

ANAK-ANAKKU

ANAK-ANAKKU SAYANG

     Semalam merupakan hari pertama kami tiada pembantu rumah. Hal demikian kerana selama setahun setengah ini saya meminjam pembantu sepupu saya. Sebelum itu telah beberapa pembantu dalam dan luar negara kami pakai. Yang terakhir pembantu Indonesia, Puji Lestari tamat kontrak, suami saya memutuskan tidak mahu menggunakan khidmat pembantu luar negara lagi kerana banyak prosedur yang majikan kena penuhi. Kebetulan sepupu saya itu bertugas di luar negara selama setahun lebih, jadi beliau dengan murah hati meminjamkan pembantu rumah beliau kepada kami. Terima kasih Shikin, terima kasih daun keladi , hehe.

     Kembali bersendirian menguruskan , saya merasa  agak berdebar menanti hari-hari yang bakal dilalui. Anak-anak pula masih kecil. Leka bermain dan menonton tv sahaja. Segala kerja rumah dalam dan luar tentulah terletak di bahu saya. Itulah yang membuatkan saya agak menggelabah. Lebih-lebih lagi kesibukan saya sebagai guru dan penulis (penulis? haha). Bila sudah tiada pembantu sudah pasti masa saya semakin terhad untuk duduk lama-lama mengetik di laptop. Namun apakan daya, sebagai memenuhi janji kami menghantar Kak Nah ke Shah Alam tempat Shikin menumpang di rumah mertuanya sementara waktu pada hari Ahad. Hari Ahad (1/12/2013) sepatutnya Kak Nah telah berkhidmat kepada Shikin tetapi kami telah menghantarnya petang. Pukul 5.30 petang baharu sampai di sana. Jadi kiranya kami telah termakan hak Shikin selama satu hari, harap dihalalkan hehe..

      Semalam pula sehari suntuk hujan. Dalam kesibukan mengurus hal-hal rumah; cuci kain (mesin yang cuci..), menyapu sampah dan memasak Yasmin datang dengan mata merah. 
     "Umi, boleh tak kita ke klinik sekarang? Kucing saya sakit!!" tangisnya.
     "Kenapa?" Saya ingat kucing yang dirawat oleh Yasmin dijumpai di jalan. Masih sangat kecil. Dia tidak pandai minum apatah lagi makan. Jenuh Yasmin menitikkan susu ke mulutnya. Semalam sebaik tiba dari Shah Alam pada pukul 10 malam kami telah berinya minum susu (susu Enfagrow si Faris). Setelah itu Yasmin meletaknya di dalam kotaknya semula. 
      "Saya tak tahu tapi, habis bulunya digigit semut.." semakin kuat tangisan Yasmin. Saya kebingungan dan galau. Sudahlah saya kelam kabut menguruskan rumah, hujan sejak pagi tidak boleh ke mana-mana. Dia mengajak saya ke klinik haiwan pula. Saya pun tidak tahu kliniknya di mana. Maklumlah selama ini cuma selalu pergi ke klinik manusia sahaja. Tidak pernah sekali pun selama lebih 40 tahun hidup saya berurusan dengan hal-hal begini.
     
      Akan tetapi anak kucing itu sungguh kasihan. Bulu-bulu punggungnya tercabut, dia sangat lemah sehingga tidak berupaya mengiau lagi. 
      Dalam pada itu, saya teringat Norizah kawan setugas di sekolah yang membela kucing. Katanya dia pun tidak tahu mana klinik haiwan yang paling dekat dengan Bukit Rambai. Dia pernah sekali ke klinik di Batu Berendam. Aduh, saya susah sekali. Batu Berendam itu bukanlah laluan kebiasaan saya. Bagaimana hendak mencarinya dalam hujan renyai dan cuaca muram begini. Kata Norizah, ada sebuah klinik di Sungai Udang tetapi dia sendiri tidak pernah pergi ke sana dan tidak tahu di mana lokasinya. Lalu dia mencadangkan supaya saya bertanya seorang teman kami yang suka juga membela kucing.

     Dalam pada itu tiba-tiba saya teringat dengan seorang guru ganti yang mengajar di sekolah kami. Saya tahu kerana mengenali emak dan ayahnya. Ayahnya seorang doktor haiwan yang telah bersara. Dia pula tinggal di baris belakang rumah saya. Lalu saya segera mendail nombornya. Setelah bertanyakan ayahnya, kemudian memberikan lokasi yang sama iaitu di tepi kilang biskut di Batu Berendam tentunya! Saya hampir putus asa. Saya katakan yang saya tidak tahu tempat yang diceritakan itu sedangkan anak kucing itu semakin lemah.

    Mujur juga si teman ini kemudian menulis mesej lebih lanjut tentang jalan-jalan yang harus tempuh sehingga saya dapat melakar sedikit peta dari point yang dikatakan itu. Lalu pada pukul 10 lebih kurang kami telah terpacak di hadapan klinik. Maju Animal Clinic. Mudah juga laluannya tidaklah berbelit-belit. Dengan segera anak kucing yang diberi nama Hitam atau Pussy itu diberikan rawatan. Doktor seorang perempuan Cina yang muda sangat cantik orangnya mengatakan yang kucing itu kekurangan tenaga lalu diberi bantuan minum air glukos. Doktor menunjukkan cara memberi minum menggunakan picagari kecil.Selepas minum tiba-tiba sahaja si kecil menggeliat dan membuka mata. Kami teruja. Doktor kata mungkin susu yang kami beri tidak sesuai. Al maklum, susunya pakai susu Enfagrow si Faris!

     Ketika saya bertanya bagaimana hendak memberi minum rakan saya kata kena bagi minum pakai botol? Bagi minum dengan botol Faris? Bukan, ada botol khusus untuk dia..   Oh ya tidak lama dahulu saya tertawa terbahak-bahak bila diberitahu oleh si teman bahawa jika kita ingin pergi lama kita boleh meletakkan kucing di hotel. Ada hotel untuk kucing dan juga jika sakit, kucing juga menjalani pembedahan dan tinggal di wad!
    
      Saya kemudian membuat bayaran yang dikenakan sebanyak  lebih kurang RM60 dengan cadangan supaya anak kucing itu dibawa berjumpa doktor lagi dua minggu kemudian. Setelah, itu kami juga diberi satu kad klinik Pet Health and Medical Record. Lucu juga. Dalam hati saya berkata setelah sekian lama tidak menjaga bayi kini saya kena menyimpan satu lagi kad bayi; bayi kucing!  Bertambahlah kad klinik yang saya kena failkan! 

     Kami balik setelah tersesat-sesat kemana-mana. Menjadi kebiasaan saya bila kurang arif dengan jalan, saya datang dengan jalan lain, balik dengan jalan lain..Beberapa lama kami tersesat dalam hujan dan mendung, namun akhirnya saya menarik nafas lega. Kami tiba juga ke laluan Bukit Rambai. Saya singgah sebentar di Petronas untuk mengisi minyak. Yasmin yang sejak tadi mengelus kucingnya tiba-tiba memandang saya dengan wajah penuh tanda tanya..
    "Ummi, saya rasa kucing saya sudah matilah.."
    " Yakah?" saya melihat si kucing tidak bergerak-gerak lagi. "Takpalah nanti kita sampai rumah tengok." Kami tersesat lama pulak, hampir sejam dari Batu Barendam ke Bukit Rambai..
   
    Fikiran saya juga galau memikirkan anak-anak yang ditinggalkan di rumah. Faris yang demam. Saya memandu dengan fikiran kacau. Sungguh saya tidak pernah meninggalkan anak-anak saya begitu sahaja. Setiap kali pergi mesti ada orang yang menjaga kebajikan mereka di rumah. Saya tidak akan tenang meninggalkan mereka begitu sahaja. Tetapi pagi ini benar-benar terpaksa. Saya fikir apalah akan terjadi di rumah sepanjang ketiadaan saya. Kalau keadaan rumah bersepah dan tunggang- langgang saya tidak kisah. Yang saya bimbangkan kalau mereka bergaduh, berebut siaran tv sehingga salah seorang cedera. Kisah begitu kan banyak keluar di tv dan suratkhabar? Itu yang membuatkan kepala saya sedikit berat dan tidak tumpu sehingga beberapa kali sesat jalan. 
      Setelah beberapa lama akhirnya sampai juga kami ke rumah. Al hamdulillah segalanya baik2 sahaja. Rumah tidak  berselerak. Singki tetap kosong dan bersih. Si Faris yang pagi tadi comot telah kelihatan bersih.
     "Siapa yang mandikan adik?"
     "Kak Nuha.." jawab si Ahmad. Syukur..anak-anakku semakin pintar dan  telah pandai berdikari sedikit demi sedikit. Saya terharu. Berbalik kepada si kucing tadi ternyata telahan Yasmin benar. Si Hitan atau si Pussy (menurut panggilan Yasmin)  tidak dapat diselamatkan lagi. Yasmin yang prihatin dan penyayang  menangis tersedu-sedu. Satu kerja menanti saya petang itu, iaitu menguburkan si Hitam dalam hujan renyai dan cuaca muram..

Monday, November 18, 2013

HANYA INSAN BIASA..


   Perjalanan hidup yang kulalui kini hampir memasuki marhalah ketiga; marhalah emas. Orang kata warga emas, hehe. Serasakan singkat benar masa ini. Benarlah masa itu relatif sifatnya. Masa gembira terlalu singkat rasanya, masa duka terlalu lama rasanya.

    Masih segar rasanya di ingatan ini semasa kecilku, bersama emak dan abah di kelilingi oleh adik- beradik. Kami seramai enam orang semuanya, hidup di sebuah rumah kecil di tepi sawah. Hidup dalam keluarga yang ramai dan sederhana seperti kebanyakan orang kampung yang lain menyebabkan kami tidak lokek berkongsi dan berbahagi. 

    Namun ada kalanya sebagai sifat budak-budak kami juga akan berebut. Berebut makanan, berebut tempat tidur dan kadangkala berebut tempat duduk mengelilingi pelita laut minyak tanah. Masa kecil penuh kegembiraan bersama mereka yang tercinta. Rumah kami di tepi sawah kecil sahaja. Ada rumah ibu, serambi dan dapur. Sebuah rumah papan yang kecil bertiang kayu. Namun, biar kecil rumah kami, kami tetap gembira di dalamnya. Kami bahagia dalam kemiskinan. Mungkin kami mempunyai ibu dan bapa yang penyayang dan penuh perhatian. Kami berkongsi segala-galanya. Kini masa itu berlalu pergi tidak mungkin kembali lagi. Cuma ia menjadi kenangan pada diri ini. Manis, pahit semuanya manis untuk dikenang kini.

    Memulakan pembelajaran di rumah guru Al Quranku iaitu Makngah Rokiah. Beliau mempunyai saudara jauh dengan ibu saya. Hidup di kampung mesra dan akrab. Kami tolong menolong antara satu sama lain. Saya merupakan murid pertama beliau. Abang dan kakak saya berguru dengan Paklang Man Sandar di balai raya. Oleh kerana ramai sudah pelajar yang belajar Al Quran dengan Paklang Man entah macam mana emak menyerahkan saya kepada Makngah Rokiah.

     Alhamdulillah, saya dari kategori yang cepat menangkap. Dua tiga tahun saya sudah pandai mengaji. Saya suka mengaji lenggok tarannum. Mereka kata saya ada gaya, ada suara boleh menjadi qariah..heheh, mungkin berkat nama saya barangkali. Kata emak, saya dilahirkan pada waktu subuh. Pada waktu itu ada siaran tilawah Al Quran dibacakan oleh seorang qariah yang bernama Siti Zubaidah..jadi ayah meletakkan nama anak yang baru lahir ini sebagai Zubaidah.

     Masa kecil, saya seorang budak yang sangat aktif. Bila saya melihat anak saya Nur Yasmin Farha, saya teringat kenangan saya semasa kecil. Yasmin ada meh keaktifan saya. Saya suka berkubang di bendang. Menyelam dalam bendang. Kata ibu saudara saya: Kadang-kadang macam buaya, nampak mata sahaja." hehe. Tiga puluh tahun yang lalu alam kami masih bersih, masih suci dan murah.  Alam kami mewah. Hasil ikan dan makanan sangat mudah kami dapati, tidak seperti sekarang. Hendak menangkap ikan sahaja tidak banyak seperti dahulu. Sungai dan parit tercemar. Kami bebas sahaja berenang dan berkubang di mana sahaja parit dan sungai.Cuba kini..sudah pasti kita akan berfikir beratus kali untuk terjun ke parit atau sawah. Takut keracunan! 

   Oleh kerana kelasakan saya, jadi ramai yang terkejut bagaimana saya boleh menjadi ustazah pula? Huh? Namun walaupun saya seorang ustazah, saya ini hanyalah seorang insan biasa sahaja. Kadang-kadang saya fikir, kerjaya saya ini sebagai guru berlangsung dengan mendatar sekali. Saya tak punya jasa yang boleh dibangga ( walau pun sedar jasa bukan untuk dibangga). Saya tidak seperti rakan-rakan saya yang lain yang usia begini yang sangat cemerlang dalam kerjaya mereka, sudah mampu menjadi CEO, pengarah itu dan ini,menjadi pegawai itu dan ini, membuka syarikat dan sebagainya. 

    Mereka punya kereta mewah, rumah besar dan mungkin wang yang berjuta? Sedang saya? Saya hanyalah seorang guru biasa. Masih tinggal di rumah sewa. Anak mereka cemerlang, anak saya biasa sahaja. Apa yang saya ada? Kalau pun saya seorang penulis, perjalanan karya saya pun biasa juga. Sudah hampir 30 tahun menulis masih biasa-biasa sahaja. Karya besar langsung tidak punya. Kalau ada pun hanya pernah beberapa kali menang saguhati sayembara.Kalau ada penerbitan karya pun hanyalah antologi cerpen bersama pengkarya lain. Itu sahaja. Yang sendiri punya belum ada. 

    Oh,apakah saya tidak bersyukur? Tentu sahaja saya bersyukur. Tetapi saya cuma berfikiran; mungkinkah saya belum memaksimakan usaha, melonjakkan lagi potensi diri ini menjadi lebih cemerlang dan gemilang seperti orang lain? Alangkah baiknya kalau dalam usia begini saya sudah mencapai sesuatu yang lebih daripada ini buat kenang-kenangan kepada anak cucu. 


     Saya suka membaca memoir orang-orang besar dan ternama yang berjaya. Bagi saya mereka punya jiwa besar yang tidak ada pada orang biasa. Dan secara tidak langsung, saya juga berharap menjadi seperti mereka. Mencipta sejarah dalam bidang mereka. Saya juga mahu mencipta sejarah saya sendiri, kononlah..haha.. Apakah saya mampu melakukan lonjakan saujana dan mencipta sejarah pada usia begini? Hanya Allah sahaja yang tahu...

     Hai diri, janganlah asyik menatap bintang di langit, pandanglah sama rumput di bumi..ya Allah, daku bersyukur, daku bersyukur..alhamdulillah ala kulli hal..


Saturday, November 16, 2013

OH BUNGAKU!




      Masa berjalan begitu pantas. Kini hampir tiga bulan sudah berlalu meninggalkan saat-saat perpisahan kami dengan kuarters kami yang kami cintai. Cinta kerana telah agak lama mendudukinya, jadi susah senang dan pahit manis selama kami di situ kini menjadi manis belaka untuk dikenang.

      Kini daku semakin memesrai tempat baru, kejiranan baru. Sungguh asyik berkebun. Banyak sayur-mayur yang telah kutanam. Ada timun, cili, kangkung, bawang, serai dan macam-macam lagi herba kegunaan dapur. Semua itu kutanam di laman sisi di bahagian dapur. Cili dalam empat puluh pokok. Tidak ketinggalan pastinya pokok-pokok bunga menghiasi halaman depan kami. pasu-pasu bersusun di tepi pagar. Begitu juga di dinding luar. Berbagai bunga telah kutanam. Ada japanese rose, mawar desa, melur atau yasmin, bunga kertas, zolandra, heliconia. Saya kini sudah pandai sedikit sebanyak tentang bunga dan nama-nama saintifiknya. 
     
    Pada mula pindah seorang kawan meminjamkan saya empat belas buah buku Anjung Seri dan Laman. Pada mulanya saya berfikir: Ah, majalah ini, ada apa? Tak syoklah!"Saya kurang berminat dengan majalah begini. Yang selalu saya baca ialah buku-buku atau majalah agama dan novel2. Kalau novel, saya suka sekali. Itu pun novel2 terpilih dan tentunya tidak terlalu tebal kerana saya pasti tidak dapat menghabiskannya. Saya suka baca novel seperti karya Hamka dan seumpanya. Kalau novel2 yang terlalu padat disumbatkan fakta2 sukar sekali menghabiskannya apatah lagi tebal2 pula. 

     Tapi saat mata menatap majalah itu saya terpegun. Satu demi satu muka surat saya belek. Eee, tak dapat tidur dibuatnya. Fikiran asyik menerawang, hendak membuat taman. Langsung memikirkan pula alangkah baiknya jika mempunyai rumah sendiri dengan halaman yang luas begini. Sudah pasti saya akan berkreativiti membuat taman sebagai salah satu yang termuat di majalah...tapi apa nak buat, kemungkinan mempunyai rumah sendiri itu masih lama lagi. Mungkin sahaja bila saya sudah pencen. Saya pencen usia enam puluh tahun. Wah, apa yang boleh saya lakukan lagi pada usia begitu nanti, mungkin hanya mengajar mengaji sahajakah? Atau hanya tinggal di rumah, menanti cucu datang menjenguk? Hehe, harapnya saya sihat sampai tua... 

     Berbalik ke halaman rumah sewa. Saya mula mencabut rumput dan membeli bunga. Mula2 satu pasu kemudian dua kemudian lagi tambah dua tiga biji. Mula2 beli pasu kecil kerana suami saya sudah mengingatkan: jangan beli pasu besar nanti susah hendak berpindah. Jangan beli banyak sangat. Mula2 saya dapat sabarkan hati, tetapi oleh kerana hobi saya suka mengunjungi nurseri kini, saya tidak tahan lagi untuk membeli beberapa biji pasu sederhana dan akhirnya pasu besar pula. 

      Kadang2 saya sorok dulu takut dileteri oleh suami. Walaupun saya memakai duit saya sendiri sudah pasti saya juga perlu mengambil kira pandangannya dalam soal membelanjakan wang..Tetapi mungkin kerana dilihat taman kami semakin lama semakin sedap mata memandang, si dia mendiamkan diri sahaja. Terkini, hari ini saya membeli dua anak benih kelapa iaitu kelapa matag dan kelapa pandan. itu pun setelah berbincang dengan tuan punya nurseri itu. Katanya kelapa ini bukan macam kelapa zaman datuk nenek kita dahulu yang tingginya sayup mata memandang. Ini jenis baru yang ketinggiannya hanya tujuh kaki sahaja. Ia juga boleh dibuat teduhan. Buahnya juga banyak. 

      Mendengarnya saya terus membeli dua kerana mahu mengimbau kenangan zaman dahulu di kampung saya banyak pokok kelapa. Sudah pasti sangat asyik jika di rumah saya kini ada pokok kelapa juga. Lagi pula kata tuan nurseri pokok kelapa tidak akan emrosakkan simen dan tebing kerana sifat akarnya yang serabut dan tidak keras. Lamakah lagi boleh berbuah? Kira-kira dua tahun? Dua tahun? Dua tahun lagi entah kami di mana pula. Adakah berpindah lagi? Entahlah, kita hanya merancang Allah sahaja yang menentukan. Keputusan muktamad, beli sahaja! Jika tidak kami sempat merasa enak isinya, saya ikhlaskan sahaja diambil oleh penghuni selepas kami. Jika tidak sempat merasa buahnya, jadilah dapat berteduh di bawah naungannya. Atau jika pun tidak sempat berteduh di bawah bayangnya, cukuplah dapat berpeluh ketika menanamnya. Bukankah kesihatan juga rezeki?      

      Hanya kepada Allah saya pohon memberikan rezeki kepada kami di tempat lain pula. Ini kerana ramai yang menyatakan saya kenapa beria-ia menanam? Buat rugi sahaja. Bukan rumah sendiri. Bukan seringgit dua telah saya habiskan untuk taman ini tetapi sudah beratus ringgit. Akan  tetapi saya suka sekali bercucuk tanam. Saya menganggap berkebun bukan merugikan tetapi merupakan terapi kepada diri. Jika saya sihat, tentu berbaloi dengan belanja dua tiga ratus ringgit ini. Jika saya tidak sihat bukan sahaja dua tiga ratus malah dua tiga puluh ribu mungkin saya akan rugi. 
     Dua tiga hari ini saya begitu stres menghadap data-data memeriksa kertas jawapan budak, dan key in pbs yang sangat slow. Sampai kepala saya sakit sebelah kiri. Saya pun tidak dapat berkebun kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja. Masuk hari ketiga kepala saya masih jga tidak surut sebaliknya terus berdenyut biar perlahan namun tetap tidak enak. Saya terus di komputer. Sepatutnya petang cuti begitu saya di taman sahaja melihat bunga.

   Akan tetapi tuntutan pbs itu agak banyak juga. Mata saya terus sahaja di skrin melihat sistem pbs memusing terus dari tadi. Stres betul. Sistem itu membuatkan orang tertunggu-tunggu bagai buah yang tidak gugur. Hampir berpinar-pinar mata menatapnya terus berpusing. Letih, jemu dan kepala terus  merasa semakin berat, berdenyut-denyut nyit, nyit...tiba-tiba pap, laptop padam. Saya memeriksa suis ternyata bekalan elektrik terputus. Apa lagi, tanpa melengah masa saya mengambil parang dan terus ke laman, melihat bunga, mencabut rumput dan mengalihkan anak benih yang mulai bercambah. Saya juga membuat batas-batas baru. Badan saya berpeluh-peluh dan terasa ringan. Wah, sungguh menghairankan, denyut di kepala terus hilang...

     Ohya, baru-baru ini kakak saya dan adik datang dari Perak. 
"Buat apa tanam pokok kelapa segala? Bukannya rumah sendiri." kata kakak. Lalu dicabutnya pokok itu dan dibawa balik ke Perak. Saya pun tidaklah kisah sangat kerana tempat kelapa matag itu telah saya ganti dengan Limau Lokam yang saya bawa dari Perak...

  HARI BERSEJARAH AHMAD

     Hari ini, merupakan hari bersejarah bagi si lanang kami; Ahmad Fikri. Pagi-pagi lagi Ahmad Fikri sudah bangun dan kami suruh mandi dan bersiap-siap memakai pakaian baru iaitu sepasang baju melayu berwarna kuning. Baju melayu itu merupakan baju hari raya tahun ini.

    Saya juga ikut memakai baju cantik. Selesai bersiap, kami bertiga pun bertolak ke masjid. Setibanya di Masjid Taman Bukit Rambai telah ramai kanak-kanak yang sebaya malah lebih kecil darinya menunggu. Rupa-rupanya tempat berkumpul di perpustakaan desa yang terletak bersebelahan masjid. Bunga manggar dan bunga pahar sudah siap di situ. Tidak ketinggalan pasukan kompang. Mungkin ini pasukan kompang taman ini, fikir saya kerana melihatkan ramai yang memegang kompang itu anak-anak murid yang pernah saya mengajar di sekolah. Mereka melihat saya sambil tersenyum. Saya melihat mereka dengan gembira. 

      Anak-anak murid saya ini merupakan pelajar-pelajar dari kelas hujung yang tidak mahu belajar. Saya teringat betapa sukarnya saya hendak memanggil mereka masuk dan berkumpul di dalam kelas. Tetapi syukur, mereka kini walaupun tidak cemerlang tetapi tetap menjadi orang. Mahu pula bergiat dalam aktiviti masjid. 

      Namun ada juga salah seorang dari mereka dengan nakalnya membisikkan kepada si Ahmad: Bersunat tu sakit tahu? Mereka potong anu pakai kapak!" Ahmad ketakutan, Mujur juga walidnya yang tahu perkara itu cepat-cepat menindas: "Sudahlah, jangan dengar cakapnya itu, tidak betul tu.."   

     Agak lama menanti, kanak-kanak bermain dengan riang. Kami sabar menanti sambil berdiri. Tidak lama kemudian pasukan bomba pun sampai. Lebih kurang satu jam kemudian baharulah para peserta dipanggil untuk berkumpul. Sebentar kemudian perarakan pun bermula. Ahmad dan para peserta lain diarak dengan bunga manggar, bunga pahar dan kompang. Rombongan keluar dari kawasan perpustakaan desa dan berjalan menuju ke masjid.  

      Suara selawat bergema memeriahkan suasana. Kemudian rombongan memasuki perkarangan masjid dan berhenti di situ. Saya sangkakan upacara bersunat hanya seperti di kampung saya yang tersangat simple, panggil tok mudim dan langsung begitu sahaja, rupa-rupanya sebaliknya. Majlis berkhatan di Melaka ini merupakan majlis besar rupanya. Siap dijemput menteri datang merasmikannya. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Abu Bakar Md Diah merangkap Ahli Parlimen Tangga Batu datang. Wow, grand benar majlis berkhatan!

     Selepas perasmian menteri dan penyampaian saguhati kepada peserta, kami dijemput makan nasi berlaukkan rendang Negeri Sembilan. Kemudian para peserta berkumpul di dataran masjid dan menteri pun memulakan upacara memandikan mereka dengan air dari paip bomba. Ahmad dan budak-budak itu terlompat-lompat kesukaan disembur air. Kemudian baharulah majlis berkhatan beramai-ramai diadakan. Ketika cabutan undi Ahmad mendapat giliran kelima. Empat katil tersedia dengan pegawai-pegawai perubatan daripada Hospital Kem Terendak dan Klinik Bukit Rambai mengendalikan proses berkhatan. Oleh kerana walidnya telah ada saya tidak dibenarkan masuk mengiringi Ahmad. 

      Menurut walidnya, pada mulanya Ahmad diam-diam sahaja tetapi apabila doktor mula memegang dan mahu menyunatnya, dia langsung menjerit dan meronta-ronta. "Walid, apa mereka hendak buat ni?" Ahmad terpekik. Selama ini biar kerap diceritakan tentang bersunat, mungkin dia tidak tergambar sama sekali di fikirannya tentang hal apa yang bakal dialaminya. Para doktor dan jururawat segera mengelilingi dan mententeramkannya. "Cuba berselawat.." kata doktor. "Tidak sakitlah, Ahmad cuba berselawat.." pujuk walidnya pula. "Selawat tu apa walid?" Lalu walidnya menuturkannya dengan diikuti oleh Ahmad. Mendengar sahaja Ahmad terpekik mulai berteriakan dua tiga orang budak lagi. Kemudian para doktor meluru dan mententeramkan mereka pula. Akhirnya, fuh, selepas segala rintangan walidnya memujuknya, hal itu selesai juga. 

      Ahmad akhirnya keluar dibimbing walid dengan wajah berkerut-kerut, tetapi tidak sakit sangat. Kami bawa pulang dan dibaringkan di tilam yang telah disediakan dengan tali untuk mengikat kain pelikat Ahmad. Tidak berapa lama kemudian, mungkin habis ubat bius Ahmad mula mengerang dan menjerit kesakitan. Apa lagi, si kecil Faris yang melihatnya segera memberi kata putus: "Saya tak mahu bersunat! Saya tak akan bersunat!!"


P/s: Semoga Ahmad menjadi lebih pintar selepas ini ye!